Bahasa kebangsaan pada papan tanda, iklan perlu diutamakan, selaras undang-undang kecil PBT – DBP

Bahasa kebangsaan pada papan tanda, iklan perlu diutamakan, selaras undang-undang kecil PBT – DBP

Isu papan tanda dan iklan berbangkit selepas Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing dalam kenyataannya mempertikai tindakan penguatkuasaan mengenai peraturan papan tanda dwibahasa oleh DBKL.
Isu papan tanda dan iklan berbangkit selepas Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing dalam kenyataannya mempertikai tindakan penguatkuasaan mengenai peraturan papan tanda dwibahasa oleh DBKL.

 

KUALA LUMPUR: Perkataan dalam bahasa kebangsaan hendaklah diberikan keutamaan dari segi saiz dan kedudukan dalam mana-mana papan tanda atau iklan seperti ditetapkan undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam kenyataan berkata, mengikut Undang-Undang Kecil Iklan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1982, semua iklan hendaklah dalam bahasa kebangsaan dan penggunaan bahasa asing dalam satu papan tanda atau iklan yang sama tidak dilarang sama sekali.

Justeru, DBP menyokong sepenuhnya tindakan penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap pemilik premis yang mempamerkan iklan tanpa lesen yang sah serta tidak mengutamakan bahasa kebangsaan pada papan tanda iklan.

“Pemilik premis pastinya mengambil maklum akan undang-undang itu apabila memperbaharui lesen perniagaan pada setiap tahun.

“Amat mendukacitakan apabila pelanggaran terhadap undang-undang ini dibuat secara terang-terangan dengan pelbagai alasan, malahan terdapat segelintir pemilik premis berani menaikkan iklan yang tidak langsung menggunakan bahasa kebangsaan dan beroperasi tanpa lesen yang sah,” katanya.

Katanya, sebagai warganegara yang bertanggungjawab, seharusnya menghormati dan mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.

“Tindakan ini selaras dengan salah satu prinsip Rukun Negara, iaitu Kedaulatan Undang-undang.

“Kegagalan untuk mematuhi peraturan ini bukan saja mencabuli undang-undang, tetapi juga menunjukkan pengabaian terhadap tanggungjawab kita sebagai rakyat,” katanya.

Jelasnya, dalam konteks kepelbagaian budaya di Malaysia, pematuhan undang-undang memainkan peranan penting dalam memastikan perpaduan dan keharmonian antara kaum di negara ini.

“DBP bersedia bekerjasama dengan peniaga untuk memastikan iklan mereka mematuhi peraturan ini.

“DBP juga bersedia memberikan panduan dan sokongan kepada peniaga dalam proses ini melalui perkhidmatan pengesahan penggunaan bahasa kebangsaan pada paparan iklan (papan iklan luar, papan premis, iklan tiang, gegantung, pelabelan, iklan badan kenderaan, risalah dan poster),” katanya.

Perkhidmatan ini juga katanya boleh dicapai secara dalam talian melalui Sistem DBP Sah Bahasa (dbpsahbahasa.my) dan Khidmat Nasihat Dewan Bahasa dan Pustaka (KNDBP).

DBKL dalam kenyataan semalam menegaskan tindakan penguatkuasaan peraturan papan tanda yang dijalankan di sekitar ibu negara baru-baru ini bertujuan memastikan premis perniagaan mematuhi undang-undang kecil ditetapkan.

Isu papan tanda dan iklan berbangkit selepas Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing dalam kenyataannya mempertikai tindakan penguatkuasaan mengenai peraturan papan tanda dwibahasa oleh DBKL.

Beliau mendakwa, tindakan itu mengakibatkan tindak balas emosi dan melampaui batas sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati, selain wujud persepsi negatif dalam kalangan pelancong yang mempersoalkan tindakan itu.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker