Tian Chua akhirnya terbuang selepas 25 tahun berjuang demi Anwar dan Reformasi

Tian Chua akhirnya terbuang selepas 25 tahun berjuang demi Anwar dan Reformasi. Walaupun pemecatan Tian Chua, daripada PKR dilihat perkara yang sudah pasti, namun ia cukup suram bagi ikon reformasi itu yang sanggup “bertaruh nyawa”, selain keluar masuk lokap dalam perjuangan mempertahankan Anwar Ibrahim selepas dipecat sebagai timbalan perdana menteri, pada 1998.

Rakan parti mengimbau saat Tian Chua menjadi antara kunci utama menggerakkan demonstrasi Reformasi jalanan yang kebiasaannya bertukar ganas dengan polis dan menggunakan kekerasan untuk meleraikan perhimpunan.

Antara detik paling diingati ketika Tian Chua duduk di hadapan lori meriam air polis dalam usaha menyuraikan demonstrasi di Dataran Merdeka.

Ramai rakannya berkata, Tian Chua, 59, sepatutnya sedia mengetahui kesan tindakannya bertanding pada PRU sebagai calon bebas di Batu, meskipun sudah dinasihatkan tidak berbuat demikian.

Beliau memilih bersaing menentang P Prabakaran, calon PKR bagi kerusi itu, yang mana Chua menang pada 2008 dan 2013 sebelum diisytihar tidak layak bertanding, pada 2018.

Rakan rapatnya, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim, menyifatkan apa yang berlaku kepada Tian Chua cukup menyedihkan.

“Saya telah mencuba sebanyak dua kali untuk menelefon Tian Chua pada malam terakhir sebelum hari penamaan calon PRU15 pada 5 Nov 2022. Dua panggilan telefon itu tidak dijawab oleh Tian Chua. Saya telah nampak dan boleh baca kesan atau akibat yang mungkin ditanggung Tian Chua.

“Sedikit sebanyak pengalaman lamaku sebagai mantan setiausaha agung Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang memahami peraturan disiplin parti,” katanya.

Hubungan mereka cukup rapat sejak 30 tahun lalu, bermula ketika kedua-duanya berada dalam PRM.

Katanya, nostalgia reformasi paling diingati ketika mendengar berita pemecatannya daripada PKR, di mana Tian Chua “sanggup mempertaruh nyawa” duduk di hadapan lori meriam air polis semata-mata demi menghalang kemaraan jentera itu

“Di saat Tian Chua disingkir oleh partinya sendiri akibat pelanggaran disiplin, saya berasa adalah adil juga untuk membuka kisah lama betapa Tian Chua merupakan seorang ikon gerakan reformasi yang dipelopori oleh Anwar Ibrahim yang kini menjadi perdana menteri Malaysia ke-10,” katanya.

Hassan berkata, kesetiaan Tian Chua kepada PKR dapat dilihat dengan beliau menjadi naib presiden sejak penubuhan PKR, pada 1999, sehinggalah tumpas pada pemilihan parti, tahun lalu. Katanya, beliau yakin hati Tian Chua masih bertaut pada parti itu yang diasaskannya bersama, sejak lebih dua dekad lalu.

Seorang ahli parti yang enggan dinamakan, berkata Tian Chua yang dianggap rakan rapat dengan bekas timbalan presiden PKR, Azmin Ali, mungkin antara punca beliau tidak dipilih mengetuai bahagian Batu.

“Dengan kekalahan kepada Prabakaran, beliau tidak boleh lagi menuntut kepada parti mencalonkan namanya di kerusi Batu pada PRU lalu,” katanya. “Tetapi, entah apa alasannya, beliau beranggapan boleh menang sebagai calon bebas dan kembali kepada PKR. Namun, jangkaan itu meleset.”

Katanya, kepimpinan parti itu serius menghapuskan saki baki pengaruh Azmin susulan tindakannya dalam Langkah Sheraton, pada 2020, meninggalkan PKR sehingga mengakibatkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan.

Pada April 2001, Tian Chua ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bersama lima penunjuk perasaan lain kerana didakwa terbabit dalam aktiviti keganasan dan subversif dan merancang menjatuhkan kerajaan.

Selepas 53 hari ditahan, beliau dihantar ke Pusat Tahanan Kamunting, selama dua tahun sebelum dibebaskan.

Mengikut rekod, beliau juga ditahan polis sekurang-kurangnya 20 kali dalam aktiviti Reformasi berkaitan tunjuk perasaan jalanan.

Tian Chua mempunyai dua minggu untuk mengemukakan rayuan pemecatannya. Semalam, beliau memberitahu FMT, belum memutuskan sama ada akan melakukan demikian.

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

 

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Syamsul buat air mata Yusof Haslam gugur

Hubungan terlarang Ibu mentua dan menantu: ‘Kami tidak berzina, hanya curhat’

 

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker