Rogol pelancong berumur 29 tahun, hukuman terhadap pemandu teksi keka

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara 20 tahun dan 16 sebatan ke atas seorang bekas pemandu teksi kerana merogol serta mengugut seorang pelancong wanita warga Indonesia menggunakan pemutar skru di sebuah hotel, lima tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai Kamaludin Md Said sebulat suara memutuskan demikian selepas menolak rayuan akhir Abdul Ghani Abdul Karim, 48, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya.

“Mahkamah mendapati sabitan dan hukuman yang dijatuhkan mahkamah sebelum ini adalah selamat. Tiada sebab untuk mahkamah ini mengganggu dapatan mahkamah terdahulu (Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi ) berhubung sabitan dan hukuman tersebut.

“Oleh itu, hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen sebelum ini dikekalkan bagi kedua-dua pertuduhan tersebut,” katanya yang bersidang bersama Supang Lian dan Ahmad Nasfy Yasin.



Pada 23 Julai 2020, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 16 sebatan bagi pertuduhan merogol serta tujuh tahun bagi kesalahan mengugut dan semua hukuman penjara itu berjalan serentak dari tarikh jatuh hukum.

Keputusan itu dikekalkan Mahkamah Tinggi pada 20 Mei 2021.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal@Zainol berhujah Ghani bukan pesalah kali pertama kerana pernah dijatuhi hukuman penjara dan sebatan atas kesalahan sama.

“Perayu telah keluar dari penjara pada 20 Okt 2015 dan kejadian ini berlaku lebih kurang tiga tahun selepas dia keluar penjara. Oleh itu, hukuman penjara 20 tahun dan 16 sebatan adalah hukuman bersesuaian untuk perayu,” katanya.



Peguam Muhamad Izwan Ishak dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan pula memohon hukuman Ghani dikurangkan atas alasan perayu mempunyai seorang ibu yang uzur.

Mengikut pertuduhan pertama, Ghani didakwa merogol mangsa yang berumur 29 tahun 11 bulan (ketika kejadian) di bilik sebuah hotel di Taman Seputeh, Brickfields, antara 1.30 pagi hingga 2 pagi pada 24 Dis 2018 mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh mengugut akan menyebabkan kematian mangsa dengan pemutar skru di tempat, pada masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

 



Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]



Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Lompat Apek Lompat, Anwar buat apa tu (Video)



Luahan hati Mawar Karim

Suki Low menangis kerana Shila Amzah



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker