Ramadan: Setiap saat amat bermakna

Ramadan: Setiap saat amat bermakna

oleh Dr Lokman Ab Rahman

Ramadan adalah bulan yang dipenuhi dengan keberkatan yang sepatutnya dimaknakan pada setiap detik yang berlalu itu dengan pengisian yang bermanfaat. Penetapan permulaan Ramadan itu sendiri bermula dengan penentuan kiraan hisab menurut kiraan takwim hijri, atau rukyah, iaitu melihat anak bulan hilal melibatkan penelitian bidang falak dan kepakaran astronomi.

Di Malaysia proses ini melibatkan premis-premis balai cerap di seluruh negara. Ini menunjukkan betapa pentingnya penentuan masa diseragamkan terutamanya pada penetapan sambutan Ramadan. Dari sini juga terhasilnya jadual waktu berbuka puasa dan sahur.

Seimbas lalu nampak seperti remeh urusan ini iaitu sekadar menyediakan jadual solat maghrib, subuh dan lain-lain waktu. Sebenarnya penentuan tarikh Ramadan di Malaysia dalam takwim hijri adalah sebagai salah satu fungsi mewakili negara-negara minoriti Muslim di Asia. Masyarakat Islam minoriti melalui kesatuan dan pertubuhan rasmi mereka menjadikan Malaysia sebagai rujukan, seperti di Thailand, Jepun, Filipina dan Kemboja memandangkan Malaysia berada di satu rumpun yang sama di Asia sungguhpun masa, bahasa dan bangsa berbeza.

Penetapan masa ini adalah berkait rapat dengan pengurusan masa yang tersusun dan ketepatan tindakan dalam konteks tanggungjawab ibadah. Malah sebagai seseorang yang berpuasa digalakkan menyegerakan berbuka puasa di awal waktu dan ulama fikah menyebut makruh sekiranya ia dilambat-lambatkan dengan sengaja. Begitu juga ketika bersahur digalakkan melewatkan sehingga hampir waktu fajar supaya makanan dan minuman yang diambil dapat menampung tenaga sepanjang hari. Sahur itu bukan sahaja sunat malah ada keberkatannya sebagaimana hadis riwayat Muslim. Masyarakat di Asia sepatutnya bersyukur kerana tempoh masa berpuasa di kawasan ini hanya di sekitar 13 jam sahaja dan lebih mencabar sekiranya berada di kawasan Eropah yang mana puasa mereka melebihi 15 jam ketika musim panas.

Konsep pengurusan masa pada kebiasaannya banyak ditekankan dalam pengurusan korporat dan awam untuk memaksimakan penggunaan secara berkesan, seimbang dengan produktivi yang berkualiti. Tetapi dalam Islam, konsep ini telah pun dilatih pada setiap individu dalam amalan ibadah mereka khususnya melalui solat dan puasa, bukan sekadar dalam sektor pekerjaan sahaja. Ini semua mengajar kita agar menepati waktu dan menjadikan masa yang ada lebih berkualiti. Malah semua pelaksanaan ibadah ini telah diberikan kaedah dan panduan yang jelas oleh ahli fikah dalam menetapkan metodologi dalam menunaikan ibadah seperti zakat, haji, solat, korban dan puasa kerana melibatkan ketetapan dan ketepatan masa.

Dalam konteks kualiti masa ketika Ramadan, sahur bukan sekadar menepati masa, bahkan lebih daripada itu ialah pengurusan masa yang efektif dalam membina hubungan seorang hamba dengan penciptanya di saat kebanyakan orang ramai sedang terlena, nyenyak tidur dan dibuai mimpi. Catatan sejarah kehidupan perjalanan tokoh besar dunia seperti Hassan al-Banna dan Sayed Qutb di Mesir, Maududi di Pakistan, Umar Mokhtar di Libya dan Said Nursi di Turki tidak ketinggalan dalam menghidupkan waktu sahur, iaitu sepertiga malam terakhir hatta di bulan selain Ramadan. Sudah pasti tokoh pejuang dan ulama Malaysia seperti Mat Kilau, Abdul Rahman Limbong dan seangkatan dengannya turut melakukan amalan yang sama.

Mereka mendapat kekuatan rohani, jasmani dan minda dalam melaksanakan gerak kerja dakwah, islah dan pembebasan negara daripada cengkaman penjajah. Begitu juga tokoh-tokoh mazhab dan ilmuan Islam memaksimakan penggunaan masa tersebut untuk mengarang dan merungkai kekusutan ilmiah melalui karya-karya tinta emas mereka yang menjadi rujukan sepanjang zaman. Menurut Hamka dalam Tafsir al-Azhar, waktu keemasan tersebut bermula di sekitar jam tiga pagi. Maka sudah tentu bagi kita sebagai orang awam, bulan Ramadan ini menjadi ruang latih tubi ketika bersahur untuk berusaha menghidupkan saat keemasan yang sukar dilaksanakan oleh ramai orang.

Ramadan itu sendiri adalah bulan al-Quran diturunkan. Bagi sesetengah negeri di Malaysia, 17 Ramadan tersebut diisytiharkan sebagai hari perlepasan am. Dalam tradisi amalan masyarakat Islam mensasarkan khatam bacaan tiga puluh juzuk al-Quran di samping solat Tarawih setiap malam selepas solat isyak. Lebih bermanfaat sekiranya berusaha memahami al-Quran, kerana menurut Sayed Qutb sepatutnya sikap seorang pembaca al-Quran adalah seperti tentera membaca arahan ketuanya. Aktiviti padat sepanjang Ramadan menunjukkan setiap saat itu sangat bermakna, berkat dan bermanfaat untuk mengejar tawaran pahala berganda daripada Ilahi. Firman Allah, “Maka berlumba-lumbalah kamu melakukan kebaikan.” (al-Baqarah: 148)

Setiap orang dalam bulan ini saling berusaha dalam membuat kebaikan dan kebajikan seperti majlis berbuka puasa, makanan percuma dan sedekah. Sayangnya ini semua tidak dapat dilakukan semeriah dahulu seperti memasak bubur lambuk beramai-ramai secara gotong-royong melibatkan lebih ramai penyertaan akibat kekangan kawalan Covid-19.

Kemuncak cabaran bulan suci ini adalah ketika di penghujung Ramadan terutamanya di sepuluh malam terakhir. Maka tidak hairanlah Allah SWT menawarkan Lailatul Qadar dengan pahala berlipat ganda. Al-Quran memperincikan bahawa kelebihan malam al-Qadr adalah ia lebih baik daripada seribu bulan (al-Qadr: 3) dan al-Quran diturunkan pada malam tersebut (al-Qadr: 1). Antara cabarannya adalah sepuluh malam terakhir berada di penghujung Ramadan yang mana kebanyakan orang sudah keletihan berpuasa, kepenatan serta kekurangan tenaga. Ini semua memerlukan kekuatan jati diri dan fokus minda. Yang kedua, setiap keluarga sibuk dengan persiapan raya dan balik kampung menyebabkan surau dan masjid menjadi lengang tidak seperti di awal Ramadan. Yang ketiga adalah tawaran dan tarikan promosi dari pusat membeli-belah yang lebih meriah dan hebat menyebabkan para jemaah kehilangan fokus untuk solat berjemaah dan beribadah dalam keadaan ghairah untuk menyambut hari raya. Beberapa cabaran ini kadangkala menyebabkan ramai yang terlalai dengan pelbagai tawaran sehingga terlupa tawaran daripada Allah SWT yang datang hanya setahun sekali. Kesemua ini memerlukan semangat, kesedaran serta motivasi tinggi supaya kekal sehingga tamat Ramadan.

Harus diakui puasa mempunyai pelbagai hikmah yang bukan sahaja untuk menunaikan tuntutan hukum, bahkan dari sudut perubatan. Latihan diet sepanjang bulan bukan sekadar supaya kelihatan langsing seperti yang diidamkan oleh sesetengah orang. Jauh lebih penting adalah mencapai kesihatan fizikal, rohani dan minda serta mentarbiah ego individu. Di sebaliknya juga banyak perkara yang tersirat seperti mengatur diri berdisiplin dengan ketepatan masa, ikhlas, amanah, patuh dengan perkara yang diwajibkan dan meninggalkan apa yang dilarang. Ciri-ciri ini semuanya sangat bernilai untuk membina individu berintegriti tinggi sebagai insan rabbani, malah mampu melahirkan sebagai pekerja cemerlang dalam pelbagai kerjaya. Wallahu’alam.

Penulis Pengarah Bahagian Penerbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

Ramadan: Setiap saat amat bermakna


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Terkini: Permohonan bantuan Laptop dan Tablet dibuka

Resepi Ayam Goreng Korea Super Rangup

Resepi bubur pedas Sarawak nang nyaman

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker