Isu TPM cetus 1,001 masalah

Isu TPM cetus 1,001 masalah

oleh Mohsin Abdullah

Bagi Isham Jalil, ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Annuar Musa lah orang yang mesti tampil menjelaskan isu perjanjian jawatan timbalan perdana menteri yang semakin kusut dan kalut sekarang.



Ini kerana, namanya disebut pemimpin Bersatu sebagai antara saksi ketika Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob dan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin memeterai perjanjian itu, dan tandatangan Annuar sebagai saksi di atas perjanjian bertarikh 17 Ogos 2021 itu tular baru-baru ini untuk tatapan semua.

Ada logiknya gesaan Isham itu. Tetapi, bagi saya, orang yang patut dan wajar tampil dengan penjelasan ialah Ismail sendiri. Saya nyatakan mengapa, walaupun semua maklum sebabnya – beliau terbabit secara langsung. Beliau dikatakan bersetuju wakil Bersatu memegang jawatan timbalan perdana menteri.

Muhyiddin sudah beritahu beliau letak tandatangannya di atas perjanjian itu, dan tanpa berlapik dan berselindung berkata Ismail juga menandatangani.

Sejak isu ini tercetus dan pelbagai dakwaan dan pendapat diluahkan, Ismail sehingga kini tidak beri apa-apa respons. Beliau kunci mulut. Padahal, penjelasannya amat penting untuk mereda atau menyelesaikan segala kekusutan dan kekalutan berhubung isu ini.



Maka, persoalan (yang dibangkit dalam artikel saya minggu lalu) terus timbul, iaitu adakah Ismail memaklumkan partinya, khususnya MKT, sebelum beliau menandatangani perjanjian itu? Atau setelah perjanjian itu ditandatanganinya?

Berdasarkan komen pemimpin Umno setakat ini, partinya tidak tahu Ismail mencapai persetujuan dengan Muhyiddin mengenai jawatan timbalan perdana menteri. Kata Isham, beliau “ada tanya beberapa rakan ahli MKT, mereka kata tidak tahu-menahu akan perjanjian itu”.

Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan pula berkata, pemimpin parti dan anggota Kabinet daripada Umno tidak mengetahui dan tidak dimaklumkan mengenai perjanjian itu. Menurut beliau, perkara itu “tidak pernah dibawa, apatah lagi dibincangkan dalam mesyuarat MKT”, malah beliau mendakwa hanya tahu setelah laporan mengenainya tular, Ahmad dipetik FMT semalam.

Berdasarkan itu, persoalannya ialah bolehkah mana-mana pemimpin (atau ahli) Umno, dan dalam hal ini, naib presiden berbuat sesuatu, dalam kes ini menandatangani perjanjian dengan pemimpin parti lain (presiden Bersatu) tanpa memaklumkan kepimpinan parti terlebih dahulu dan mendapat restu parti?



Jika boleh, maka tidaklah timbul masalah. Jika jawapannya tidak boleh, persoalan susulan ialah adakah tindakan boleh diambil? Jika boleh, apa tindakannya mengikut perlembagaan parti?

Kata Ahmad, soal pelantikan timbalan perdana menteri dan anggota Jemaah Menteri adalah hak atau “prerogative” Ismail selaku perdana menteri, lantas tidak perlu dibincangkan dalam parti.

Itu memang benar dan “prerogative” perdana menteri tidak pernah dipertikaikan. Namun, isunya di sini, adakah parti, pimpinan dan ahli tahu wujudnya persetujuan antara Ismail dengan Muhyiddin?

Perlu diingat persetujuan dicapai ketika Ismail belum diangkat sebagai perdana menteri. Jadi, soal “prerogative perdana menteri” tidak timbul. Bagaimanapun, soal hak perdana menteri boleh timbul padahal perdana menteri belum dilantik? Malah, persetujuan dilihat sebagai elemen supaya Bersatu menyokong Ismail menjadi perdana menteri, setelah Muhyiddin melepaskan jawatan itu tahun lalu.



Meskipun pelantikan timbalan perdana menteri hak perdana menteri, jelas ada syarat dalam perjanjian berkenaan yang Umno tidak berkenan. Ahmad mengaku Umno melihat pembubaran Parlimen ke-14 yang terkandung dalam perjanjian itu perlu diadakan selewat-lewatnya Julai 2022 atau mana-mana tarikh dipersetujui “haruslah diperbincangkan segera dengan lima pemimpin tertinggi parti, MKT dan Barisan Nasional”.

Perjanjian yang tular itu juga menggariskan perdana menteri yang baru dilantik “hendaklah memberi aku janji akan mengadakan rundingan dan mencapai suatu persefahaman dengan Perikatan Nasional (PN)sebelum menentukan tarikh pembubaran Parlimen ke-14 yang akan diadakan selewat-lewatnya pada Julai 2022 atau mana-mana tarikh yang dipersetujui bersama”.

Jelas klausa ini tidak disenangi Umno yang mahu ia menjadi faktor utama dalam menentukan bila Parlimen dibubarkan. Kita tahu Umno berulang kali menyarankan pilihan raya umum ke-15 diadakan segera, tetapi Ismail agak “keberatan” akur kepada permintaan partinya.

Ahmad enggan menjawab pertanyaan wartawan sama ada Ismail bertindak membelakangi parti. Apa pun, kita tidak perlu jadi pakar sains politik untuk tahu semua ini menimbulkan masalah besar buat Umno. Sehingga kini, agak aneh Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi belum memberi komen mengenai isu ini, sebaliknya “memilih” untuk mengizinkan pemimpin lain, terutama Ahmad mengulas.



Beralih pula kepada PAS. Seperti disebut dalam artikel saya yang lalu, Presidennya, Abdul Hadi Awang mengakui isu jawatan timbalan perdana menteri “ada dibincangkan, tetapi tidak ada keputusan”. Maksud beliau tidak ada perjanjian.

Reaksi Muhyiddin seperti kita tahu ialah meminta Hadi merujuk setiausaha agungnya sendiri, iaitu Takiyuddin Hassan. Apabila didedahkan Takiyuddin adalah individu yang menggubal perjanjian berkenaan, Hadi tergamam.

Takiyuddin (mungkin terpaksa) mengaku pembabitannya, tetapi mendakwa perjanjian itu “bukan perjanjian, tetapi sebaiknya suatu ‘memorandum perjanjian’. Tidak mahu saya bincangkan apa bezanya (jika ada perbezaan) perjanjian dengan memorandum perjanjian.

Persoalannya, adakah Hadi tidak tahu akan wujudnya perjanjian atau memorandum perjanjian yang dimaksudkan? Adakah Takiyuddin selaku setiausaha agung PAS tidak memaklumkan Hadi, presiden partinya sendiri? Adakah beliau membelakangi Hadi? Beranikah beliau berbuat demikian?



Adakah ini satu kesalahan? Jika bukan, ertinya semua beres. Namun, jika ia satu kesalahan, adakah setiausaha agung boleh dikenakan tindakan? Tindakan apa mengikut perlembagaan PAS?

Saya setuju dengan Azmi Hassan, penganalisis dari Akademi Nusantara, agak pelik perjanjian yang begitu penting tidak diketahui presiden PAS. Azmi mempersoalkan bagaimana ketua parti yang membentuk PN tidak tahu akan perkara sepenting ini. Semua ini mencetuskan masalah buat PAS juga. Sama seperti Umno.

Saya ingin memetik kata-kata Azmi yang disiarkan FMT semalam: “Ini menunjukkan betapa liciknya percaturan politik Muhyiddin dalam mengawal kerajaan persekutuan melalui perdana menteri…dan bagaimana Ismail menjadi perdana menteri kerana sokongan Bersatu. Jadi, tidak menghairankan perjanjian ini wujud.”

Bagi saya, yang jelas pendedahan Muhyiddin mengenai perjanjian berkenaan berjaya membawa masalah kepada Ismail, Umno, Hadi dan PAS. FMT

Isu TPM cetus 1,001 masalah


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


SM Faisal tuntut harta sepencarian terhadap bekas isteri

Nora buat pembedahan besarkan payu dara

Yazmin Aziz cium pemain bolasepak Kelantan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker