Duit gelap beli hartanah di Dubai

Duit gelap beli hartanah di Dubai

Dari tingkat 37 bangunan pencakar langit tertinggi di Dubai, isteri kepada seorang yang didakwa anggota kartel Bosnia menyiarkan video demi video di TikTok mengenai pangsapuri mewah yang disewa pasangan itu, sering menampilkan kucing kelabu mereka.

Imej-imej itu memberikan petunjuk yang cukup kepada wartawan untuk mengenal pasti lokasi tepat apartmen di bangunan pencakar langit ikonik Burj Khalifa di kota itu.

Hartanah itu juga tergolong dalam sasaran penguatkuasaan undang-undang terhadap individu lain: Candido Nsue Okomo, bekas ketua syarikat minyak negara Republik Equatorial Guinea yang dilanda skandal dan sedang disiasat kerana pengubahan wang haram di Sepanyol.

Okomo juga abang ipar kepada presiden paling lama memerintah (sejak rampasan kuasa 1979) di republik itu Teodoro Obiang Nguema Mbasogo dan keluarganya dituduh oleh pendakwa raya Perancis merompak sumber awam negara Afrika itu, yang sangat bergantung pada hasil minyak.

Burj Khalifa (tengah) bangunan pencakar langit tertinggi di Dubai mengaitkan seorang ahli politik Afrika yang disiasat kerana pengubahan wang haram dan bekas polis yang ditahan di Bosnia kerana rasuah.

Tidak jelas sama ada penyewa, Dženis Kadrić, dan tuan tanahnya Okomo mengetahui dakwaan salah laku masing-masing.

Tetapi penumpuan mereka dalam perjanjian pajakan adalah lambang Dubai zaman moden, dengan kerahsiaan dan polisi permisif selama bertahun-tahun telah menyebabkan senarai hartanah di sana dipenuhi dengan pemilik yang didakwa mempunyai reputasi buruk.

Felo Program Keadilan Global Universiti Yale James Henry yang juga pakar tempat perlindungan cukai, menyamakan Emiriah Arab Bersatu (UAE) – persekutuan tujuh emirat termasuk Dubai – dengan “bar tempat pertemuan dalam Star Wars.”

‘Sarang penjahat Star Wars’

Untuk rekod, bandar pelabuhan angkasa Mos Eisley di planet Tatooine pertama kali muncul dalam filem Star Wars 1977 yang disifatkan oleh watak Obi-Wan Kenobi (lakonan Alec Guinness) sebagai ‘sarang penjahat.’

“Anda masuk, anda melihat kleptokrat, di sebelah kiri oligarki, di tengah pengubah wang haram, dan di belakang peniaga komoditi Rusia yang kotor menggunakannya (Dubai) sebagai lompong untuk (mengelak) sekatan,” kata Henry.

“Mereka semua dilayan oleh kerahsiaan kewangan asas yang sama,” katanya lagi.

Dalam kes pangsapuri pencakar langit milik Okomo, wartawan dari Projek Pelaporan Jenayah dan Rasuah Terancang (OCCRP) Serbia KRIK mula-mula menggunakan video TikTok untuk menghubungkan unit itu kepada Kadrić, bekas anggota polis yang ditangkap di Bosnia pada Februari kerana disyaki terlibat dalam jenayah terancang, penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram. Dia dibebaskan pada Mei tetapi masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Pakar geolokasi dari pusat penyiasatan Bellingcat kemudian menggunakan video untuk mengenal pasti apartmen tertentu.

Pemilikan Okomo telah disahkan oleh kontrak sewa 2023 dan penyenaraiannya dalam tranche data hartanah yang bocor.

Dihukum dan didakwa

Okomo bukan satu-satunya pemilik yang dituduh melakukan jenayah yang disorot wartawan dalam kebocoran data itu.

Selepas penyiasatan enam bulan yang diterajui oleh OCCRP dan saluran Norway E24, wartawan menemui sejumlah besar penjenayah, pelarian, tokoh politik yang dituduh rasuah atau sekutu mereka dan individu yang dikenakan sekatan telah memiliki sekurang-kurangnya satu hartanah di Dubai.

Sebagai contoh, tidak jauh dari hartanah Burj Khalifa milik Okomo ialah sebuah apartmen di Hotel Burj Lake yang dimiliki oleh Shwan Mohammad Almulla, seorang warga Britain kelahiran Iraq yang telah didakwa di AS pada 2021 atas skim rasuah untuk mendapatkan berjuta-juta dolar dalam kontrak pembinaan semula Iraq .

Berdekatan pantai di Grandeur Residences, sebuah bangunan di pulau buatan Dubai berbentuk palma itu, ialah unit hartanah milik Joseph Johannes Leijdekkers, seorang lelaki berusia 32 tahun yang juga dikenali sebagai ‘Chubby Jos’ dan berada dalam Senarai Paling Dikehendaki Kesatuan Eropah atas dakwaan pengedaran narkotik.

Sementara itu, di Palm Tower Dubai yang berhampiran, terdapat sebuah pangsapuri milik Danilo Vunjao Santana Gouveia, seorang ahli perniagaan Brazil yang menggunakan nama gelaran Dubaiano.

Didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram dan penipuan kerana didakwa menjalankan skim piramid Bitcoin secara besar-besaran di negara asalnya, dia telah memulakan kerjaya sebagai pemuzik di Dubai, yang diperincikannya di akaun Instagram bersama gambarnya di pelbagai lokasi di bandar itu, termasuk bangunan pencakar langit Burj Al Arab Jumeirah yang berbentuk layar.

Pemilik hartanah ini dan banyak pemilik hartanah lain yang disahkan oleh OCCRP dan rakan kongsinya sepatutnya segera mencetuskan kebimbangan di bawah sebarang penilaian risiko asas.

Namun tiada seorang pun daripada individu berkenaan nampaknya dihalang daripada membeli hartanah atas nama mereka sendiri. (Kadrić, Okomo, Almulla, Leijdekkers dan Santana Gouveia tidak menjawab permintaan untuk mendapatkan maklum balas.)

Apa kata data bocor?

Data yang bocor, yang kebanyakannya dari 2022 dan 2020, pada mulanya diperoleh oleh Center for Advanced Defense Studies (C4ADS), sebuah badan bukan keuntungan di Washington DC yang menyelidik jenayah dan konflik antarabangsa.

Ia kemudian dikongsi dengan saluran kewangan Norway E24 dan OCCRP, yang menyelaraskan Dubai Unlocked, sebuah projek penyiasatan global yang melibatkan wartawan dari lebih 70 saluran media.

Para wartawan menggunakan data itu sebagai titik permulaan untuk meneroka landskap pemilikan hartanah asing di Dubai.

Mereka menghabiskan masa berbulan-bulan untuk mengesahkan identiti orang dalam data yang bocor, serta mengesahkan status pemilikan mereka, menggunakan rekod rasmi, penyelidikan sumber terbuka dan set data bocor yang lain.

Dari pengedar kokain Australia kepada saudara-mara diktator Afrika Barat dan kumpulan pembiaya Hezbollah yang dikenakan sekatan, penemuan mendedahkan bagaimana Dubai membuka pintu kepada watak-watak tidak bertanggungjawab dari seluruh dunia.

“Pelaku rasuah dan individu yang terdedah secara politik mengelakkan akauntabiliti awam menggunakan bidang kuasa kerahsiaan seperti UAE untuk menyembunyikan aset secara jelas,” kata pengurus portfolio di C4ADS Maria Giuditta Borselli.

Pegawai UAE – termasuk daripada kementerian dalam negeri, ekonomi dan keadilan – serta Polis Dubai tidak menjawab soalan terperinci.

Bagaimanapun, kedutaan UAE di UK dan Norway menghantar maklum balas ringkas kepada wartawan, berkata negara itu “mengambil peranan dalam melindungi integriti sistem kewangan global dengan sangat serius.”

“Dalam usaha berterusan memburu penjenayah global, UAE bekerjasama rapat dengan rakan kongsi antarabangsa untuk membasmi dan menghalang semua bentuk kewangan haram,” kata kenyataan itu.

“UAE komited untuk meneruskan usaha dan tindakan ini lebih dari sebelum ini dan dalam jangka masa yang lebih lama.”

Kenapa Dubai?

Empat puluh tahun lalu, Dubai ialah petempatan Timur Tengah yang tidak menarik, dengan ribut pasir boleh bertiup tanpa halangan melalui kawasan itu dari gurun Arab ke Teluk Parsi.

Hari ini, ia merupakan hab kewangan global yang mempunyai salah satu latar pencakar langit yang paling dikenali di dunia.

Dubai dikenali sebagai ‘hutan keluli’ yang futuristik dengan pemimpin perniagaan menerima tawaran berbilion dolar, pempengaruh mempamerkan gaya hidup yang diselubungi kemewahan dan Tom Cruise menaiktaraf ikon bangunan tertinggi di dunia itu untuk menjadi francais filem blokbuster.

Bandar Teluk itu bukanlah satu-satunya tempat di mana penjenayah dan orang lain telah berjaya menyimpan kekayaan mereka dalam bentuk hartanah mewah.

Dokumen dedah warga Malaysia beli hartanah di Dubai

Hartanah New York City dan London juga telah diketahui menarik wang gelap.

Namun, pakar berkata Dubai ada banyak tawaran dan bukan hanya sekadar rangkaian luas bangunan pencakar langit dan vila mewahnya.

Satu faktor penarik, kata pakar, adalah tindak balas Emeriah itu yang tidak konsisten terhadap permintaan pihak berkuasa asing untuk membantu menangkap dan mengekstradisi pelarian.

Sehingga baru-baru ini, UAE tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan banyak negara, membantu menjadikan Dubai magnet yang menarik pelarian dari seluruh dunia.

Walaupun pihak berkuasa UAE telah meningkatkan kerjasama dengan penguatkuasaan undang-undang asing sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kerajaan itu masih terkenal dengan tindak balas yang tidak konsisten terhadap permintaan ekstradisi.

Gupta bersaudara kelahiran India, yang dituduh merompak dana awam Afrika Selatan melalui hubungan rapat mereka dengan bekas residen negara itu Jacob Zuma merupakan contoh terbaru.

Walaupun terdapat perjanjian ekstradisi antara kedua-dua negara, tahun lalu UAE secara senyap-senyap menolak permintaan Afrika Selatan untuk mengekstradisi Atul dan Rajesh Gupta, yang berdepan tuduhan pengubahan wang haram dan penipuan.

Tindakan itu mengejutkan Afrika Selatan, dengan pihak berkuasa berkata UAE gagal memberikan “tindak balas yang memuaskan” mengenai sebab di sebalik penolakan tersebut.

Seorang pegawai UAE tidak menjawab soalan khusus tentang Gupta, tetapi berkata pihaknua “bekerja rapat dengan rakan kongsi antarabangsa untuk membanteras dan menghalang semua bentuk kewangan haram.”

Guptas dan Zuma tidak menjawab permintaan untuk mendapatkan komen.

Menurut Radha Stirling, seorang peguam dan peguam bela hak asasi manusia yang mengetuai organisasi bantuan undang-undang ditahan di Dubai, pihak berkuasa UAE menggunakan pelarian berprofil tinggi sebagai “kuasa tawar-menawar”.

“Kewujudan perjanjian ekstradisi antara negara tidak semestinya menjadi kunci kepada sama ada orang itu akan diekstradisi atau tidak,” katanya.

“Perkara penting ialah apa yang Dubai inginkan sebagai balasan dan jika negara itu mempunyai sesuatu yang mereka mahukan untuk ditukar.”

Ketika ditanya mengenai rekod negara mengenai ekstradisi, ketua pusat jenayah kewangan Polis Dubai Sauod Abdulaziz Almutawa membangkitkan penahanan mereka yang mendapat notis merah Interpol baru-baru ini.

Dia berkata permintaan ekstradisi, yang mesti dibuat melalui mahkamah tempatan, mengambil masa yang lebih lama untuk diproses dan sering berdepan cabaran daripada pasukan pembelaan dengan dana besar.

“Kami meningkatkan kapasiti kami, menambah dan membangunkan sumber kami … untuk memenuhi jangkaan rakan sejawatan asing kami,” tambahnya ketika temu bual bersama Televisyen Sweden (SVT) pada Mac.

Keluar dari Senarai Kelabu

Pihak berkuasa UAE telah mengetatkan peraturan antipengubahan wang haram dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya sejak Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF), badan pemerhati anti-pengubahan wang haram antara kerajaan, memasukkan UAE ke dalam “senarai kelabu” organisasi itu pada 2022 kerana gagal memerangi aliran wang haram secara berkesan.

Selepas dilaporkan melobi untuk dikeluarkan dari senarai itu, pihak berkuasa Emeriah itu telah diberi ganjaran dengan berita baik pada bulan Februari: FATF mengkreditkan UAE atas “kemajuan yang ketara” dan membersihkannya daripada pemantauan tambahan.

Tetapi beberapa pakar memberi amaran bahawa langkah itu pramatang atau didorong oleh kebimbangan geopolitik.

“Reformasi baru-baru ini terhadap kanun keseksaan dan badan kehakiman mungkin sudah memadai untuk mengeluarkan Dubai dari senarai kelabu FATF pada musim sejuk ini, tetapi ia tidak mengubah secara substantif sifat pasaran hartanah (di sana),” kata Colin Powers, seorang felo kanan dan ketua editor untuk Program Noria Mena, sebuah organisasi penyelidikan bebas bukan bermatlamatkan keuntungan.

Pembaharuan itu tidak “mengubah apa yang menjadikan pasaran hartanah begitu menarik untuk menyimpan kekayaan,” katanya, memetik keupayaan pembeli untuk menyamarkan pemilikan mereka di sebalik amanah, syarikat induk dan yayasan.

Wartawan yang menyamar berunding dengan seorang jurujual hartanah dari firma pembangunan hartanah terkemuka Dubai Damac pada Mac menunjukkan masih terdapat beberapa broker yang bersedia untuk melihat dari sudut lain dalam soal asal usul dana pelanggan mereka.

Dalam lawatan ke hartanah Damac, jurujual itu memberitahu wartawan Swedish Television (SVT) bahawa mereka boleh membeli flat itu dengan “beg tunai” atau mata wang kripto dan “sifar soalan” tentang sumber dana mereka.

Hartanah Dubai digemari kerana pembeli boleh menyembunyikan pemilikan mereka.
“Dalam hartanah ini anda tidak akan disoal dari mana-mana jabatan…terutama pemaju sendiri,” kata jurujual itu.

“Sesiapa yang hendak beli, boleh beli.”

Dia juga menerangkan bagaimana pembelian hartanah secara tunai menjadi satu kaedah untuk pelanggan mengelak soalan dari bank mengenai sumber wang mereka.

“Jika anda menjual harta itu dan kemudian anda memindahkan semua jumlah dalam akaun bank, maka tidak ada masalah, anda tidak akan dipersoalkan dari mana anda membawa wang tunai untuk membeli harta itu dan kemudian memasukkannya ke dalam bank,” kata jurujual itu.

Sifar toleransi ingkar peraturan

Wakil Damac dalam maklum balasnya kemudian berkata firma itu menjalankan pemeriksaan latar belakang pelanggannya dan bukan dasar syarikat tersebut untuk mengesyorkan pelanggan membeli secara tunai.

“Sekiranya wartawan yang menyamar itu meneruskan lebih lanjut melalui proses jualan melangkaui pertemuan pertama dengan jurujual berkenaan, mereka akan menyaksikan penelitian dan langkah lebih ketat yang kami gunakan untuk transaksi yang mencetuskan tanda merah,” kata Damac, sambil menjelaskan kenyataan jurujual itu akan disiasat.

Ketika diberitahu mengenai kejadian itu, pegawai dari unit polis anti-pengubahan wang haram polis Dubai, Sauod Abdulaziz Almutawa berkata UAE mempunyai “toleransi risiko sifar terhadap ketidakpatuhan” dan tindakan diambil terhadap mereka yang menutup “mata” terhadap undang-undang.

“Dubai bukan tempat selamat untuk dana haram untuk penjenayah.

“Dubai tempat selamat untuk perdagangan sah, bagi individu sah yang bekerja keras dan telah mendapatkan apa yang mereka ada,” tambahnya.

Melissa Sequeira, pengurus perkhidmatan pelanggan dari Themis, firma yang berpangkalan di UK dan UAE yang membantu pelanggan menguruskan risiko jenayah kewangan, memuji penguatkuasaan Dubai yang lebih ketat dan peningkatan dalam pemeriksaan ejen hartanah dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Namun, katanya perubahan di peringkat bawah masih dalam proses, terutamanya kalangan firma lebih kecil dengan sumber terhad, dalam sektor yang hanya beberapa tahun lalu “anda boleh membeli hartanah hanya dengan guna pasport.”

Matlamatnya untuk mengalihkan “nada (keutamaan) daripada pengurus kanan, yang lebih tertumpu kepada keuntungan berbanding menghentikan kesan negatif jenayah kewangan global,” kata Sequeira.

Apabila bercakap mengenai pelepasan UAE daripada “senarai kelabu” FATF, Jodi Vittori seorang profesor di Universiti Georgetown yang mengkaji rasuah dan kewangan haram, mencadangkan perang semasa di Timur Tengah mungkin menjadi faktor.

Dengan AS berharap UAE dan sekutu lain di Timur Tengah akan membantu tugas sukar untuk membina semula Gaza, penghalaan pembiayaan melalui negara yang dibenderakan oleh FATF boleh dilihat sebagai tidak boleh dipertahankan.

“Pemudahan UAE terhadap rasuah, pengubahan wang haram dan jenayah terancang menjejaskan usaha Barat yang lebih besar untuk memerangi segala-galanya daripada fentanyl kepada pemerdagangan manusia serta aliran kewangan haram,” kata Vittori.

“Tetapi adalah sukar bagi kerajaan-kerajaan di Barat untuk meminta UAE membina semula Gaza dan pada masa sama memberi tekanan kepada FATF untuk meletakkan UAE kembali dalam senarai kelabu pengubahan wang haram atau sebaliknya mengenakan sekatan terhadap mereka.” Mk

Duit gelap beli hartanah di Dubai

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Amy keterlaluan – Din Search

Nenek kecewa Syasya ‘berhenti’ ketika popular

Saya terluka sebab dia – Yusof Haslam

Muaz dilarang masuk Singapura?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker