Sungai Golok lengang, penumpang bot penambang berkurang
Oleh – Syeikh Baran
Pengusaha bot di Sungai Golok di sini, mendakwa penumpang yang menggunakan laluan di pangkalan haram berkurangan terutama pada waktu malam dipercayai susulan enam rakyat Malaysia yang ditahan di Golok, Thailand pada Jumaat lalu.
Mereka mendakwa jika sebelum ini sehingga lewat malam perkhidmatan mereka masih diperlukan, namun sejak beberapa hari lalu ia berkurang secara drastik.
Pada masa yang sama katanya, pendedahan polis yang memaklumkan ramai anak muda memilih pangkalan haram untuk ke Thailand menyebabkan orang ramai bimbang atau takut untuk menyeberangi Sungai Golok.
Tinjauan di kawasan berkenaan mendapati terdapat anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang berkawal di pangkalan haram bagi memastikan tiada pergerakan di Sungai Golok selain pasukan keselamatan Thailand turut kelihatan di sempadan negara itu.
Pengusaha bot yang berusia 45 tahun berkata, situasi itu menyebabkan pendapatan mereka terjejas.
“Sebelum ini memang kita akui pengunjung agak ramai terutamanya pada hari minggu. Pada waktu malam pun masih ramai, namun sejak beberapa hari lalu Sungai Golok lengang.
“Mungkin orang ramai takut untuk ke Thailand memandangkan kes tangkapan masih panas.
“Pada masa sama orang juga bimbang untuk berkunjung ke pusat hiburan di negara berkenaan.
“Memang saya akui ramai rakyat kita akan ke sana untuk berhibur pada waktu malam. Ada yang bermalam di sana dan ada juga yang pulang lewat malam kerana bot masih beroperasi.
“Macam-macam kita lihat ada yang pulang dalam keadaan mabuk terutama mereka yang bukan beragama Islam,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Katanya, kebanyakan yang masih menggunakan Sungai Golok adalah murid dan pelajar sekolah serta penduduk setempat, manakala penduduk luar daerah adalah berkurangan berbanding sebelum ini.
“Untuk melalui pangkalan haram pun bukan setiap masa dibenarkan sebaliknya ada waktu tertentu.
“Setiap hari antara jam 10 pagi hingga 12 tengah hari dan jam tiga hingga jam 6 petang, sebarang pergerakan di Sungai Golok tidak dibenarkan.
“Itu undang-undang yang dibuat oleh pihak berkuasa Thailand, manakala pada waktu lain, mereka tidak menyekat kemasukan rakyat Malaysia,” katanya.
Penduduk kampung, Abdullah Mamat, 58, berkata, orang ramai yang mengunjungi Golok menerusi pangkalan haram bukan kesemuanya untuk berhibur sebaliknya mengunjungi pasar malam di negara berkenaan.
“Memang kita akui ramai yang berkunjung ke Golok pada Jumaat, Sabtu serta Ahad memandangkan terdapat pasar malam di negara berkenaan pada hari berkenaan.
“Namun ada juga yang berkunjung di sana untuk hiburan. Sejak beberapa hari lalu, saya melihat pergerakan Sungai Golok lengang berbanding sebelum ini,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, enam rakyat Malaysia termasuk penyanyi dikir barat Kelantan ditahan di sebuah hotel di Golok selepas selesai berhibur jam 6 pagi pada Jumaat lalu.
Sumber – HARIAN METRO