59 pasangan abadikan hari perkahwinan 22.02.2022

59 pasangan abadikan hari perkahwinan 22.02.2022

Ipoh: Selepas menyulam cinta selama 15 tahun akhirnya hari bahagia diabadikan dalam majlis perkahwinan beramai-ramai pada tarikh istimewa 22.02.2022 hari ini.

Chan Kai Wei, 27, dan pasangan Chow Ji Khay, 27, adalah antara 59 pasangan yang disatukan di majlis perkahwinan beramai-ramai di Wisma Chin Ho di sini.

Kai Wei berkata, dia mula mengenali pasangannya itu ketika di bangku sekolah rendah sewaktu mengikuti salah satu kelas tuisyen yang diadakan di bandar raya ini.

“Kami sudah berkenalan sejak Tahun Enam, meskipun kami belajar di sekolah rendah berbeza tetapi mengikuti tempat tuisyen yang sama.

“Kami terpisah selama tiga tahun kerana menyambung pengajian di universiti berbeza sebelum berhubung semula,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis berkenaan di sini hari ini.

Menurutnya, dia bertugas sebagai anggota polis di Singapura manakala isterinya sebagai pereka dan kedua-duanya bermastautin di kota singa sejak enam tahun lalu.

Katanya, dia dan pasangan memilih hari ini untuk berkahwin berikutan tarikh unik dari segi susunan pengulangan sama hari, bulan dan tahun.

Sementara itu, penganjur, Presiden Persatuan Sukan Cina Chin Woo Ipoh, Datuk Ooi Foh Sing berkata, majlis perkahwinan beramai-ramai seumpama itu kali terakhir diadakan pada Tahun Baharu Cina sebelum pandemik Covid-19 melanda negara.

“Kita menerima pasangan dari sekitar Ipoh, kadang-kadang kita menerima pasangan dari Singapura. “Ini adalah tarikh yang ‘ong’ dan mempunyai banyak maksud baik dalam masyarakat Cina, jadi ramai pasangan yang mengambil peluang untuk mendirikan rumah tangga pada tarikh ini,” katanya. Menurutnya, majlis perkahwinan beramai-ramai itu diadakan dalam suasana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mencegah penularan wabak Covid-19 yan ditetapkan kerajaan.

Katanya, setiap pasangan dikenakan bayaran sebanyak RM260 bagi pendaftaran perkahwinan

Manakala, Wong Chung Chow, 31 dan pengantin perempuannya, Lew Khai Chen,26 pula menjadi pasangan pertama yang menghantar borang untuk melangsungkan perkahwinan hari ini.

Khai Chen berkata, dia dan suami memilih tarikh unik ini kerana nombor dua yang disifatkan sebagai lambang cinta selain membawa banyak maksud baik dalam banyak sudut kepercayaan masyarakat Cina.

Guru Bahasa Melayu di sekolah rendah di Slim River itu berkata, dia dan pasangannya mendaftar sejak September tahun lalu bagi mendapatkan tarikh istimewa itu.

“Kami rasa bertuah kerana bukan senang untuk mendapatkan tarikh unik ini dalam keadaan perlu banyak mematuhi SOP,” katanya. HM

59 pasangan abadikan hari perkahwinan 22.02.2022


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Rasyad dan Peter ‘trending’ di Twitter

Wanita Ini Menyesal Tak Sudah Dapat ‘Date Dari Neraka’ [VIDEO]

Bercerai selepas sehari berkahwin

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker