Menteri PN Dalam Kabinet Semua Tidak Kompeten

Oleh Nurul Aisyah

SATU cabaran yang sangat besar buat kerajaan yang ada sekarang memandangkan hampir kesemua Menteri dari parti Perikatan Nasional(PN) tidak kompeten dalam menjalankan tugas mereka. Memandangkan kerajaan yang ada sekarang merupakan kerajaan gabungan dengan PN maka PM tidak mempunyai kebebasan merombak kabinet. Pemimpin parti gabungan dikatakan sering mengeluarkan kenyataan akan “menekan butang” menarik sokongan jika perjalanan kerajaan sekarang tidak selari dengan kehendak mereka.

Bagi mendapatkan barisan menteri yang berwibawa maka Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) perlu diadakan segera bagi melonjakkan ekonomi negara dan memandu Malaysia keluar dari kemelut ketidakstabilan yang sedang dihadapi ketika ini.



Baru-baru ini berlaku satu insiden yang sangat memalukan negara (National Embarrasment) apabila kekeliruan yang tidak sepatutnya terjadi membabitkan lawatan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Bagaimana seorang diplomat kanan dan berpengalaman boleh terlepas pandang maklumat penting terutama jika membabitkan hal ehwal perdana menteri. Sepatutnya sebagai menteri luar, beliau sepatutnya berada di lapangan lebih awal untuk memastikan segala persediaan sudah dibuat.

Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah harus bertanggungjawab penuh atas insiden tersebut yang menyebabkan dua diplomat ke negara itu dipanggil pulang atas alasan kegagalan dua pegawai terbabit menguruskan lawatan Ismail ke Dubai pada 29 hingga 31 Mac lalu. Siasatan dalaman perlu dilakukan terlebih dahulu bukannya memanggil pulang pegawai tersebut dengan tergesa-gesa.

Walaupun Wisma Putra sudah mengeluarkan kenyataan yang menjelaskan bahawa tindakan itu adalah kerana kegagalan mereka menyelaraskan pengurusan dan logistik, namun kedua-duanya tidak harus dipanggil pulang tanpa siasatan dilakukan terlebih dahulu.



Untuk makluman, kegagalan Menteri Luar Negara itu telah menyebabkan perdana menteri terpaksa menunggu lama di ruang ketibaan biasa bagi urusan pelepasan pasport oleh imigresen Dubai selain tiadanya liputan dan kawalan keselamatan serta pergerakan motoked yang sepatutnya disediakan untuk perdana menteri seperti amalan SOP.

Lazimnya dalam apa keadaan sekalipun, seperti mana ketika perdana menteri menghadiri Perhimpunan Agung PBB di New York, walaupun kerajaan tuan rumah tidak dapat menyediakan taraf tetamu, ketua perwakilan Malaysia tetap menyediakan liputan dan kawalan keselamatan serta motoked yang mengikuti SOP untuk perdana menteri.

Kedua-dua pegawai terbabit juga gagal memaklumkan kepada KLN di Putrajaya mengenai penganjuran World Government Summit (WGS) yang diadakan dalam kawasan Ekspo Dubai dan pimpinan tertinggi KLN hanya mengetahui mengenai WGS pada pagi 30 Mac melalui sumber lain dan sekiranya perkara ini dimaklumkan lebih awal, usaha pastinya dibuat supaya perdana menteri menyampaikan ucapan pada program berkenaan.

Insiden kekeliruan lawatan PM ke Dubai adalah contoh terkini bagaimana tidak kompetennya Menteri PN dalam kabinet sekarang. Rakyat juga tahu bahawa hampir kesemua menteri PN gagal dalam melaksanakan tanggungjawab mereka. Bagi mendapatkan barisan kabinet yang kompeten dan berwibawa serta berintegriti maka PRU15 perlu diadakan dengan segera.



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker