Kisah Nabi Musa mencari pelaku maksiat selama 40 tahun
Kisah Nabi Musa mencari pelaku maksiat selama 40 tahun
Imam Ibnu Qudamah dalam kitabnya al-Tawwabin membawakan satu kisah menarik untuk dijadikan pengajaran pada kita iaitu,
Diriwayatkan pada zaman Nabi Musa a.s. Bani Israel telah ditimpa musim kemarau yang berpanjangan. Lalu mereka pun berkumpul dan mendatangi Nabi Musa a.s. Mereka berkata,
“Wahai Nabi Allah! Berdoalah kepada Tuhanmu agar Dia menurunkan hujan kepada kami”
Mendengar permintaan dari umatnya, maka berangkatlah Nabi Musa a.s. bersama tujuh puluh ribu kaumnya menuju padang pasir yang luas. Mereka berdoa dengan keadaan yang lusuh, penuh debu, haus dan lapar. Musa berdoa,
“Wahai Tuhan kami! Turunkanlah hujan kepada kami, sebarkanlah rahmat Mu, kasihanilah anak-anak dan wanita-wanita yang mengandung, haiwan-haiwan, dan orang-orang tua yang rukuk dan sujud”.
Usai melafazkan doa, kelihatan langit tetap juga terang benderang. Matahari pun turut bersinar dengan semakin berkilau (tiada tanda akan turunnya hujan). Melihatkan keadaan itu, kemudian Nabi Musa a.s. berdoa lagi,
“Wahai Tuhanku! (Berikanlah kami hujan). Walaupun padaku keagungan, namun (aku meminta) dengan keagungan Nabi Muhammad yang ummi yang bakal Engkau utuskan di akhir zaman.”
Seketika kemudian lalu Allah berfirman kepada Musa,
“Tidak diciptakan keagunganmu di sisi Ku, sesungguhnya engkau di sisi Ku adalah terkemuka. Bagaimana aku akan turunkan hujan kepada kamu sedangkan di antara kamu ada seorang hamba yang telah bermaksiat pada Ku sejak 40 tahun yang lalu.
Keluarkanlah ia di depan manusia agar dia berdiri di depan kamu semua. Kerana dialah aku tidak turunkan hujan untuk kamu”
Mendengar perintah Allah S.W.T. maka dengan segera Musa pun berteriak sekuat hatinya di tengah-tengah kaumnya,
“Wahai hamba yang bermaksiat kepada Allah sejak 40 tahun lalu, keluarlah kehadapan kami. Kerana engkaulah hujan tidak turun”
Usai berteriak, suasana menjadi sunyi sepi, tiada seorang pun yang keluar di depan manusia. Pada ketika itu juga orang berkenaan sedar kalau dirinyalah yang dimaksudkan. Seraya itu ia berkata di dalam hatinya,
“Apa yang harus aku lakukan? Jika aku keluar di hadapan manusia sekarang ini maka pasti akan terbuka segala rahsia dan aibku. Akan tetapi jika aku tidak berterus terang maka hujan pun tidak akan turun”
Buntu dan sedih rasa hati. Kepalanya juga tertunduk malu serta menyesal dengan perbuatan yang dilakukannya selama ini. Tidak semena-mena kelopak matanya berkaca dan akhirnya air mata penyesalan mula gugur membasahi pipinya.
Dengan rasa penuh penyesalan, lelaki ini menitiskan air mata sambil berdoa dan bertaubat kepada Allah dengan sepenuh hatinya,
“Ya Allah! Kau terimalah taubatku dari segala doas-dosaku yang lalu”
Belum pun sempat ia mengakhiri doanya, secara tiba-tiba awan-awal tebal pun mula berkumpul. Semakin lama semakin tebal, dan langit pula berubah gelap lalu turunlah hujan. Suasana ini membuatkan Nabi Musa a.s. kehairanan dan berkata,
“Ya Allah! Engkau telah turunkan hujan kepada kami sedangkan tidak ada seorang pun yang keluar di depan manusia”
Allah berfirman,
“Aku menurunkan hujan kerana seorang hamba yang kerananyalah hujan tidak turun (tetapi sekarang ia telah bertaubat)”
Musa berkata,
“Ya Allah! Tunjukkanlah kepadaku hamba yang taat itu”
Allah berfirman,
“Wahai Musa! Aku tidak membuka aibnya padahal ia bermaksiat kepada Ku apakah aku akan membuka aibnya sedangkan ia taat kepada Ku?
Kisah ini selayaknya memberi inspirasi kepada kita bahawa setiap perbuatan buruk dan maksiat walaupun dilakukan hanya seorang, namun tempiasnya tetap akan dirasai oleh orang lain juga. Itu kerana azab Allah tidak hanya ditimpakan kepada si pelakunya sahaja, tetapi menyeluruh kepada satu kaum.
Dan ingatlah setiap orang yang melakukan dosa maksiat sebanyak buih di lautan atau selama mana pun hidupnya, selagi mana dia ada peluang untuk menyesal dan bertaubat dengan sebenar-benar taubat, maka bertaubatlah. Allah pasti akan terima taubatnya kerana Allah adalah tuhan yang Maha Pengampun lagi Maha Pengasih. Wallahu a’lam Utv
Kisah Nabi Musa mencari pelaku maksiat selama 40 tahun
Baca Artikel Menarik:
- Kasino Forest City, ini kata Onn Hafiz
- Bas Thailand dibenarkan bawa pelancong negara itu ke seluruh Malaysia – MOT
- Perima buah pinggang babi pertama meninggal dunia
- Mayat kru kapal warga Malaysia jatuh laut ditemui di perairan Bangladesh
- Lelaki dibaham buaya ketika menangkap ikan
- Fadhlina Sidek gagal?
- Dua gambar Anwar timbulkan tanda tanya
- Buat konsert dalam gereja, Ini jawapan balas Alif Satar
- Lee Zii Jia tekad bawa pulang emas Olimpik Paris 2024
- Ini penjelasan mudah mengenai Akaun Fleksibel KWSP
- Pemimpin PKR akui Najib banyak jasa pada masyarakat India, Anwar hanya kekurangan masa
- Izzue Islam sanggup bawa bini demi elak ‘penyondol’
- Pembantu rumah Thai warisi harta majikan hampir RM13 juta
- Hamidin dedahkan ada individu yang berniat jahat terhadap Harimau Malaya
- Rujuk semula dengan Syamsul, ini respons Puteri Sarah
Layari Laman Facebook MYKMU.NET