Duda tadah tangan selepas terlepas hukuman mati

 

Oleh – Syeikh Baran

Duda tadah tangan selepas terlepas hukuman mati

Duda menadah tangan kesyukuran apabila terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi di sini, hari ini melepas dan membebaskannya daripada tuduhan mengedar dadah, empat tahun lalu.

Hakim Suria Kumar DJ Paul membuat keputusan itu terhadap peniaga Mohd Khuzaimi Ahmad, 43, selepas mendapati terdapat percanggahan dalam keterangan saksi pendakwaan kelima (SP5) yang juga isteri tertuduh serta pegawai polis (SP1) yang melakukan sebuan.

“Dalam kes ini, wujud percanggahan berkenaan kedudukan dadah sewaktu rampasan dilakukan, namun begitu pegawai penyiasat gagal untuk menjalankan siasatan mengenai perkara ini.

“Pertikaian mengenai kedudukan barang kes bukanlah satu perkara baru ditimbulkan tetapi dibangkit seawal peringkat siasatan dijalankan.

“Justeru, mahkamah memutuskan pihak pendakwaan gagal memutuskan satu kes prima facie terhadap tertuduh dan memerintahkan dia dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan ini,” katanya dalam penghakiman ringkas.

Mengikut pertuduhan, Mohd Khuzaimi didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 92.25 gram(g) di sebuah rumah di Kampung Hujung Tambak, Grisek, Tangkak kira-kira 10.30 pagi pada 11 Mei 2020.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya hukuman yang diberikan oleh mahkamah adalah hukuman penjara seumur hidup, selain disebat tidak kurang 15 kali.

Sepanjang perbicaraan berlangsung, pihak pendakwaan memanggil enam saksi keseluruhan termasuk bekas isteri tertuduh.

Dalam pada itu, tertuduh ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu, dia bersyukur dengan keputusan mahkamah berkenaan.

“Saya mahu pulang ke rumah untuk jumpa anak. Sudah berapa tahun saya tidak bersua muka dengannya kerana menjalani tahanan,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Sulehan Abd Rahman, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Abd Kadir.

Sumber – HARIAN METRO

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker