Kecil Kecil Cili Padi tapi Berbakat

Kuala Lumpur: Jurulatih KV Kortrijk, Yves Vanderhaege mendedahkan kehadiran Luqman Hakim Shamsudin dalam pasukan mengubah stigma terhadap pemain Asia yang sebenarnya berbakat walaupun memiliki fizikal kecil.

Bercakap menerusi dokumentari #TheJourneyOfLuqie yang disiarkan laman rasmi pasukan itu, Vanderhaeghe berkata, pemain berasal dari Kota Bharu itu boleh menjadi pemain terbaik untuk mereka menerusi latihan intensif yang diterapkan kepada Luqman.

Malah, beliau juga mengagumi semangat Luqman yang sentiasa menunjukkan persembahan terbaik walaupun bermain dalam perlawanan persahabatan.

“Luqman ketika ini menjalani latihan intensif bersama pasukan utama dan apa yang boleh dilihat dia semakin baik dan cepat menyesuaikan diri bersama rakan lain.

“Pada peringkat awal, dia bermain dalam perlawanan persahabatan dan dalam tempoh 30 minit bermain sudah menjaringkan gol.

“Situasi ini begitu menakjubkan seterusnya bagus untuk motivasikan diri bagi meningkatkan lagi prestasi pada masa akan datang,” katanya.

Selain itu, katanya, KV Kortrijk dalam proses untuk membentuk pemain itu dan membantu dia meningkatkan kekuatan fizikal asasnya dalam perjalanan menjadi pemain yang lebih baik pada masa akan datang.

“Kami menjalani ujian fizikal ke atasnya sebelum ini kerana mahu mengetahui sejauh mana catatannya. Dia jelas tidak berada dalam keadaan yang terbaik pada masa itu. Jadi, dia diberikan program latihan individu.

“Dia masih perlu masa untuk menjadi pemain yang baik untuk kami. Ketika ini, dia menjalani latihan demi latihan kerana kita mahu keadaan asasnya dapat dicapai pada tahap sepatutnya,” katanya.

Terdahulu, program latihan diberikan pasukan itu tampak membuahkan hasil selepas pemain itu memperlihatkan perubahan fizikalnya.

Menerusi kemas kini gambar terbaharu di Instagramnya, pemain itu tampak semakin berotot dan ‘sado’. Sementara itu, rakan sepasukan Luqman, Loic Ritiere turut mengakui produk kelahiran Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu mempunyai keistimewaan sebagai pemain apabila mampu menghidu peluang untuk menjaringkan gol.

“Dia sangat pantas dengan bola di kaki selain ada daya pecutan bagus dan memiliki penyudah kemas.

“Dia juga lincah apabila melihat bagaimana untuk membuat hantaran kepada rakan sepasukan,” kata pertahanan kiri itu.-HM

Safawi, Luqman Hakim meniti sejarah gemilang

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker