Dividen KWSP 2023, 5.4% syariah dan 5.5% konvensional

SHAH ALAM: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan dividen 5.5 peratus dan 54 peratus masing-masing untuk simpanan konvensional dan simpanan syariah bagi 2023.

Kadar itu lebih tinggi berbanding 2022 yang mana dividen diumumkan ketika itu bagi simpanan konvensional adalah 5.35 peratus dan 4.75 peratus bagi simpanan syariah.

Ia membabitkan pengagihan terkumpul RM57.81 bilion masing-masing RM50.33 bilion untuk simpanan konvensional dan RM7.48 bilion lagi untuk simpanan syariah.



Perkara itu diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWSP yang baru dilantik, Ahmad Zulqarnain Onn ketika sesi taklimat prestasi kewangan KWSP di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata kepelbagaian portfolio dan pengurusan dana yang aktif membolehkan KWSP untuk mengisytiharkan kadar dividen lebih baik untuk 2023.

“Agihan dividen RM57.81 bilion akan memanfaatkan lebih 16 juta ahli KWSP, merangkumi individu dari kedua-dua sektor formal dan informal,” katanya.

Bagi tahun berakhir 31 Disember 2023, KWSP mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan RM66.99 bilion, meningkat 29 peratus berbanding RM51.91 bilion pada 2022.



Daripada RM66.99 bilion jumlah pendapatan pelaburan itu, RM5.72 bilion dijana daripada keuntungan mark-to-market (MTM) sekuriti yang belum direalisasikan dan tidak akan menjadi sebahagian daripada pengagihan dividen.

Sehingga Disember 2023, aset pelaburan KWSP mencecah RM1,135.82 bilion, di mana 62 peratus daripadanya dilaburkan dalam pasaran domestik.

Bagi 2023, pelaburan domestik menjana RM31.71 bilion atau 47 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan, yang memberikan kestabilan kepada keseluruhan pendapatan pelaburan KWSP.

Pelaburan asing menjana RM35.28 bilion, atau 53 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan yang dicatatkan.



Sebanyak RM58.97 bilion daripada RM66.99 bilion jumlah pendapatan pelaburan dijana untuk simpanan konvensional, dan RM8.02 bilion untuk simpanan syariah.

Simpanan syariah memperoleh pendapatannya daripada bahagian portfolio syariah, manakala pendapatan untuk simpanan konvensional dijana oleh kedua-dua portfolio syariah dan konvensional.

Prestasi 2023 KWSP melaporkan pertumbuhan positif dalam pendaftaran ahli, selaras dengan pasaran buruh negara yang semakin kukuh.

Sehingga Disember 2023, pendaftaran ahli baharu KWSP meningkat kepada 460,447, menjadikan jumlah ahli KWSP seramai 16.07 juta.



Daripada jumlah itu, sebanyak 8.52 juta adalah ahli aktif yang kini mewakili 50 peratus daripada 17.03 juta tenaga buruh Malaysia pada akhir 2023.

Usaha berterusan KWSP dalam memperluaskan liputan KWSP juga dapat dilihat melalui pertumbuhan memberangsangkan program i-Saraan, yang membolehkan pekerja di sektor formal atau tidak formal mempunyai pendapatan tetap untuk menyimpan dengan KWSP demi masa depan persaraan mereka.

Pada 2023, bilangan peserta i-Saraan mencatatkan peningkatan ketara 31 peratus kepada 382,983 daripada 291,743 pada 2022.

Secara keseluruhan, jumlah caruman diterima sepanjang 2023 meningkat kepada RM97.56 bilion, naik sebanyak 15 peratus daripada 2022.



Kenaikan itu mencerminkan peningkatan dalam kapasiti kewangan ahli berikutan pemulihan pendapatan, pekerjaan dan ekonomi yang progresif.

Ia juga mencerminkan tahap kepercayaan ahli yang berterusan terhadap KWSP untuk melindungi simpanan mereka.

Pendaftaran majikan baharu dicatatkan pada 82,005 pada akhir 2023, menjadikan jumlah majikan yang berdaftar dengan KWSP kepada 606,187.

Bermula Januari 2024, KWSP mengasingkan portfolio simpanan konvensional dan simpanan syariah berhubung dengan pelaburan patuh syariah KWSP, bagi membolehkan pulangan setiap portfolio dioptimumkan dalam jangka masa panjang dengan setiap portfolio mempunyai Alokasi Aset Strategik masing-masing.



Langkah itu juga bagi memastikan aset di bawah simpanan syariah dan simpanan konvensional dapat dipelbagaikan dengan lebih baik merentasi kelas aset, pasaran, negara dan mata wang untuk memastikan pulangan yang mampan.

Tahun 2024 dijangka menjadi tahun penting bagi KWSP berikutan pelancaran beberapa inisiatif yang bertujuan untuk memenuhi keperluan ahli KWSP, selain memastikan ketahanan kewangan dan kesejahteraan persaraan mereka.

Perubahan trend masa kini yang menjurus kepada pembabitan dalam pekerjaan sektor tidak formal berbanding pekerjaan formal akan menjadi penggerak di sebalik pelaksanaan berterusan inisiatif strategik KWSP.

Untuk membantu ahli membina jaminan pendapatan masa hadapan, rangkaian produk dan perkhidmatan KWSP dipertingkatkan untuk disesuaikan dengan peringkat kehidupan dan matlamat kewangan yang berbeza.

Ia termasuk penambahbaikan program i-Saraan KWSP di mana had insentif padanan maksimum Kerajaan untuk program i-Saraan KWSP dinaikkan daripada RM300 kepada RM500 setahun bagi menggalakkan ahli terus menyimpan untuk persaraan.

Selain meningkatkan simpanan persaraan, i-Lindung Fasa 2 KWSP dilancarkan pada Februari 2024 untuk membolehkan ahli menggunakan dana dalam Akaun 2 mereka untuk membeli produk insurans dan takaful yang terdiri daripada perlindungan nyawa dan penyakit kritikal untuk ahli keluarga terdekat mereka.

Ia menandakan satu kemajuan penting dalam evolusi platform i-Lindung bagi menyepadukan produk perlindungan jangka panjang untuk ahli KWSP dan orang tersayang.

Pada masa sama, Program Outreach KWSP mencatatkan pertumbuhan positif dalam usaha mempromosikan caruman sukarela untuk membina simpanan persaraan ahli.

Pada 2023, jumlah ahli yang membuat caruman sukarela meningkat 17 peratus kepada 905,923 pada 2023, berbanding 772,687 pada 2022.

 

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

30 ekor gajah datang berkunjung

Johan gosok baju saya – Ozlynn

Bekain pemain Arsenal Podolski kini jutawan kebab, ais krim

Umpama kembar ‘Ronaldo’ jadi perhatian ramai

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker