Tercatat tiga peristiwa agung

oleh Mohd Rizal Azman Rifin

MUNGKIN ramai yang tidak mengetahui bahawa salah satu lokasi ziarah ketika mengerjakan umrah iaitu Jabal Rahmah yang pernah menyaksikan tiga peristiwa agung dalam sejarah lipatan manusia.

Penulis tidak melepaskan peluang untuk sama-sama menjejakkan kaki di perlerengan Jabal Rahmah dan menelusuri sirah junjungan Nabi Muhammad SAW selain menginsafi setiap peristiwa yang pernah dicatatkan.

Sebaik selesai menunaikan solat Maghrib dan Isyak di Masjidilharam, penulis bersama ahli jemaah terus ke dataran Kaabah untuk melakukan tawaf sunat.



Aktiviti ziarah sepanjang jemaah berada di Madinah serta Makkah tidak berhenti namun ia langsung tidak terasa penat meskipun deretan amal ibadat yang dilakukan kerana segala usaha tersebut demi mengharapkan reda Allah SWT.

Sebelum pulang ke bilik penginapan masing-masing, mutawif iaitu Ustaz Badrul Hakimi memaklumkan jadual keesokan harinya agak memenatkan kerana akan menziarah Jamal Rahmah serta perlembahan Bukit Uhud yang pernah menyaksikan tiga peristiwa agung.

Keesokannya, selesai solat Subuh di Masjidilharam, penulis bersama keluarga dan rakan bertolak ke Jabal Rahmah dan Bukit Uhud.

Ustaz Badrul memaklumkan, sebenarnya, di lembah Jabal Rahmah berlaku tiga peristiwa agung membabitkan tiga nabi Allah SWT.



Meneruskan penerangan berkenaan, beliau memaklumkan peristiwa pertama, di sinilah kawasan pertemuan Nabi Adam dan isteri baginda, Siti Hawa selepas sekian lama berpisah sebaik mereka dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke muka bumi.

Bertahun-tahun mereka berdua memohon keampunan dan bermunajat kepada Allah SWT sebagaimana terakam dalam al-Quran.

Peristiwa kedua pula kisah mimpi Nabi Ibrahim AS menyembelih putera kesayangan baginda, Nabi Ismail AS.

Kata Ustaz Badrul, Nabi Ibrahim AS mulanya sangsi dengan mimpi itu namun sudah dua kali baginda bermimpi perkara sama.



Kemudian tiba di kawasan Jabal Rahmah, Nabi Ibrahim sekali lagi mendapat mimpi yang sama dan kali ini yakinlah baginda yang perintah dalam mimpinya itu benar-benar daripada Allah SWT.

Peristiwa ketiga pula turunnya wahyu Allah SWT yang terakhir kepada Nabi Muhammad SAW.

Jabal Rahmah sebenarnya berada di lingkungan yang sama dengan Padang Arafah dan di sinilah juga baginda mendapat wahyu yang cukup ‘memilukan hati’ sahabat, khususnya Saidina Abu Bakar dan Umar al-Khattab kerana mereka mengerti makna tersirat di sebalik turunnya wahyu tersebut iaitu petanda bahawa baginda akan meninggalkan mereka menemui Allah SWT.

Lebih hebat lagi, ujar Ustaz Badrul turunnya ayat tiga Surah al-Ma’idah yang bermaksud: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu,” itu bukanlah ayat Allah SWT yang terakhir sebagaimana difahami umum.



Kata beliau, Syeikh Muhammad Ra’fat Said menyatakan ayat ini bukan ayat terakhir yang diturunkan kerana ia di turunkan di Arafah pada tahun ke-9 hijrah dan baginda Rasulullah SAW wafat jam 9 malam selepas turunnya ayat 281 Surah al-Baqarah.

Beliau menjelaskan lagi, tetapi Imam al-Alusi memberi pencerahannya dengan berkata, selepas ayat ini tiada lagi ayat yang diturunkan berkenaan hukum halal dan haram dan inilah maksud mereka yang mengatakan ayat ini yang terakhir yang diturunkan dalam erti kata ayat terakhir tentang hukum halal dan haram.

Apapun, sesungguhnya kehadiran jemaah umrah atau haji ke bumi berbatu yang dinamakan Jabal Rahmah akan meninggalkan kenangan terinda, sekali gus mengembalikan ingatan kepada syiar agama Islam yang suci.

Terinjaknya kaki di Jabal Rahmah seolah-olah mengajak diri kita kembali menghayati sirah Nabi Allah SWT.



Penulis adalah pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker