Terlalu popular, BTS tidak diundang ke majlis angkat sumpah Presiden Korea Selatan
SEOUL – Ketua Jawatankuasa Majlis Angkat Sumpah Presiden Korea Selatan, Park Joo-sun mengesahkan kumpulan muzik tersohor, BTS tidak akan diundang untuk membuat persembahan pada majlis tersebut, lapor agensi berita Yonhap, semalam.
Joo-sun mengumumkan berita itu semasa taklimat akhbar di ibu pejabat pasukan peralihan kuasa di Seoul.
“Kami percaya adalah tidak sesuai untuk menjemput BTS kali ini kerana bakal Presiden mahukan sebuah majlis ringkas dan sederhana yang menggalakkan perpaduan negara sambil disertai oleh kanak-kanak, warga emas serta bintang kurang dikenali.
“Tambahan pula, dengan bajet yang terhad, sukar untuk menjemput bintang pujaan global seperti BTS, jadi kami memutuskan untuk tidak mengundang mereka,” katanya.
Namun, kata Joo-sun, beliau berharap akan ada peluang untuk menjemput BTS ke acara di masa depan yang lebih sesuai dengan status dan kemasyhuran kumpulan itu.
Beliau juga menolak tanggapan majlis angkat sumpah itu sebagai acara politik dan berkata, ia adalah acara negara yang ditetapkan oleh undang-undang. – Agensi
You must be logged in to post a comment.