Anwar, PH hanya pura-pura patuh kedaulatan undang-undang – Zaid

Anwar, PH hanya pura-pura patuh kedaulatan undang-undang – Zaid

Zaid Ibrahim mempertikai komitmen Anwar Ibrahim terhadap kedaulatan undang-undang dan kebebasan badan kehakiman, setelah pengerusi PH itu gagal menyatakan pendiriannya berhubung hasil dapatan pasukan petugas khas yang menyiasat buku kontroversial bekas peguam negara Tommy Thomas.

Kenyataannya susulan pasukan itu mengenal pasti pelbagai pelanggaran undang-undang melibatkan Thomas dan bekas perdana menteri Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad ketika 22 bulan gabungan itu mentadbir antara 2018 hingga 2020.



“Sikap diam diri Anwar Ibrahim susulan hasil dapatan itu menunjukkan PH hanya berpura-pura mempertahankan kedaulatan undang-undang dan kebebasan badan kehakiman,” kata bekas menteri undang-undang dalam wawancara bersama FMT.

Zaid berkata, pendedahan mengejutkan dalam memoir Thomas menunjukkan kecenderungan PH “memanipulasi sistem keadilan untuk meraih keuntungan”.

Beliau merujuk kepada dapatan dalam laporan berkenaan yang menyimpulkan bahawa Mahathir dan Thomas melanggar Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 apabila memutuskan siapa yang akan memegang empat jawatan tertinggi dalam kehakiman.

“Mengikut undang-undang, tugas pemilihan itu terletak pada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, bukannya perdana menteri apatah lagi peguam negara,” kata Zaid.



Laporan itu memetik kenyataan Thomas dalam buku berkenaan bahawa beliau dan Mahathir telah “bersetuju” pada Jun 2018 mengenai pelantikan Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara; Ahmad Maarop (Presiden Mahkamah Rayuan); Zaharah Ibrahim (Hakim Besar Malaya); dan Wong Dak Wah (Hakim Besar Sabah dan Sarawak).

Sebaliknya, suruhanjaya pelantikan mencalonkan hakim berlainan untuk tiga daripada empat jawatan berkenaan, iaitu Azahar Mohamed (Ketua Hakim Negara); Rohana Yusof (Presiden Mahkamah Rayuan); dan Abdul Rahman Sebli (Hakim Besar Sabah dan Sarawak).

“Mahathir dan Thomas melanggar undang-undang dengan tidak menghiraukan sama sekali calon yang disyorkan oleh JAC pada 2018,” kata Zaid.

Sehubungan itu, kata Zaid, seminggu selepas pelantikan hakim-hakim seperti dicadangkan Mahathir dan Thomas, hakim perbicaraan kes SRC Najib Razak ditukar kepada Nazlan Ghazali, yang tiada pengalaman mengendalikan kes jenayah.



“Tak mungkin itu satu kebetulan,” katanya sambil menambah, Mahathir dan Thomas melakukan perkara sama pada tahun berikutnya.

Katanya, pada 2019, suruhanjaya pelantikan mencadangkan pelantikan Ahmad Maarop (Ketua Hakim Negara); Wong (Presiden Mahkamah Rayuan); Tengku Maimun Tuan Mat (Hakim Besar Malaya); dan Abang Iskandar Abang Hashim (Hakim Besar Sabah dan Sarawak).

Sebaliknya Mahathir, yang bertindak atas nasihat Thomas, mencadangkan Tengku Maimun sebagai Ketua Hakim Negara; Rohana Yusuf (Presiden Mahkamah Rayuan); Abang Iskandar (Hakim Besar Malaya); dan Wong (Hakim Besar Sabah dan Sarawak).

Menurut Zaid, Tengku Maimun dicadangkan sebagai Ketua Hakim Negara sedangkan beliau baru dilantik ke Mahkamah Persekutuan pada November tahun sebelumnya, melangkau Ahmad Maarop dan Azhar, yang masing-masing dinaikkan pangkat pada 2011 dan 2014.



Zaid berkata, tidak masuk akal sekiranya PKR dan DAP tidak maklum mengenai “perkara pelik” yang berlaku ketika itu, seterusnya mempertikai sama ada PH akan terus “memanipulasi sistem perundangan dengan melantik hakim walaupun melanggar undang-undang”.

Zaid juga bertanya sama ada PH bersedia untuk memulakan reformasi sebenar dalam sistem kehakiman dengan:

mengasingkan pejabat peguam negara dan pendakwa raya;
menyusun semula komposisi suruhanjaya pelantikan supaya benar-benar bebas daripada pengaruh politik;
mengetatkan perundangan untuk memaksa perdana menteri hanya mengesyorkan kepada Yang di-Pertuan Agong pencalonan yang dibuat oleh suruhanjaya; dan
memastikan setiap orang yang dituduh mempunyai representasi undang-undang yang sewajarnya.
Bekas menteri undang-undang itu turut mengeluh keengganan Majlis Peguam turut serta dalam inkuiri pasukan petugas berkenaan walaupun diminta berbuat demikian.

“Pendirian Majlis Peguam dikesali, dan menjadi bukti lanjut bahawa ia terlibat dengan politik partisan,” kata Zaid.



“Apa yang Anwar cadang nak buat mengenai perkara itu?”

Buku Thomas, “My Story: Justice in the Wilderness” diterbitkan pada Januari tahun lalu sebagai memoir peribadi pengalamannya menjadi AG. Namun buku itu dikecam pelbagai pihak termasuk AG kini Idrus Harun, peguam, ahli politik malah orang ramai.

Pada 8 Oktober tahun lalu, jemaah menteri menubuhkan pasukan petugas khas itu untuk meneliti pendedahan dibuat Thomas dalam buku berkenaan. Jemaah menteri pada 22 Disember meluluskan terma rujukan pasukan petugas itu, meliputi antara lain, siasatan dakwaan berhubung badan kehakiman, pendedahan rahsia kerajaan dan salah guna kuasa.

Laporannya dibentangkan kepada jemaah menteri pada September. Susulan itu Pejabat Perdana Menteri mengumumkan Thomas akan disiasat termasuk untuk kesalahan hasutan sepertimana dicadangkan dalam laporan berkenaan. FMT



Anwar, PH hanya pura-pura patuh kedaulatan undang-undang – Zaid


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Resepi Bihun Goreng Kampung, Sedap Macam Mak Buat

Kisah Sejarah Kicap Cap Kipas Udang, Ramai Orang Tak Tahu

PAS persenda tawaran jawatan TPM dari Sabah dan Sarawak

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker