‘Imbas kembali apa terjadi pada SRC, saya ada penyesalan tertentu’ – Najib

Oleh – Syeikh Baran

'Imbas kembali apa terjadi pada SRC, saya ada penyesalan tertentu' - Najib

Datuk Seri Najib Razak mengakui, beliau ada penyesalan tertentu dengan apa yang berlaku terhadap SRC International Sdn Bhd yang membawa kepada kerugian terhadap syarikat pelaburan strategik negara itu.



Bekas perdana menteri itu yang memberikan keterangan pada perbicaraan saman sivil yang dikemukakan SRC terhadapnya berkata, beliau kesal jika diimbas kembali dengan apa yang berlaku.

“Saya mempunyai penyesalan tertentu tetapi berdasarkan kepada masa itu, saya tidak mempunyai pengetahuan atau maklumat (mengenai apa sebenarnya yang berlaku),” katanya.

Najib yang juga bekas Menteri Kewangan dan Penasihat Emeritus serta pemegang saham tunggal SRC ketika itu, berkata demikian ketika menjawab soalan peguam SRC, Kwan Wil Sen pada sesi pemeriksaan balas.

Pada Mei lalu, bekas Pengarah SRC, Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, yang dinamakan sebagai responden pihak ketiga dalam kes saman terbabit berkata syarikat tidak akan mengalami kerugian jika Najib bertindak selaras dengan nasihat Lembaga Pengarah (BOD) SRC.



Che Abdullah dalam keterangan beliau, berkata, ia kerana operasi syarikat berkenaan sedikit luar biasa jika dibandingkan dengan syarikat tersenarai awam lain kerana pada akhirnya keputusan akan dibuat oleh perdana menteri.

Sementara itu, Najib tidak bersetuju dengan cadangan Wil Sen bahawa semua transaksi yang membabitkan wang berjumlah AS$120 juta akhirnya dipindah masuk ke dalam akaun peribadinya.

Wil Sen: Bagi seseorang yang mempunyai kuasa besar, anda akan bersetuju bahawa terdapat tanggungjawab yang lebih besar di pihak anda untuk bertindak mengikut undang-undang dan tidak menggunakannya atau memanfaatkan secara peribadi?

Najib: Saya tiada pengetahuan mengenai aliran dana sama sekali, tetapi saya bersetuju sebagai menteri kewangan, saya berada dalam kedudukan akauntabiliti.



Wil Sen: Anda menyebabkan SRC gagal dan menanggung kerugian kira-kira AS1.18 bilion berdasarkan bukti pakar pemulihan aset luar pesisir yang juga pelikuidasi SRC International, Angela Barkhouse

Najib: Saya tidak bersetuju.

Wil Sen: Saya cuma memerlukan jawapan ringkas ya atau tidak.Berkenaan dengan semua perkara yang berlaku dalam SRC, adakah anda mengambil sebarang tanggungjawab atau sebahagian daripadanya?

Najib: Ia bergantung kepada sama ada saya bertanggungjawab. Saya tidak mempunyai pengetahuan mengenai aliran dana dan saya tidak pernah membenarkan ia ke dalam akaun saya.



Wil Sen: Bolehkah saya menerima bahawa jawapan anda adalah tidak?

Najib: Tidak.

Najib sebelum ini menegaskan, wang AS$120 juta dalam akaun Ambank miliknya, bukan daripada sumber SRC atau danadaripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

Najib berkata, pasukan peguamnya yang menjalankan analisa terhadap dokumen transaksi kemasukan wang itu merumuskan ia bukan daripada syarikat itu dan KWAP.



Pada Mac lalu, Barkhouse memberitahu mahkamah, Najib menerima wang AS$120 juta dalam akaun bank peribadinya, iaitu dana melalui pinjaman dibuat oleh syarikat pelaburan, SRC daripada KWAP.

Saksi itu berkata, asas keterangan beliau itu adalah berdasarkan kepada aliran dana di mana Najib menerima wang berkenaan melalui tiga transaksi.

Saksi kedua dalam kes saman itu berkata, semua dana berkenaan diterima Najib daripada syarikat pelaburan Blackstone Asia Real Estate Partners Ltd, iaitu AS$70 juta pada 29 Disember 2011, dan masing-masing AS$25 juta pada 12 Mac 2012 dan 22 Mei 2012.

Barkhouse berkata, beliau menyemak penyata bank AmPrivate Banking-MR milik Najib dan dapat memadankan kira-kira jumlah masuk dalam ringgit dengan urus niaga daripada akaun Blackstone, dalam mata wang dolar AS dengan mengguna pakai penukaran mata wang.



Bagaimanapun, beliau berkata, masih tidak dapat mengenal pasti akaun bank mana yang membuat pembayaran itu.

Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dikatakan menubuhkan Blackstone, iaitu nama sama dengan firma ekuiti hartanah persendirian Blackstone Real Estate dan sengaja menggunakan nama itu bagi menyerupai syarikat yang sudah matang dalam konspirasi mengaut berjuta-juta dolar daripada 1MDB.

Pada 7 Mei 2021, SRC memfailkan saman sivil terhadap Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Nik Faisal Ariff Kamil dengan menuntut ganti rugi AS$1.18 bilion.

Dalam kes saman terbabit, bekas pengarah SRC International dinamakan pihak ketiga responden iaitu Tan Sri Ismee Ismail, Datuk Suboh Md Yassin, Datuk Mohamed Azhar Osman Khairuddin, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Che Abdullah.

Perbicaraan kes di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung Isnin depan.

Sumber – HARIAN METRO

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker