Najib mahu projek HSR disambung demi merancakkan ekonomi negara

Najib mahu projek HSR disambung demi merancakkan ekonomi negara

Selepas kerajaan membayar SGD102,815,576.00 (RM320,270,519.24) kepada Singapura sebagai pampasan susulan pembatalan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, bekas Perdana Menteri, Najib Razak, mahu projek itu disambung semula.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, cadangan menyambung semula projek HSR perlu diteruskan mengikut konsep dan perancangan asal.



Katanya, langkah itu dapat memberi nafas baru kepada koridor selatan Semenanjung seperti Iskandar Malaysia, Batu Pahat, Muar, Melaka, Seremban dan sebagainya.

“Semasa pembinaan projek HSR dijangka mewujudkan 70,000 peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung.

“Selepas projek HSR siap beroperasi, ia mampu memberi keuntungan ekonomi sekitar USD1.6 bilion setahun mengikut kaji selidik Institute of Developing Economies, Japan dengan syarat landasan perlu dihubungkan dengan Singapura.

“Menggantikan projek HSR dari Singapura ke Kuala Lumpur kepada KLIA ke Johor Bahru akan menjadikan projek ini tidak ‘viable’ dan akhirnya merugikan negara apabila terpaksa membayar subsidi berbilion-berbilion,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), di Dewan Rakyat.



Pada 1 Januari lalu, Perdana Menteri ketika itu, Muhyiddin Yassin dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong dalam kenyataan bersama mengumumkan projek HSR sepanjang 350km ditamatkan, selepas kedua-dua negara gagal mencapai kata sepakat berhubung perubahan dicadangkan Malaysia sebelum perjanjian projek itu berakhir pada 31 Disember 2020.

Najib ketika mengulas lanjut, berkata dengan mengembalikan semula projek HSR kepada perancangan asal juga dapat menghidupkan semula projek Bandar Malaysia yang bernilai RM140 bilion dari segi nilai pembangunan kasar (GDV).

“Saya mencadangkan tanggungjawab dan pemilikan projek pembangunan diberikan kepada tabung-tabung seperti KWSP dan PNB. Kedua-dua badan ini terbukti dapat bekerjasama dengan baik sehingga menjayakan pembangunan projek Battersea di London.

“Projek ini juga boleh dijayakan secara usahasama dengan pelabur Singapura memandangkan HSR berhubung dengan negara itu jika KWSP dan PNB berpendapat ianya memberi kelebihan. Sekiranya ini berlaku, saya cadang ianya dijenamakan semula sebagai Bandar ASEAN supaya ianya meletakkan Malaysia menjadi pusat kepada ASEAN dalam usaha menarik perhatian komuniti antarabangsa,”katanya,



Negara boleh capai purata pendapatan isi RM10,000 sebulan jika kerajaan cekap, berani

Dalam ucapannya juga, Najib berkata, Malaysia mampu menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dan mempunyai kualiti hidup yang lebih baik dengan purata pendapatan isi rumah dianggarkan sebanyak RM10,000 sebulan pada 2025 boleh dicapai sekiranya kerajaan bertindak lebih cekap, berani, dan inovatif.

Katanya, purata pendapatan isi rumah seperti dinilai oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) adalah RM3,686 sebulan pada 2007, namun ia berjaya dinaikkan hampir sekali ganda ke RM6,958 sebulan pada 2016, susulan pertumbuhan ekonomi mantap dalam tempoh berkenaan.

“Akan tetapi, kadar pertumbuhan pendapatan rakyat telah jauh menyusut dan hanya naik ke RM7,089 sebulan pada 2019, iaitu kenaikan 1.8% dalam tempoh tiga tahun dari 2017, walaupun pertumbuhan ekonomi ketika itu begitu mantap,” katanya.



Jelas Najib, asas RMK12 adalah berdasarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) dengan matlamat utama untuk mengurangkan jurang pendapatan antara semua rakyat dengan meningkatkan pendapatan golongan B40 dan M40.

“Jurang antara pendapatan golongan miskin dan kaya di negara ini melebar pada 2019 buat kali pertama sejak tahun 2004, demikian mengikut laporan terkini yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM),” katanya.

Pada Isnin, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, berkata Malaysia akan menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dan mempunyai kualiti hidup yang lebih baik dengan purata pendapatan isi rumah dianggarkan sebanyak RM10,000 sebulan pada 2025. FMT

Najib mahu projek HSR disambung demi merancakkan ekonomi negara




Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Mat Sabu tegur Anwar hina kerajaan disokong ulama, sekali Azalina mencelah



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker