Melayu perlu terima hakikat SD bukan lagi penentu siapa PM

Melayu perlu terima hakikat SD bukan lagi penentu siapa PM

Oleh Prof Datuk Dr Jayum Jawan

MALAYSIA masih belajar hidup berpolitik bersama dalam keadaan aman dan damai. Cabaran ini lahir daripada situasi timbul selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) 2022 yang tidak mengangkat mana-mana parti kerana tidak memenangi majoriti secara sendirian.

Keadaan ini tidak pernah dilalui negara sejak PRU pada 1955 yang sentiasa menampilkan pemenang dengan majoriti jelas, sekali gus dapat membentuk kerajaan dan ahli Parlimennya layak diangkat sebagai Perdana Menteri.

Namun pada PRU15, tiada gabungan parti memperoleh keputusan begitu termasuk Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) mahupun Barisan Nasional (BN). Justeru, kerajaan hanya dapat ditegakkan kumpulan berjaya menarik sokongan hingga mempunyai sokongan melebihi 112 daripada 222 kerusi Parlimen.

Dalam keadaan tidak menentu dan tiada pengalaman lalu untuk dijadikan panduan, maka pembentukan kerajaan tertangguh sementara hingga jalan terbaik ditemui. Namun, institusi diraja, iaitu Yang di-Pertuan Agong, tampil berperanan penting membawa pedoman, sekali gus menyelesaikan kemelut pembentukan kerajaan dan pelantikan Perdana Menteri Ke-10.

Berdasarkan amalan demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan, seorang Perdana Menteri dilantik dalam kalangan ahli Dewan Rakyat mendapat sokongan majoriti. Mana-mana parti dapat menunjukkan mampu mencapai majoriti sekurang-kurangnya 112 kerusi, mereka harus diberi peluang menubuhkan kerajaan dan ketuanya dilantik sebagai Perdana Menteri.

Justeru, Pengerusi PH yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi peluang pertama membuktikan beliau dan sekutunya ada majoriti mudah. Ini membabitkan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong memanggil setiap pemimpin tertinggi parti dan ahli Parlimen untuk menentukan kebenaran.

Apabila berpuas hati Anwar dan sekutunya ada majoriti mudah, maka Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik beliau sebagai Perdana Menteri.

Satu langkah diambil Kerajaan Perpaduan dikemudi Anwar ialah adalah pada sidang pertama Parlimen, undi percaya terus dibentangkan untuk menunjukkan beliau mempunyai mandat untuk mentadbir dengan sah.

Ini adalah kerana apa sahaja tindakan, termasuk surat akuan bersumpah (SD), bukan kaedah dalam amalan demokrasi berparlimen untuk menentukan siapa layak diangkat menjadi Perdana Menteri. Ini jelas tidak terkandung dalam Perlembagaan sekalipun Yang di-Pertuan Agong mahukan ia dilakukan tetapi ia adalah untuk panduan baginda semata-mata.

Berasaskan pengalaman lalu menggunakan SD, timbul semula langkah sama digunakan dengan tujuan mengangkat Perdana Menteri baharu kononnya mendapat sokongan majoriti bagi menggantikan Anwar.

Tuntutan tak perlu dilayan

Apakah tuntutan ini berasas? Sebaiknya tuntutan ini tidak perlu dilayan kerana ia sebenarnya bukan cara mengangkat dan menggantikan seorang Perdana Menteri. Bagaimanapun, kaedah ini sudah dipakai semasa melantik Kerajaan Perpaduan dan melantik Perdana Menteri lalu.

Oleh itu, asas untuk menolak SD sekarang adalah lemah kerana duluan atau precedent sudah ada. Sebenarnya, kaedah beradab atau parliamentary adalah untuk memperkenalkan usul ‘undi tidak percaya’ di Dewan Rakyat pada sidang Parlimen berikutnya.

Mengimbas kembali sejarah Perlembagaan mengenai hal serupa, iaitu pembuangan Ketua Menteri Sarawak Pertama, Datuk Stephen Kalong Ningkan, yang dibuat berdasarkan pendirian ditunjukkan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak di luar DUN.

Maka, Mahkamah Tinggi Kuching memutuskan pembuangan itu tidak sah, sedangkan Kalong Ningkan dinaikkan semula. SD ibarat pendirian di luar DUN yang menjatuhkannya dan kesahihannya masih belum diuji dalam bilik mahkamah.

Namun, terdapat variasi pendapat mahkamah sudah diputuskan dalam kes sebenar. Menteri Besar Perak daripada Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyaman dan menuntut deklarasi mahkamah bahawa pelantikan penyandang selepasnya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai tidak sah dan beliau masih Menteri Besar.

Sebelum itu, tiga ahli PR DUN Perak mengatakan mereka meninggalkan PR, sekali gus membawa kepada pakatan itu hilang majoriti yang sebelum itu diraih dengan kelebihan satu kerusi. Mohammad Nizar menuntut pembuangan beliau sebagai Menteri Besar tidak sah kerana didasarkan pengisytiharan tidak sama dengan kes Kalong Ningkan.

Pertama, Mohammad Nizar menghadap Sultan Perak meminta DUN dibubarkan kerana beliau berasakan sudah hilang majoriti apabila tiga ADUN terbabit meninggalkan parti dan menyokong lawan, iaitu Barisan Nasional (BN)-UMNO.

Kedua, nasihat Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar supaya DUN dibubarkan tidak diterima sultan.

Ketiga, Mohammad Nizar tidak meletakkan jawatan tetapi dianggap dipecat Sultan, apabila baginda melantik orang lain menjadi Menteri Besar menggantikan beliau.

Dua kes sama, iaitu kejatuhan dua ketua kerajaan tetapi faktor dan perjalanan faktor tidak sama. Kalong Ningkan dibuang kerana hilang majoriti dikira dari luar Dewan dan beliau tidak seperti Mohammad Nizar yang juga hilang majoriti di luar DUN. Ini kerana Mohammad Nizar menghadap sultan kerana isu ini dan memohon DUN Perak dibubarkan. Akhirnya Kalong Ningkan dibuang bagi kali kedua melalui kuasa darurat.

Apa pun, dua kes unik dalam sejarah politik Malaysia dan boleh memberi gambaran cabaran menggunakan SD dan cubaan menjatuhkan ketua kerajaan dari luar DUN berkaitan.

Hakikatnya, proses politik ada peraturannya walaupun ia mungkin bukan undang-undang ketat boleh ditegakkan dalam mahkamah bersifat hitam putih. Peraturan dan kelaziman politik tetap menjadi nadi kepada proses berkaitan.

Apabila ahli politik mengundang undang-undang lain dibawa ke medan politik untuk memutuskan kelaziman, maka amalan biasa itu akan terputus. Proses dan amalan biasa politik akan turut terjejas.

Ini adalah hakikat apabila ahli politik tidak mahu mengalah dan tidak berpegang kepada adab atau peraturan lazim tidak semestinya bertulis hitam putih. Ini juga menunjukkan kejatuhan maruah dan harga diri politikus sanggup menggoda proses dan peraturan politik semata-mata mahu menang walaupun tahu mereka sudah kalah.

Realitinya, politik baharu Malaysia akan stabil, aman dan damai sekiranya salah satu keadaan ini berlaku.

Pertama, suasana politik dan pemerintahan kembali kepada corak zaman lalu, iaitu ada satu parti menang majoriti mudah bagi memberi kestabilan kepemimpinan dengan parti ini semestinya parti politik Melayu dari Semenanjung.

Kedua, politik Malaysia, khasnya orang Melayu perlu menerima hakikat zaman lalu sudah berakhir dan mereka perlu menerima bahawa pembentukan kerajaan selepas 2022 bergantung kepada proses tawar-menawar selepas pilihan raya, bukan seperti dulu semua berpakat dan kemudian bertanding serta sapu semua kerusi.

Ketiga, kepentingan kedudukan Sabah dan Sarawak perlu diakui dengan kedua-dua negeri terbabit bukan lagi dilabel pelbagai nama seperti ‘simpanan tetap’ dan ‘penyelamat’. Kerajaan Persekutuan tidak dapat dibentuk tanpa pembabitan Sabah dan Sarawak seperti pengalaman 2022 menunjukkan kepada umum. BH

Penulis adalah Profesor Sains Politik Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara

Melayu perlu terima hakikat SD bukan lagi penentu siapa PM

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Perang Fatiya, Anju makin panas

Hati dia busuk sangat – Zarina Anjoulie

Gajah bergaduh di Jalan Jeli-Gua Musang

Ketua Polis Negara: “Kalau jumlah cukup ketua parti dah menghadap Agong”

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker