SPRM siasat kes tipu hak milik tanah di Kuala Kedah

Oleh – Syeikh Baran

SPRM siasat kes tipu hak milik tanah di Kuala Kedah
PUTRAJAYA 15 MAC 2023 – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Menara SPRM, di sini, hari ini.
GAMBAR : FAISOL MUSTAFA
PEMBERITA : HUSNI (KOSMO)

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah membuka kertas siasatan berhubung kes penipuan hak milik tanah di Kuala Kedah, dekat sini yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Menurut sumber, SPRM telah memanggil tiga individu bagi mendapatkan penjelasan dan maklumat mengenai perkara tersebut selain telah memperoleh beberapa dokumen berkaitan.

“Fokus siasatan dijalankan SPRM tertumpu kepada isu rasuah serta penggunaan dokumen-dokumen dipercayai palsu bagi tujuan pindah milik tanah tersebut.

“SPRM juga telah mengenal pasti individu-individu serta agensi yang disyaki terlibat dengan kes ini dan akan memanggil mereka dalam waktu terdekat bagi mendapatkan maklumat,” katanya di sini, hari ini.
 
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Ahmad Nizam Ismail ketika dihubungi mengesahkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Beliau pada masa sama berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu itu sehingga siasatan selesai dijalankan.

Terdahulu, tular kenyataan seorang lelaki dikenali sebagai Abu Ismail Abu Yaziz dan anak perempuannya yang tidak berpuas hati dengan polis kerana didakwa seolah-olah tidak mengambil tindakan ke atas laporan dibuat.

Polis bagaimanapun menafikan dakwaan kononnya pihak berkuasa tidak mengambil tindakan ke atas laporan berhubung isu pertikaian Lesen Pendudukan Sementara (LPS) ke atas sebidang tanah di Kuala Kedah.

Pertikaian antara individu terbabit bersama seorang lagi individu lain tercetus sejak 2013 dan telah dibawa sehingga ke peringkat mahkamah.

Tiga kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 506, Seksyen 437 dan Seksyen 468 Kanun Keseksaan dengan dua daripadanya telah selesai.

Satu lagi siasatan masih diteruskan memandangkan beberapa dokumen yang didakwa palsu, memerlukan pengesahan pihak berkaitan.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker