Cuaca Elok Pun PH/PN Tak Nampak Bayang
Cuaca Elok Pun PH/PN Tak Nampak Bayang
JOHOR BAHRU, 28 Sept – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain membidas pembangkang khususnya pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) yang sebelum ini menggesa agar Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 ditngguhkan hingga ke tahun hadapan ekoran musm banjir pada penghujung tahun.
Ini kerana katanya, dalam suasana cuaca elok pun pemimpin-pemimpin pembangkang termasuk yang bergelar Ahli Parlimen dan wakil rakyat tidak ada menjenguk rakyat, apatah lagi jika bencana atau musibah berlaku.
“Bak kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, sehari dua ini banjir telah berlaku di Parlimen Iskandar Puteri, Pulai dan Sri Gading namun kelibat ahli parlimen di kawasan-kawasan terbabit langsung tidak dirasai.
“Maka kerana itu, bukankah lebih elok PRU15 disegerakan agar rakyat dapat memilih pemimpin yang benar-benar dapat berkhidmat untuk mereka daripada berdepan banjir sedangkan Ahli Parlimen mereka tak muncul-muncul.
“Justeru, apa pun bencana atau keadaan yang bakal terjadi pada masa hadapan, PRU15 perlu segera diadakan agar jika benar musibah berlaku maka ada wakil rakyat yang bertanggungjawab bersama rakyat dan bukannya ‘tenggelam timbul’ atau langsung hilang dari radar dan rakyat terkontang-kanting tanpa pembelaan,” katanya dalam kenyataan kepada UMNO Online.
Lebih dari itu, ujarnya, apabila PRU15 dilaksana dan mandat rakyat menjadi realiti dengan adanya kerajaan baharu yang terbentuk, maka keyakinan dari pelabur sama ada tempatan dan asing akan lebih terjamin yang tentunya bakal menyumbang kepada kedudukan ekonomi lebih baik dan menjadi asbab kemajuan negara.
“Sungguh PRU ini amat penting bagi mengembalikan mandat kepada rakyat untuk menentukan pemimpin dan parti yang bakal membentuk kerajaan bagi menerajui negara.
“Ini kerana keadaan negara yang diterajui oleh kerajaan campuran hari ini masih penuh dengan kecelaruan selepas PRU14, iaitu apabila Pakatan Harapan mentadbir 22 bulan, diganti oleh Perikatan Nasional 17 bulan dan hari ini Kerajaan Keluarga Malaysia.”
Jelasnya, biarpun keadaan negara jauh lebih baik hari ini di bawah teraju Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri namun masih banyak yang tak lancar, malah ada-ada saja ‘ugutan’ dan tentangan dari parti-parti lain waima mereka adalah sebahagian daripada kerajaan sendiri.
“Lebih dari itu, menuduh secara terbuka kerajaan pimpinan PM hari ini gagal tapi berselindung apabila ada desakan untuk PRU15 diawalkan.
“Apa masalah mereka sebenarnya? Mahukan kuasa tetapi enggan mengadakan PRU, mendesak PM dengan itu ini tapi tak mahu membuka gelanggang pilihan raya?” bidas Sharifah Azizah lagi. – UMNO Online
Cuaca Elok Pun PH/PN Tak Nampak Bayang