Hamas, Fatah ‘berdamai’
Hamas, Fatah ‘berdamai’
Beijing: Hamas menandatangani perjanjian di Beijing pada Selasa dengan pertubuhan Palestin, termasuk rival mereka Fatah, untuk bekerjasama bagi ‘perpaduan nasional’, dan China menyifatkan ia sebagai kesepakatan untuk memerintah Gaza bersama selepas perang berakhir.
Menteri Luar China Wang Yi, yang menjadi tuan rumah kepada pegawai kanan Hamas, Musa Abu Marzuk, utusan khas Fatah Mahmud al-Aloul dan utusan khas dari 12 pertubuhan Palestin lain berkata, mereka bersetuju untuk menubuhkan Kerajaan Perdamaian Nasional Sementara untuk mentadbir Gaza selepas perang.
“Hari ini (Selasa) kami menandatangani perjanjian untuk perpaduan nasional dan kami mengatakan bahawa jalan untuk melengkapkan perjalanan ini adalah perpaduan nasional. Kami komited kepada perpaduan nasional dan kami menyerunya,” kata Abu Marzuk selepas bertemu Wang dan utusan khas lain.
Pengumuman itu hadir selepas lebih sembilan bulan perang yang dicetuskan pejuang Hamas ke atas Israel selatan, yang mengakibatkan kematian 1,197 orang, kebanyakannya orang awam, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka Israel.
Kumpulan pejuang itu juga menahan 251 tebusan, 116 daripadanya masih di Gaza, termasuk 44 yang menurut tentera Israel sudah mati.
Kempen serangan balas tentera Israel di Gaza pula membunuh lebih 39,000 orang, rata-ratanya orang awam, menurut data daripada kementerian kesihatan di Gaza.
Pertempuran tanpa henti menjerumuskan Gaza ke dalam krisis kemanusiaan yang teruk.
China berusaha untuk memainkan peranan sebagai orang tengah dalam konflik itu, yang menjadi lebih kompleks disebabkan persaingan antara Hamas, yang memerintah Semenanjung Gaza, manakala Fatah, mentadbir Tebing Barat.
Ketika mesyuarat berakhir di Beijing hari ini, Wang berkata, kumpulan itu komited untuk ‘perdamaian’.
“Kemuncak paling menonjol ialah perjanjian untuk membentuk Kerajaan Perdamaian Nasional Sementara mengenai pemerintahan Gaza selepas perang,” kata Wang selepas menandatangani ‘deklarasi Beijing’ oleh pertubuhan terbabit di ibu negara China itu.
“Perdamaian adalah perkara dalaman bagi pertubuhan-pertubuhan Palestin, tetapi pada masa yang sama, ia tidak boleh dicapai tanpa sokongan masyarakat antarabangsa,” kata Wang.
China, katanya, berminat untuk “memainkan peranan yang membina dalam menjaga keamanan dan kestabilan di Timur Tengah.”
Beijing, kata Wang, menyeru “gencatan senjata yang komprehensif, berkekalan dan mampan”, serta usaha untuk mempromosikan pemerintahan sendiri Palestin dan pengiktirafan penuh negara Palestin di PBB.
Hamas dan Fatah adalah musuh ketat sejak pejuang Hamas mengusir Fatah dari Semenanjung Gaza selepas pertempuran maut yang menyusuli kemenangan gemilang Hamas dalam pilihan raya 2006.
Fatah mengawal Pihak Berkuasa Palestin, yang mempunyai separa kawalan pentadbiran di Tebing Barat yang diduduki Israel.
Beberapa tawaran perdamaian gagal, tetapi usaha itu meningkat sejak serangan pejuang Hamas pada Oktober dan perang sembilan bulan di Gaza, dengan keganasan juga meningkat di Tebing Barat yang ditadbir Fatah.
China menjadi tuan rumah pertemuan Fatah dan Hamas pada April tetapi mesyuarat yang dijadualkan pada Jun ditangguhkan.
China dari segi sejarah bersimpati kepada perjuangan Palestin dan menyokong penyelesaian dua negara (two-state solution) untuk konflik Israel-Palestin. HM
Hamas, Fatah ‘berdamai’
Baca Artikel Menarik:
- Sepatutnya gantung Wan Fayhsal setahun
- MCA bakal tinggalkan BN?
- Tak sempat sambut ulang tahun kahwin bulan depan
- Kes pukul OKU pekak, NGO gesa percepat pendakwaan
- Bunuh lalu bakar mayat, 3 sekawan didakwa
- Jailani terikat aku janji, kena bayar ganti rugi – Ab Rauf
- Anak umur 7 tahun jadi imam, Syatilla Melvin menangis ketika solat
- Intan Najuwa nak saman
- Apa akan jadi dengan Peja?
- Nabil tempah iklan ‘billboard’ minta cuti
- Tak perlu tunggu 24 jam untuk lapor orang hilang – KPN
- Angin berhembus ucapan terima kasih mangsa (Video)
- Jamal rugi RM2 juta
- Pan-gon perlu bayar lebih RM3 juta
- ADUN Rembia kena sedia bayar denda RM100 juta – Dr Akmal
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
You must be logged in to post a comment.