Lelaki ditahan susulan pelajar tingkatan satu maut dilanggar kereta

Oleh – Syeikh Baran

Lelaki ditahan susulan pelajar tingkatan satu maut dilanggar kereta

Polis menahan seorang lelaki warga emas bagi membantu siasatan berhubung kejadian pelajar tingkatan satu maut dilanggar kereta ketika melintas jalan di Jalan Kampung Gesir Tengah, di sini, kelmarin.



Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

“Individu berusia 65 tahun itu tidak direman. Dia ditahan sementara untuk membantu siasatan,” katanya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp, semalam.

Terdahulu, Ahmad Faizal dilaporkan berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian pada 7.40 pagi.

Remaja lelaki berusia 13 tahun itu dalam perjalanan pergi ke sekolahnya, manakala pemandu kereta dari Kampung Rahmat, Felda Gedangsa ke Tanjung Malim.



“Setibanya di lokasi, mangsa dari sebelah kiri dipercayai melintas jalan secara tiba-tiba menyebabkan pemandu kereta tidak sempat mengelak dan melanggarnya.

“Bapa remaja lelaki itu membawa anaknya menaiki kenderaan persendirian untuk dibawa ke Klinik Selisik. Bagaimanapun, apabila sampai hadapan Dewan Serbaguna Selisik, mangsa disahkan meninggal dunia.

“Mayat dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat,” katanya sambil menambah Toyota Vios ditahan di Cawangan Trafik Hulu Selangor untuk tindakan lanjut.

Ahmad Faizal berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.



Sumber – HARIAN METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker