Hajat pesakit kanser meninggal dunia di Mekah jadi kenyataan

Hajat pesakit kanser meninggal dunia di Mekah jadi kenyataan

KOTA BHARU: “Hasrat arwah suami mahu meninggal dunia di Makkah, menjadi kenyataan apabila dia menghembuskan nafas terakhir di Pusat Rawatan Lembaga Tabung Haji (TH) Syisyah akibat kanser periampullary,” kata Noraini Mat Sari.

Noraini, 59, adalah isteri kepada Allahyarham Abd Wahab Ramli, 60, yang meninggal dunia di Tanah Suci Makkah ketika menunaikan Rukun Islam kelima bagi musim 1445 Hijrah.

Menurut Noraini, arwah suaminya itu meninggal dunia pada jam 4.38 petang Selasa lalu (waktu Arab Saudi) ketika dalam rawatan di Pusat Rawatan Lembaga Tabung Haji (TH) Syisyah.

ADVERTISING

“Arwah suami yang juga pesara guru mulanya dimasukkan ke Pusat Rawatan Lembaga Tabung Haji (TH) Syisyah lima hari sebelum ibadat wukuf.

“Disebabkan keadaan kesihatan tidak mengizinkan, arwah terpaksa melakukan Safari Wukuf,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Keseng, di sini, hari ini.

Terdahulu keluarga itu dikunjungi Pemangku Pengarah Tabung Haji Negeri Kelantan, Mohamad Rosli Mustapai, untuk menyampaikan sumbangan khairat kematian serta mengadakan tahlil.

Noraini berkata, selepas beberapa hari arwah suaminya dirawat dan dibenarkan keluar dari pusat perubatan berkenaan, dia meminta kebenaran daripada pihak pengurusan Tabung Haji untuk diletakkan sebilik bersama arwah disebabkan kesihatannya semakin merosot.

“Pihak Tabung Haji membenarkan kami tinggal sebilik dan saya sempat berbakti kepada arwah dengan menguruskan segala keperluannya sebelum arwah sekali lagi dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut sehingga menghembuskan nafas terakhir Pusat Rawatan Lembaga Tabung Haji (TH) Syisyah,” katanya.

Bercerita lanjut, Noraini berkata, arwah suaminya itu disahkan menghidap kanser periampullary tahap empat sejak Februari lalu dan keadaan kesihatan suaminya tidak menentu.

“Ketika kami mendapat panggilan menunaikan haji selepas 15 tahun menanti, arwah adalah individu yang paling gembira dan sanggup mengetepikan sakit yang dihidapi demi menunaikan Rukun Islam kelima.

“Kami mula berangkat untuk menunaikan haji pada 10 Mei lalu dan pada ketika itu kesihatan arwah berada dalam keadaan baik dan sepatutnya pulang pada hari ini selepas 49 hari berada di sana,” katanya.

Ibu kepada empat cahaya mata berusia di antara 24 hingga 33 tahun ini berkata, dia reda dengan pemergian arwah suaminya itu daripada terus melihatnya menanggung penderitaan akibat penyakit kanser.

“Sepanjang berada di Tanah Suci Makkah, saya tidak putus-putus berdoa dan memohon kepada Allah SWT agar mematikan sel kanser yang dihidapi oleh arwah suami, namun perancangan Allah SWT melebihi segala-galanya.

“Arwah suami selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Syara’ie, Makkah pada Selasa selepas jenazahnya disolatkan umat Islam dari seluruh dunia di Masjidilharam.

“Hari ini saya tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) seorang diri tanpa ditemani arwah suami di sisi. Namun saya reda dengan pemergiannya dan berdoa semoga arwah ditempatkan di syurga tertinggi bersama para syuhada,” katanya sambil menahan sebak.

Noraini yang bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Che Deris turut menzahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada pihak Tabung Haji serta petugas-petugas yang memudahkan segala urusan arwah suaminya termasuk menguruskan proses pengebumian di Tanah Perkuburan Syaraya di Makkah.

Sementara itu, Mohamad Rosli berkata, kematian Allahyarham Abd Wahab Ramli adalah jemaah yang kedua dari Kelantan selepas seorang lagi jemaah perempuan berusia 54 tahun berasal dari Kota Bharu yang meninggal dunia di Makkah pada 19 Jun lalu.

“Pada musim haji tahun ini ada 2,400 jemaah haji dari Kelantan membabitkan 13 penerbangan.

“Lima daripada 13 penerbangan yang membawa jemaah haji sudah selamat tiba di tanah air dan penerbangan terakhir jemaah dari Kelantan dijangka tiba pada 2 Julai nanti,” katanya. BH

Hajat pesakit kanser meninggal dunia di Mekah jadi kenyataan

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Kesilapan Azmin bikin Mahathir berubah hati

Apa kelayakan Siti Nurhaliza sehingga diberi jawatan pakar UMCced?

Sudahlah kalah, lamaran ditolak

Boikot konsert Bruno Mars di Bukit Jalil

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker