Kepercayaan GISBH sama seperti al-Arqam yang difatwa sesat pada 1994 – JK Fatwa NS
Oleh – Syeikh Baran
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan yang diadakan pada 28 September lalu mendapati ajaran dan kepercayaan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) sama seperti ajaran dan kepercayaan al-Arqam yang diwartakan sesat pada 1994.
Mufti Negeri Sembilan, Prof Datuk Dr Mohd Faudzinaim Badarudin berkata buat masa ini jawatankuasa belum putuskan sama ada perlu mengeluarkan fatwa baharu.
Fatwa al-Arqam haram masih berkuat kuasa
“Fatwa ajaran al-Arqam yang diharamkan sejak 1994 dan kemudian diwartakan sekali lagi pada 2016 masih relevan dan boleh dikuatkuasakan bagi menangani ajaran GISBH.
“Bagaimanapun, ia akan dinilai dan diputuskan semula pada mesyuarat jawatankuasa fatwa bulan ini,” katanya hari ini.
Setakat ini tiga negeri mengisytiharkan amalan dan kepercayaan GISBH sebagai sesat iaitu Perlis, Selangor dan Pahang.
Pada awal September lalu, polis melancarkan Op Global dan menyerbu rumah amal yang dikaitkan dengan GISBH kerana disyaki terbabit dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak dan agama.
Kumpulan al-Arqam dikatakan sangat aktif berevolusi daripada sudut penjenamaan dan penampilan, serta memiliki pengikut yang sangat ramai.
Strategi penyebaran kumpulan itu adalah melalui bidang pendidikan, penerbitan, perniagaan, perubatan, pakaian sunnah dan hiburan Islamik.
Sumber – BERITA HARIAN
You must be logged in to post a comment.