China tak pernah bina ’empayar maritim’ di Laut China Selatan – Kedutaan

China komited dengan pendekatan ‘dual-track’ berhubung isu Laut China Selatan dan menegakkan prinsip kebersamaan dalam mencari penyelesaian pertikaian melalui rundingan dengan semua negara terlibat, kata Kedutaan China di Malaysia.

Jurucakap Kedutaan, yang menyangkal kenyataan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS), mengatakan China berpegang teguh pada prinsip saling menghormati dan bersama-sama negara anggota Asean, menangani isu berdasarkan fakta sejarah dan undang-undang antarabangsa, keamanan dan kestabilan di perairan yang dipertikaikan.

“China sering mengetengahkan dasar luar yang mesra, semua negara, besar atau kecil, kaya atau miskin, kuat atau lemah, adalah sama.

“Dengan kerjasama China dan Asean, situasi di Laut China Selatan secara keseluruhan bertambah baik,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pada 13 Julai, Setiausaha Negara AS Mike Pompeo dalam satu kenyataan berkata tuntutan Beijing untuk sumber luar pesisir di sebilangan besar Laut China Selatan sama sekali tidak sah.

Mengenai tuduhan AS, jurucakap itu berkata China mengehadkan pengembangan minyak dan gas serta aktiviti penangkapan ikan di Laut China Selatan di perairan di bawah bidang kuasa China, sesuai dengan undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982 dan undang-undang domestik China.

Reaksi China pada kadar sederhana

“China tidak pernah menimbulkan masalah, tetapi ketika hak maritim kita diceroboh, kita harus bertindak sewajarnya, walaupun reaksi itu semuanya pada kadar sederhana.

“Kami tidak pernah berusaha untuk membina ’empayar maritim’ di Laut China Selatan,” ujarnya.

Sebaliknya, beliau berkata ada negara tertentu terus menguatkan kedudukannya di Laut China Selatan dengan menempatkan kapal perang dan pesawat tempur selain menjalankan latihan ketenteraan secara berlebihan.

“Negara ini sering mendekati dan memasuki perairan serta ruang udara China secara haram dekat kawasan tertentu di Laut China Selatan, mengancam kedaulatan dan keamanan China.

“Cukup jelas siapa sebenarnya yang berusaha membangunkan ‘kerajaan maritim’ dan bermain politik di Laut China Selatan,” katanya.

Merujuk kepada keputusan Tribunal Timbang Tara 2016 yang memihak kepada Filipina, jurucakap kedutaan itu berkata mahkamah timbang tara itu sendiri ditubuhkan secara tidak sah dan China tidak menerima dan mengiktirafnya.

Jurucakap itu menegaskan China komited untuk menangani perbezaan melalui rundingan dan dengan pihak-pihak berkaitan termasuk Malaysia, demi memelihara keamanan serta kestabilan di Laut China Selatan.

Katanya, biarpun China dan Malaysia berada di posisi berbeza dan mempunyai pertindihan tuntutan, kerajaan kedua-dua negara menangani perselisihan serta perbezaan itu menerusi dialog dan rundingan, dengan keikhlasan.

Beliau berkata China sentiasa bersedia bekerjasama dengan Malaysia dengan saling mempercayai dan terus menyelesaikan masalah berkaitan melalui rundingan dua hala.

“Harapan kami kedua-dua pihak dapat bekerjasama sebaiknya untuk melaksanakan DoC (Deklarasi Tata Laku Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan) dan mendorong konsultasi CoC (Kod Tata Laku di Laut China Selatan).

“Sehingga pertikaian dapat diselesaikan, China akan terus bekerjasama dengan pihak-pihak berkaitan termasuk Malaysia bagi mengetepikan perbezaan, menggalakkan pengembangan bersama sumber minyak dan gas, meningkatkan kerjasama mengenai maritim dan pemeliharaan sumber perikanan, untuk mewujudkan Laut China Selatan yang aman dan damai,” katanya.

– Bernama

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker