MB Johor sedih, kecewa Klinik Kesihatan Gelang Patah daif dan sesak
Oleh – Syeikh Baran
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi melahirkan rasa amat sedih dan kecewa melihat keadaan Klinik Kesihatan Gelang Patah, di sini yang sangat daif.
Menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini, beliau yang melawat klinik itu semalam berkongsi keadaan ruang menunggu yang sesak dan sempit, selain keadaan fasiliti seperti kerusi, kipas dan pendingin hawa yang usang serta rosak.
Beliau berkata, keadaan itu diburukkan lagi dengan kemudahan parkir kenderaan yang terhad dan tidak tersusun di kawasan klinik, selain kekurangan aset seperti mesin ultrasound dan komputer.
“Saya berasa amat sedih dan kecewa melihat keadaan yang sangat daif di Klinik Kesihatan Gelang Patah ketika melawat semalam.
“Beberapa perkara diutarakan pihak pengurusan klinik dan orang awam ketika saya berada di klinik itu termasuk ruang menunggu di klinik yang sesak dan sempit dengan fasiliti seperti kerusi, kipas dan pendingin hawa yang usang serta rosak,” katanya.
Susulan itu, beliau berjanji kerajaan negeri akan membantu sedaya mungkin bagi menyelesaikan masalah berkenaan, selain turut melaksanakan penyelesaian jangka pendek bagi mengurangkan kesesakan sedia ada.
Katanya, terdapat cadangan untuk pembinaan sebuah klinik kesihatan baharu di kawasan Iskandar Puteri.
“Purata harian pelawat ke Klinik Kesihatan Gelang Patah berjumlah lebih 800 orang pesakit dan ia tidak mampu menampung populasi hampir 100,000 penduduk di kawasan Iskandar Puteri.
“Keadaan yang padat dan sesak ini menjadi cabaran utama di sini,” katanya.
Sebelum ini, keadaan Klinik Kesihatan Gelang Patah yang daif dan usang itu pernah ditularkan pengguna di media sosial susulan keadaannya yang terlalu padat, fasiliti tidak mencukupi serta jumlah pesakit yang ramai.
Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri menyedari masih banyak yang perlu dilakukan dalam mempertingkat kualiti fasiliti kesihatan di Johor demi keselesaan rakyat.
“Namun, saya percaya dengan kerjasama, usaha dan sokongan semua pihak, segala apa yang direncanakan mampu direalisasikan,” katanya.
Sumber – BERITA HARIAN