Bahagian klitoris wanita Ivory Coast dijual untuk kegunaan ilmu hitam

Bahagian klitoris wanita Ivory Coast dijual untuk kegunaan ilmu hitam

IVORY COAST: Seorang bekas bomoh mendedahkan dirinya sering melumurkan losyen yang diperbuat daripada klitoris yang dipotong daripada seorang gadis yang menjalani proses berkhatan.

Di Malaysia, sunat atau khatan dalam kalangan bayi perempuan hanya dilakukan mengikut prosedur gores atau dinipiskan pada bahagian frenulum atau kulit klitoris.

Prosedur ini berbeza sama sekali dengan amalan Female Genital Mutilation (FMG) atau memotong sebahagian alat kelamin wanita, yang dilarang Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), berdasarkan amalan sesetengah negara di benua Afrika, yang membuang bahagian klitoris, labia atau bibir kemaluan.

Moussa Diallo, yang tidak menggunakan nama sebenarnya, berkata dia berbuat demikian kerana mahu menjadi seorang yang berkuasa.

Lelaki bertubuh kecil berusia dalam lingkungan 50 tahun itu berkata losyen berkenaan akan disapu di bahagian wajah dan badannya setiap tiga bulan sekali, selama kira-kira tiga tahun.

Ketua Pertubuhan Kebangsaan Wanita, Kanak-Kanak dan Keluarga (ONEF), Labe Gneble, berkata alat kelamin yang sering dijual di pasaran gelap itu dipotong daripada gadis dalam satu upacara ‘bersunat’.

“Amalan ini diharamkan di beberapa kawasan di negara Afrika Barat, namun masih berleluasa bagi ‘membuat ramuan pengasih’ atau sihir yang dipercayai membantu mereka mendapatkan wang atau jawatan tertinggi politik,” katanya.

Klitoris yang sudah diproses itu boleh dijual sehingga kira-kira AS$170 (RM732), bersamaan dengan pendapatan sebulan bagi penduduk di Ivory Coast.

Meskipun Diallo sudah berhenti menggunakan losyen berkenaan sepuluh tahun lalu, Ketua Polis Daerah, Leftenan N’Guessan Yosso mengesahkan kepada AFP bahawa klitoris yang sudah dikeringkan masih dicari untuk melakukan amalan mistik.

Wawancara yang dijalankan bersama tabib, tukang khatan, pekerja sosial, penyelidik dan badan bukan kerajaan (NGO) mendapati sehingga kini masih terdapat perdagangan aktif genitalia wanita kerana dakwaan ‘kesaktian’ yang dimilikinya.

Ramai yakin perdagangan itu menghalang usaha membanteras amalan wanita FGM, yang sudah diharamkan di negara dengan anutan pelbagai agama itu, sejak lebih daripada satu suku abad.

Walaupun begitu, menurut Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), seorang dalam setiap lima wanita Ivory Coast masih menjalani proses berkenaan dan di bahagian utara, satu daripada dua wanita menjadi mangsa mutilasi.

Sebelum Diallo bertaubat dan berkempen menentang FGM, dia sering diminta oleh wanita yang berkhatan di sekitar bandar kecil Touba untuk menggunakan kuasanya bagi melindungi mereka daripada ilmu hitam.

Amalan berkhatan bagi wanita sudah dilakukan oleh pelbagai suku kaum di Afrika Barat selama berabad-abad dan kebanyakan membabitkan golongan kanak-kanak perempuan dan remaja.

Banyak keluarga menganggapnya sebagai satu adat atau cara bagi mengawal dan menekan seksualiti wanita, tetapi Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menyifatkan amalan itu sebagai pelanggaran serius hak asasi gadis.

Selain daripada kesakitan fizikal dan psikologi, berkhatan yang diamalkan di Afrika Barat boleh membawa maut, menyebabkan kemandulan, komplikasi kelahiran, jangkitan kronik dan pendarahan selain kehilangan nafsu seksual.

Diallo sering menemani wanita yang melakukan amalan berkhatan ke dalam hutan atau ke rumah, yang menyaksikan puluhan gadis akan disunat, dengan hanya menggunakan alatan perubatan asas.

Justeru, adalah agak mudah bagi bekas bomoh itu untuk mendapatkan bahagian alat kelamin yang dipotong untuk dikeringkan dan dijadikan serbuk berharga.

“Apabila mereka memotong klitoris, mereka akan mengeringkannya dalam tempoh sebulan atau dua, kemudian menghancurkannya menggunakan batu,” katanya.

Organ itu kemudian menjadi serbuk hitam dan kadang-kadang ia dicampur dengan daun, akar dan kulit pokok serta losyen ‘shea’ yang sering digunakan dalam kosmetik.

Hasil akhir boleh dijual pada harga sekitar 100,000 CFA Franc (RM732) jika gadis itu masih ‘dara’ atau 65,000 (RM 477) jika dia sudah mempunyai anak, tambah Diallo.

Bekas bomoh itu berkata dia baru-baru ini dapat memperoleh sebahagian daripada serbuk berkenaan – yang dicampur daging manusia dan tumbuhan, daripada seorang tukang khatam di kampungnya.

AFP dapat melihat serbuk berkenaan tetapi tidak dapat melakukan ujian bagi mengesahkan kesahihannya.

Sementara itu, bekas tukang khatan yang ditemubual oleh AFP menegaskan bahawa klitoris yang dipotong daripada gadis akan ditanam atau dibuang ke sungai, selain mungkin diberikan kepada ibu bapa, bergantung kepada adat tempatan.

Bagaimanapun, tukang khatan itu mengakui bahawa ada yang akhirnya digunakan untuk aktiviti sihir atau ilmu hitam.

“Ada orang yang berpura-pura mereka adalah ibu bapa gadis-gadis itu dan melarikan klitoris,” katanya.

Bomoh menggunakan klitoris berkenaan untuk ‘mantera’ dan menjualnya selepas itu, dakwanya.

Seorang lagi tukang khatan berkata sesetengah rakannya terbabit dalam perdagangan berkenaan, dengan memberikan (genitalia) kepada orang yang berniat jahat untuk tujuan mistik.

Ketika dia masih kanak-kanak, seorang mangsa memberitahu AFP bahawa ibunya memberi amaran supaya dia membawa pulang ‘cebisan’ yang sudah dipotong.

Perdagangan itu dianggap sebagai ‘pemerdagangan organ manusia’ di bawah undang-undang Ivory Coast dan boleh dihukum seperti bagi kesalahan FGM, dengan denda dan beberapa tahun penjara, kata peguam Marie Laurence Didier Zeze.

Namun, pihak polis di Odienne, yang bertanggungjawab untuk lima wilayah di barat laut negara itu, berkata tiada siapa pun yang pernah didakwa bagi perdagangan organ.

“Orang tidak akan bercakap mengenai amalan-amalan suci,” kata Leftenan N’Guessan Yosso.

Tukang khatam atau bersunat itu sangat digeruni dan dihormati, menurut penduduk tempatan kepada AFP, selain sering dianggap sebagai penyimpan roh jahat.

“Klitoris tidak boleh memberikan anda kuasa ajaib, ia hanya khayalan,” kata pakar sakit puan, Jacqueline Chanine, yang berpangkalan di ibu kota perdagangan negara, Abidjan.

Penyelidik memaklumkan, amalan itu masih berleluasa di beberapa bahagian di negara berkenaan.

Seorang ahli antropologi khusus dalam bidang kesihatan, Dieudonne Kouadio, menunjukkan sebuah kotak serbuk di bandar Odienne di 150 kilometer di utara Touba.

“Ia mengandungi organ yang dipotong dan sudah dikeringkan sebelum dijadikan serbuk berwarna kuning gelap,” katanya.

Penemuannya dimasukkan dalam laporan 2021 untuk Yayasan Djigui, yang memperjuangkan hak gadis dan wanita yang menjadi mangsa amalan kejam itu dan kesimpulannya diterima oleh Kementerian Wanita.

Seorang ahli Yayasan Djigu, Nouho Konate berkata, petani di daerah Denguele termasuk Odienne membeli klitoris dan mencampurkan serbuk berkenaan dengan biji benih tanaman bagi meningkatkan kesuburan tanah mereka.

Konate sudah berjuang melawan FGM di kawasan itu selama 16 tahun.

Dia berkata ibu bapa gadis-gadis berkenaan sangat ‘terkejut’ apabila diberitahu mengenai perdagangan berkenaan.

Di selatan dan di barat negara itu, wanita menggunakan serbuk klitoris begi meningkatkan nafsu syahwat, dengan harapan mencegah suami mereka daripada berlaku curang, kata pakar kriminologi, Safie Roseline N’da, pengarang kajian 2023 mengenai FGM, yang turut mengkaji perdagangan berkenaan.

Dia dan dua rakan penulis lain mendapati darah daripada wanita yang dipotong alat kelaminnya turut digunakan untuk menghormati dewa tradisional.

Ia menunjukkan penggunaan bahagian tubuh manusia dalam ubat-ubatan rakyat di Ivory Coast adalah perkara biasa, menurut peguam Didier Zeze.

Menurut seorang ahli antropologi Kanada, Boris Koenig, yang juga pakar dalam amalan mistik di Ivory Coast, amalan itu mempunyai peranan penting dalam kehidupan harian di negara berkenaan, di mana agama Islam, Kristian dan kepercayaan animistik tradisional wujud bersama.

Ia mempengaruhi semua aspek kehidupan sosial, profesional, keluarga dan cinta seseorang, secara amnya, tiada yang dianggap tidak sah mengenainya.

Namun, perdagangan itu adalah antara faktor mengapa FGM terus bertahan di Ivory Coast dengan kadar mereka yang mengamalkannya menurun dan berada di bawah purata Afrika Barat sebanyak 28 peratus, menurut OECD.

Dalam pada itu, bekas bomoh Diallo mengingati bagaimana sehingga 30 wanita akan disunat dalam sehari di tempat yang dilindungi oleh sihirnya.

Musim panas antara Januari hingga Mac adalah tempoh yang digemari untuk acara itu, apabila angin dari Sahara membantu parut sembuh, katanya.

Kakitangan di pusat kerja sosial di kawasan itu mengatakan bahawa hal itu masih berlaku tetapi sukar untuk dipantau kerana ia tidak pernah dilakukan secara terbuka.

Sebaliknya, ia dilakukan secara tersembunyi di sebalik pesta atau upacara tradisional yang tidak kaitan dengan amalan berkenaan. BH

Bahagian klitoris wanita Ivory Coast dijual untuk kegunaan ilmu hitam

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Kalau benar Fazura, Fattah bercerai…

Betty Banafe dakwa siasatan polis tak ikut SOP disangkal PDRM (Video)

Ramly Burger disanjung dalam The New York Times

Scha Al Yahya ‘menyala’ di Dubai Fashion Week

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker