Pegawai pemasaran didakwa ‘sentuh’ remaja perempuan di hotel
Oleh – Syeikh Baran
Seorang pegawai pemasaran sebuah syarikat kosmetik didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan di sebuah hotel di sini pada tahun lalu.
Tertuduh, Muhamad Ferrul Azieman, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun ketika kejadian di sebuah hotel di sini bermula pukul 3.58 pagi hingga 6 pagi pada Ogos tahun lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli, manakala tertuduh diwakili peguam, Nasrul Nazmi Nik Muhammad.
Terdahulu, Kamarul Hasyime mencadangkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan.
Nasrul Nazmi memohon jaminan yang rendah kerana anak guamnya berjanji untuk patuh dengan peraturan mahkamah selain tidak akan menganggu mangsa memandangkan tertuduh tinggal di Gombak, Selangor.
Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin termasuk syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di Balai Polis Gombak dua bulan sekali. Kes disebut semula pada 14 November depan dan tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah.
Sumber – KOSMO! ONLINE
You must be logged in to post a comment.