Drone Ukraine menyerang Moscow

Moscow rasai suasana perang, seorang maut, 2 cedera

Drone Ukraine menyerang Moscow

MOSCOW: Drone Ukraine menyerang Moscow semalam, dalam apa yang disifatkan sebagai serangan terburuk ke atas ibu negara itu sejak Perang Dunia Kedua, manakala Kyiv juga dihujani serangan udara buat kali ketiga dalam 24 jam.

Sejak Russia menghantar tentera ke jirannya pada Februari tahun lalu, perang itu sebahagian besarnya berlaku di dalam Ukraine, walaupun Moscow melaporkan beberapa serangan ke atas wilayahnya termasuk cubaan membunuh Presiden Vladimir Putin.

Serbuan awal pagi Selasa itu menyasarkan beberapa kawasan terkaya di Moscow termasuk zon barat di mana Putin dan golongan elit mempunyai kediaman.

Sekurang-kurangnya seorang maut dan dua orang dilaporkan cedera manakala beberapa warga Russia di dua blok pangsapuri yang rosak ringan dipindahkan seketika, menurut datuk bandar Moscow.

Kementerian Pertahanan Russia berkata lapan dron yang dihantar oleh Kyiv ditembak jatuh atau dialihkan, walaupun Baza, saluran Telegram yang mempunyai pautan kepada perkhidmatan keselamatan, berkata lebih 25 dron terbabit.

Penduduk mendakwa, mereka terdengar bunyi dentuman kuat diikuti bau petrol. Ada yang merakamkan sebuah dron ditembak jatuh dan kepulan asap di langit Moscow.

Ahli Parlimen, Maxim Ivanov, menyifatkannya sebagai serangan paling serius ke atas Moscow sejak sejak serangan Nazi Jerman, dan tiada rakyat boleh mengelak hakikat baharu itu.

“Anda sama ada akan bersatu mengalahkan musuh dan mempertahankan tanah air kita, atau rasa malu yang tidak dapat dihapuskan kerana menjadi pengecut, serta bekerjasama dan pengkhianatan akan menyelubungi keluarga anda,” katanya.

Awal bulan ini, dua dron meletup di atas Kremlin dalam serangan yang Russia turut menyalahkan Kyiv dan dikatakan ditujukan kepada Putin.

“Serangan sabotaj dan pengganas di Ukraine hanya akan meningkat,” kata seorang lagi ahli Parlimen Russia, Alexander Khinshtein, yang menggesa pengukuhan pertahanan secara radikal.

Pembantu Presiden Ukraine, Mykhailo Podolyak, menafikan Kyiv terbabit secara langsung dalam serangan menyasarkan Moscow pada Selasa.

Bagaimanapun, beliau dilaporkan berkata ‘gembira’ untuk menonton dan meramalkan lebih banyak lagi serangan akan datang.

Sejak tentera Russia menyerang beberapa wilayah timur Ukraine, perang mengorbankan berpuluh ribu mangsa, mengakibatkan jutaan penduduk hilang tempat tinggal dan mengubah bandar menjadi runtuhan dan menyebabkan gangguan dalam ekonomi global.

Putin kemudian berkata serangan dron terbesar Ukraine ke atas Moscow adalah percubaan untuk menakutkan atau menggertak Russia, dan pertahanan udara di sekitar ibu negara akan diperkukuh.

Sasaran orang awam di Kyiv dan bandar-bandar lain di Ukraine sejak awal perang lagi berulang kali diserang menggunakan dron dan peluru berpandu Russia.

Bagaimanapun, serangan awal pagi Selasa menandakan kali kedua Moscow diserang secara langsung.

Di Washington, Amerika Syarikat (AS), Rumah Putih berkata ia masih mengumpul maklumat mengenai laporan dron yang menyerang di Moscow.

“Kami tidak menyokong serangan di dalam Russia. Itu saja,” kata setiausaha akhbar Rumah Putih Karine Jean-Pierre pada satu taklimat.

Washington dan negara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) ialah pembekal utama senjata kepada Ukraine dengan syarat ia menggunakannya untuk mempertahankan diri dan merampas semula wilayah Ukraine yang diduduki oleh tentera Russia. BH

Drone Ukraine menyerang Moscow

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker