Paus buat aksi ‘superman’ di Langkawi
Oleh – Syeikh Baran
Video tular memaparkan seekor ikan paus melompat tinggi di perairan Pulau Payar di sini, meraih pelbagai komen teruja netizen di media sosial.
Menerusi video berdurasi 17 saat dimuat naik oleh Kelab Skuba Langkawi (KSL) di akaun Facebook dan Tiktok, menunjukkan ikan paus itu melompat tinggi, malah disifatkan netizen seolah-olah melakukan aksi ‘superman’.
Sejak dimuatnaik semalam, video itu meraih 47,000 tontonan.
“Dalam perjalanan pulang dari Pulau Payar selepas menyelam, dan ikan paus yang megah ini memutuskan untuk mencuri perhatian! Sungguh mempesona ketika melihatnya!
“Ini saat yang menarik dalam perjalanan pulang. Maaf video agak bergegar sebab terlalu teruja,” menurut catatan yang mengiringi hantaran video itu di Facebook.
Aksi lincah paus terbabit membuatkan penonton kagum, malah ramai yang meluahkan rasa teruja di ruangan komen.
“Wahh best nya live depan mata. Subhanallah. Selalu tengok dekat tv (televisyen) je kan,” komen Nur Ain Arifin.
“Pernah tengok kat sana… sampai feri duk ikut dia… pastu saya missed flight, (terlepas pesawat),” kata Max Purnama Masura.
Sementara itu, Pengajar KSL, Shafila Ismail, ketika dihubungi berkata, video itu dirakamkan jam 1.20 tengah hari. Ahad lalu.
“Ketika itu saya bersama 11 tetamu menaiki dua bot dalam perjalanan pulang selepas melakukan aktiviti menyelam dan snorkeling di perairan Pulau Payar, sebelum terserempak aksi paus spesies Bryde yang melompat tinggi.
“Tetamu kami teruja melihat kejadian itu, tapi bagi saya kejadian itu adalah perkara biasa selepas kira-kira enam tahun berkecimpung dalam aktiviti membawa pelancong melakukan aktiviti menyelam dan snorkeling,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang tempoh itu dia dan rakan-rakan kerap menemui aksi paus Bryde dan yu paus atau nama saintifiknya rhincodon typus melompat ketika dalam perjalanan pergi dan balik ke Pulau Payar.
Sumber – HARIAN METRO
You must be logged in to post a comment.