Amah jadi buruh paksa diselamat di Ayer Tawar, Perak

Amah jadi buruh paksa diselamat di Ayer Tawar, Perak

Seorang wanita warga Indonesia dipercayai dijadikan buruh paksa oleh majikannya diselamatkan dalam satu operasi membabitkan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Pasukan Tindakan Majlis Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran (Mapo) dan polis, di Ayer Tawar, Perak pada Khamis lalu.

Kementerian Sumber Manusia (KSM) berkata, operasi menyelamat jam 6.30 pagi itu dilakukan susulan aduan dan maklumat pihak Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur pada 20 Sept lalu.



KSM berkata, risikan diketuai JTK dijalankan pada 20 dan 21 Sept mendapati kediaman dan tempat pekerjaan mangsa terletak di satu kawasan terpencil dan jauh daripada kediaman lain di Ayer Tawar.

“Mangsa mengesahkan bahawa beliau masuk ke Malaysia secara sah dengan permit kerja sebagai pembantu rumah pada Jun 2003 melalui seorang ejen yang dikenalinya.

“Selepas mendapat pekerjaan, gaji mangsa dipotong sebanyak empat bulan berjumlah RM350 sebulan sebagai kos bayaran kepada ejen tersebut, namun mangsa tidak mempunyai sebarang pengetahuan berhubung perkara ini kerana menyerahkan semuanya kepada ejen,” kata kementerian itu dalam kenyataan.

KSM berkata, siasatan awal menunjukkan mangsa yang tamat tempoh sah permit pada Jun 2020 diklasifikasikan sebagai buruh paksa apabila gajinya tidak dibayar selama tiga tahun dari 2018 hingga 2021 berjumlah lebih kurang RM25,000 berdasarkan gaji bulanan sebanyak RM700.



Melalui siasatan awal, terdapat indikator buruh paksa dilakukan terhadap mangsa dan majikan disyaki melakukan satu kesalahan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Majikan/suspek juga mengeksploitasi mangsa dengan ugutan beliau bukan pekerja sah dan sering kali memarahi mangsa sekiranya ingin kembali ke negara asal.

“Bahkan mangsa pernah dikasari secara fizikal iaitu disepak pada bahagian muka apabila mangsa meminta baki gaji yang tertunggak,” katanya.

KSM berkata, mangsa yang kini berada dalam keadaan trauma ditempatkan di Rumah Perlindungan Zon Tengah di Damansara selepas mangsa diberikan Interim Protection Order (IPO) oleh Mahkamah Majistret Sri Manjung selama 21 hari sehingga 13 Okt.



“Pihak JTK kini sedang melengkapkan siasatan sebelum dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya bagi semakan dan keputusan,” katanya. FMT

Amah jadi buruh paksa diselamat di Ayer Tawar, Perak


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU




Tembakan rambang di pasar raya, 2 maut

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker