Kucing bergelimpangan mati diracun di pantai Bukit Keluang

KAKITANGAN Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu mengambil bangkai 15 kucing yang dipercayai mati diracun di pantai Bukit Keluang di Besut, semalam.

KUALA TERENGGANU: Kesemua 15 sampel kucing yang dipercayai mati diracun di pantai Bukit Keluang di Besut  dihantar ke makmal untuk dianalisis.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri, Dr. Anun Man berkata, proses bedah siasat terhadap bangkai-bangkai haiwan daripada pelbagai umur, jantina dan warna itu selesai dilakukan pihaknya, semalam.

Menurut beliau, siasatan lanjut kini dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772).

“Semalam, kita menerima aduan kucing mati disyaki diracun dan pasukan operasi Unit Kebajikan Haiwan dan Penguatkuasa Veterinar Negeri dikerahkan ke lapangan untuk melakukan siasatan.

“Bedah siasat sudah dijalankan dan sampel dihantar ke makmal untuk analisis kimia serta diagnostik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, tular gambar dan video kucing-kucing mati bergelimpangan di pantai Bukit Keluang hingga mengundang rasa marah warganet.

Menurut Anun, pendakwaan dilakukan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan atau denda maksimum RM100,000.

Sehubungan itu, katanya, orang awam  boleh menyalurkan sebarang aduan kebajikan haiwan secara rasmi menerusi laman web MyAnimalWelfare di https://awa.dvs.gov.my/support. – UTUSAN

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker