Punca Hajar Aswad dicuri dan 30 ribu jemaah haji dibunuh

Perbuatan terkutuk ini didalangi oleh Abu Thahir Sulaiman bin Abu Said al-Hussain al-Janabi iaitu pemimpin syiah Qaramithah.

Punca Hajar Aswad dicuri dan 30 ribu jemaah haji dibunuh

Hajar aswad merupakan sebuah batu yang terletak di salah satu sudut penjuru Kaabah. Batu ini berbentuk seperti telur dengan warna hitam kemerah-merahan dan dianggap suci oleh umat Islam kerana ia berasal dari syurga sebagaimana yang disabdakan Baginda s.a.w.

“Hajar Aswad adalah batu dari batu-batuan syurga” (HR Tirmizi)

Ia telah menjadi sebahagian dari bangunan Kaabah sejak Nabi Ibrahim a.s. membangunkan Kaabah bersama anaknya Nabi Ismail a.s. Kerana itu setiap kali menunaikan haji atau umrah, umat Islam akan mengambil kesempatan untuk mencium batu ini kerana mengikut sunnah yang dilakukan oleh Baginda Rasulullah s.a.w.

Sebagai batu suci yang dimuliakan oleh umat Islam dan menjadi sebahagian dari amalan sunnah menciumnya tatkala selesai menunaikan tawaf, hajar aswad sebenarnya pernah hilang selama hampir 23 tahun kerana dicuri. Perbuatan terkutuk ini didalangi oleh Abu Thahir Sulaiman bin Abu Said al-Hussain al-Janabi iaitu pemimpin dari kelompok syiah Qaramithah.

Sebagaimana yang dicatat dalam kitab-kitab sejarah seperti Ibnu Katsir dalam al-Bidayah wan Nihayah, Ibnul Atsir dalam al-Kamil fit Tarikh, Ibnu Jarir at-Thabari dalam Tarikhul Umam wal Muluk dan sejumlah ahli sejarah yang lain, peristiwa ini berlaku pada musim haji hari Tarwiyah iaitu 8 Zulhijjah tahun 317H. Ketika ini umat Islam sedang berkumpul di mana mereka semua dalam perjalanan menuju ke Mina untuk bermalam dan keesokan harinya akan menuju ke padang Arafah.

Pada ketika itu Abu Thahir bersama-sama pengikutnya dengan kejam dan rakus telah menyerang Mekah sehingga mengakibatkan puluhan ribu umat Islam yang datang menunaikan haji terbunuh. Bukan sahaja penduduk Mekah dan jemaah haji yang berada di sekitar Mekah menjadi mangsa, malah Abu Thahir dan pengikut-pengikutnya tanpa rasa takut dan berdosa turut menyerang Kaabah.

Mereka menghancurkan pintu masuk masjid al-Haram dan pintu Kaabah, merobek kain kiswah, mencuri banyak barang-barang berharga yang ditemui, membunuh semua jamaah haji yang sedang tawaf, I’tikaf dan solat di dalam Masjidil Haram lalu melemparkan mayat-mayat umat Islam yang tidak berdosa ini ke dalam telaga zam-zam bertujuan untuk mencemarkan sumber air di Masjidil Haram.

Mayat-mayat mereka bergelimpangan dengan noda darah yang pekat, hanyir dan berbau busuk. Darah itu mengalir membasahi pakaian ihram yang putih bersih, yang menyelimuti tubuh mereka sebelum ini dan bertukar menjadi merah kehitaman. Begitu ngeri dan menakutkan keadaan Masjidil Haram pada ketika itu. Siapa Sahaja pada ketika itu tidak akan menyangka bahawa ada serangan yang dilakukan terhadap mereka.

Tubuh-tubuh yang kaku dan merah kehitaman ini ditanam di Tanah Haram dan sekitar Masjidil Haram tanpa dimandikan, dikafankan dan disolatkan. Menurut catatan sebahagian besar ahli sejarah, seramai 30 ribu orang telah menjadi mangsa kekejaman Abu Thahir dan pengikutnya.

Hajar Aswad dicuri

Kemudian Abu Thahir mencuri Hajar Aswad dan dengan bangganya dibawa ke Masjid al-Dirar yang terletak di ibu kota al-Hasa di Bahrain. Abu Thahir ingin menjadikan masjid al-Dirar sebagai ganti kepada Kaabah dengan mengajak umat Islam menunaikan haji di sini.

Amir Kota Mekah bersama keluarga dan beberapa orang pengikutnya menyusul Abu Thahir bertujuan untuk berunding dan memujuknya agar dikembalikan semula Hajar Aswad. Malah dia turut menawarkan seluruh hartanya kepada Abu Thahir.

Akan tetapi pemimpin Syiah Qaramithah ini dengan sikap bengis, angkuh dan sombong menolak tawaran tersebut. Malah dengan kejamnya dia membunuh Amir dan seluruh ahli keluarga serta pengikutnya.

Setelah tragedi berdarah tersebut, ibadah haji dihentikan sementara oleh pemerintah Arab Saudi selama lapan tahun berturut-turut kerana diselubungi rasa takut dan trauma dengan perbuatan keji golongan Syiah Qaramitah ini.

Dan selama itu hampir 23 tahun Kaabah kehilangan Hajar Aswad kerana disimpan di masjid al-Dirar. Hinggalah muncul Kerajaan Abbasiyah pimpinan Khalifah al-Muktadir Billah yang melancarkan satu serangan terhadap golongan ini bagi merampas dan membawa Kembali batu Hajar Aswad ke Kaabah.

Dianggarkan beliau telah membawa seramai 80 ribu orang askar bagi menyerang golongan Qaramithah yang hanya berjumlah 3 ribu orang sahaja. Setelah tewas, Abu Thahir telah bersetuju untuk memulangkan kembali Hajar Aswad ke Mekah.

Usai itu barulah Hajar Aswad kembali ke semula ke tempatnya yang asal pada 10 Zulhijjah tahun 339H. Namun sayangnya ia mengalami keretakan hingga menjadi tujuh bahagian. Justeru untuk menjaga bentuknya, penjaga Kaabah iaitu keluarga Bani al-Syaibah telah membingkaikannya dengan perak seperti yang dapat kita lihat hingga kini.

Demikianlah titik hitam dalam lipatan sejarah Islam yang pernah berlaku kepada umat Islam pada musim haji dan menjadi menjadi igauan ngeri bagi penduduk Mekah. Menurut Ibnu Kathir tahun pemulangan itu adalah tahun yang berkah dan menggembirakan bagi umat Islam. Malah bertepatan dengan bulan Zulhijjah yang dimuliakan Allah. Wallahu a’lam Utv

Punca Hajar Aswad dicuri dan 30 ribu jemaah haji dibunuh

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Video gaduh viral, 2 lelaki bertumbuk di kedai runcit ditahan polis

Ustaz Kazim cerita kisah Ustaz Don

Telefon bimbit disambar peragut di Pasar Seni berjaya dirakam dashcam kereta [VIDEO]

‘Bila bercinta jadi ustaz, putus sibuk hip hop’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker