Kenapa Projek Tebatan Banjir Dibuat Secara “Direct Nego”?

Oleh Norzahira

PROJEK Tebatan Banjir bukan projek yang luar biasa seperti kereta terbang atau roket ke angkasa lepas. Oleh itu, tindakan meluluskan projek tersebut secara rundingan terus dan tidak mematuhi peraturan sepatutnya tidak berlaku.

Baru-baru ini Anwar Ibrahim mengarahkan beberapa kelulusan terakhir termasuk projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion dibatal dan dihentikan serta-merta.

Beliau telah mengarahkan pegawai Kementerian Kewangan untuk meneliti semula kelulusan itu bagi memastikan ia mematuhi prinsip ketelusan dan peraturan yang ditetapkan.

Persoalannya kenapa Projek Tebatan Banjir dibuat Secara “Direct Nego”? Malah Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) ketika itu, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dikatakan meluluskan projek tebatan banjir tersebut selepas pembubaran Parlimen.

Tindakan itu jelas melanggar undang-undang kerana tiada sebarang keputusan aku janji atau anugerah boleh dibuat dalam tempoh kerajaan sementara, selain mendakwa mendapat maklumat bahawa projek itu dalam proses untuk diluluskan dalam tempoh dua minggu.

Tuan Ibrahim perlu menjawab mengenai tanggungjawabnya melantik Mangkubumi Sdn Bhd (Mangkubumi) sebagai kontraktor projek tebatan banjir Krubong-Durian Tunggal bernilai RM578.6 juta di bawah program Jana Wibawa.

Timbalan Presiden PAS itu cuba menafikan mengetahui lebih lanjut mengenai projek tersebut namun terdapat dokumen yang ditandatanganinya, iaitu Surat Setuju Terima (SST) bertarikh 30 Ogos 2022.

Tuan Ibrahim juga perlu menjelaskan senarai dua projek berkenaan serta catatannya, yang menyatakan projek tebatan banjir Sungai Langat Fasa 2 bernilai RM2 bilion diuruskan secara rundingan teruskepada kontraktor yang dilantik, adalah cabutan daripada dokumen rasmi kerajaan yang membabitkan kementerian beliau.

Proses dalaman KASA dan Kementerian Kewangan dikatakan telah menyenarai pendek Mangkubumi sebagai kontraktor projek tebatan banjir Sungai Langat 2 yang berjumlah RM2 bilion untuk dilantik secara rundingan terus tanpa tender terbuka.

Apa yang pasti, jumlah tersebut bukan kecil untuk mereka gunakan alasan membantu menyelesaikan masalah tebatan banjir. Apabila peraturan tidak dipatuhi maka akan ada ruang pihak tertentu mengambil kesempatan melalui projek “direct nego”.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker