Lebih baik berkawan dengan DAP dari parti nak membunuh Umno – Nash

Lebih baik berkawan dengan DAP dari parti nak membunuh Umno – Nash

Penyanyi rock terkenal, Nash, menyambut baik langkah Umno untuk berkawan dengan PH – yang di dalamnya ada DAP – walaupun kedua-dua parti terbabit membawa ideologi berbeza.

Kata penyanyi Pada Syurga Di Wajahmu itu lagi, walaupun berseteru sekian lama, adalah wajar untuk Umno berbaik-baik dengan PH berbanding gabungan lain yang didakwanya jelas mahu membunuh parti terbabit.

Penyanyi yang memiliki nama sebenar Jamaluddin Elias itu menambah di sebalik perbezaan fahaman itu, kerjasama Umno dan DAP-PH dapat menyatupadukan semua pihak demi kestabilan negara.

“Dari segi politik, walaupun orang kata fahamannya agak berbeza tetapi sekurang-kurang kita (Umno) dapat menjinakkan mereka supaya mengenali erti masyarakat majmuk yang ada dalam negara ini.

“Kalau kita masih nak bercerita tentang permusuhan sesama parti Melayu atau parti Melayu dengan parti Cina, ini tidak akan habis sampai kiamat.

“Jadi, lebih baik berkawan dengan DAP daripada musuh yang cuba membunuh Umno,” kata Nash kepada Malaysiakini.

Vokalis kumpulan Lefthanded itu ditemui pada Perhimpunan Agung Umno 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Umno utamakan kestabilan

Dia turut meluangkan masa menghiburkan orang ramai di luar dewan persidanan di bangunan berkenaan.

Terdahulu Nash diminta mengulas mengenai penjelasan diberi Umno berhubung pembentukan kerajaan perpaduan serta kerjasama parti Melayu itu dengan DAP.

Berucap bagi merasmikan persidangan tahunan sayap-sayap Umno di Kuala Lumpur malam tadi, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, berkata sokongan orang Melayu terhadap Umno tetap merosot meskipun berpuluh tahun parti itu bertentangan dengan DAP.

Justeru, Mohamad menegaskan pilihan bekerjasama dengan PH dan DAP itu adalah lebih baik berbanding PN yang dianggotai parti bertujuan untuk membunuh Umno.

Nash berkata adalah lebih baik untuk Umno bekerjasama dengan sebuah parti yang dilihat secara jelas memusuhi mereka secara terang-terangan berbanding berkawan dengan ‘gunting dalam lipatan’.

“Itu lebih bahaya daripada kita nampak musuh yang terang-terangan.

“Musuh yang terang-terangan ini kadang-kadang dia cakap saja lebih pada zahirnya tetapi dalam hati dia kita tak tahu, penyatuan dalam hatinya kita tak tahu,” katanya.

Dia yang juga penyokong tegar Umno turut menyambut baik penjelasan yang dibuat oleh Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berhubung pembentukan kerajaan perpaduan semalam.

Nash berkata, ketetapan itu juga diyakini dibuat dengan kebijaksanaan kepimpinan parti.

Kata penyanyi lagu Zahir Tak Terucap itu, melalui taklimat yang diberikan Ahmad Zahid kepada ahli parti, jelas menunjukkan Umno mengutamakan kestabilan negara kita serta penyatuan rakyat.

“Jadi, jangan kata kita memandai-mandai atau syok sendiri, dan apa yang presiden katakan semalam pun sudah mendapat mandat serta persetujuan daripada majlis kerja tertinggi parti.

“Pendedahan serta pendekatan yang paling hebat yang diberikan oleh presiden, itu yang saya nampak semalam,” tambahnya. Mk

Lebih baik berkawan dengan DAP dari parti nak membunuh Umno – Nash

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Wajah cantik, nasi lemak laku keras

Puteri Sarah sindir Syamsul

Zahid dah beritahu sedia untuk bertarung – Khairy

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker