130 motosikal dalam depoh simpanan DBKL terbakar
Oleh – Syeikh Baran
Kira-kira 130 motosikal yang diletakkan di depoh simpanan kenderaan tersadai milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Taman Connaught dekat sini musnah dalam satu kebakaran tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, kebakaran tersebut melibatkan pelbagai model motosikal dan kesemua musnah 100 peratus.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.33 tengah hari.
“Setibanya di lokasi kejadian, anggota bomba mendapat kebakaran melibatkan deretan motosikal lama yang berada di depoh penyimpanan kenderaan tersadai milik DBKL.
“Kebakaran telah berjaya dipadamkan dengan anggaran kemusnahan 100 peratus dan sebanyak 130 buah unit motosikal pelbagai model telah terbakar,”katanya.
Tambah PGO JBPM Kuala Lumpur, punca kebakaran masih dalam siasatan unit forensik.
Sumber – KOSMO! ONLINE