Khairuddin dipecat tanpa dipanggil bela diri, tiada surat rasmi

SHAH ALAM – Isu pemecatan Datuk Dr Khairuddin Aman Razali sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat semakin bercelaru apabila difahamkan sehingga kini Ahli Parlimen Kuala Nerus itu belum menerima sebarang surat rasmi daripada ibu pejabat parti itu.

Malah, menurut sumber terdekat, sehingga hari ini bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkenaan tidak pernah dipanggil oleh Jawatankuasa Disiplin Pas untuk membela diri atau diberikan surat tunjuk sebab.

“Ini kerana, saya difahamkan sehingga kini Khairuddin belum menerima surat rasmi berhubung pemecatan kerana masalah disiplin daripada Pas Pusat.

“Saya juga pelik dengan keputusan pemecatan Khairuddin kerana sehingga kini jawatankuasa disiplin parti belum memanggil beliau untuk membela diri? Adakah Jawatankuasa Pas Pusat memanggil Khairuddin untuk membela diri atas tuduhan melanggar disiplin? ” katanya ketika dihubungi wartawan Sinar Premium pada Isnin.

Mengulas lanjut, beliau juga mempersoalkan sama ada pemecatan Khairuddin mendapat sokongan majoriti AJK Pas Pusat atau didalangi individu tertentu sahaja.

“Adakah pemecatan beliau dilakukan sebulat suara AJK Pas pusat atau majoriti? Adakah AJK Pusat diberi peluang untuk berbincang dan memberi pandangan dalam isu ini semasa mesyuarat baru-baru ini?

Ini kerana difahamkan rungutan AJK Pas Pusat yang mereka tak diberi peluang untuk bertanya dan memberikan pandangan?” katanya.

Dalam pada itu, sumber tersebut juga mempertikaikan niat Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mencabar Khairuddin atau mana-mana pemimpin parti membuktikan bahawa pemecatan ahli Parlimen Kuala Nerus berkenaan mempunyai kaitan dengan isu hubungan Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Kenapa Takiyuddin mencabar Khairuddin sedangkan beliau belum lagi respon berkaitan isu pemecatan di media?” katanya.

Nik Abduh beri teguran, pengguguran Khairuddin perlu penjelasan

Beliau juga hairan dengan tindakan Takiyuddin yang menggunakan media sebagai medium menyelesaikan masalah dalam parti bukannya menerusi mesyuarat seperti amalan kebiasaannya.

“Mengapa AJK Pas Pusat mempunyai masalah untuk berbincang sesama sendiri sehingga semua menggunakan media untuk mengulas?” katanya.

Sebelum ini, Takiyuddin mencabar Khairuddin atau mana-mana pemimpin untuk menyatakan bahawa isu MN dan PN adalah punca pemecatan tersebut.

“Adakah dia (Khairuddin) berani mengatakan bahawa soal ini (pendirian MN dan PN)? Kalau dia berani, dia buat kenyataanlah: ‘Saya dipecat kerana ini (MN dan PN). Kalau berani, silakan,” kata Takiyuddin sebelum ini.

Isu pemecatan Khairuddin mula panas apabila Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan Ahli Parlimen Kuala Nerus berkenaan dipecat daripada jawatan AJK Pas Pusat selepas tidak sampai tiga bulan dilantik.

Abdul Hadi ketika mengumumkannya menegaskan keputusan tersebut telah diputuskan dalam mesyuarat yang diadakan di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur pada Rabu lalu, namun enggan mengulas lanjut punca sebenar pemecatan itu.

Pas menyangkal dakwaan parti itu berdepan perpecahan selepas pemecatan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali

“Mestilah ada alasan-alasan, yang dipegang pada parti adalah alasan. Dalam parti ada disiplin, siapa yang tidak ikut disiplin dia boleh dinasihatkan dan boleh ditukar jawatan,” katanya.

Difahamkan, Khairuddin dipecat kerana terlalu lantang bersuara dan mahu mempertahankan MN atau mengekalkan hubungan baik dengan UMNO, berbeza dengan pucuk pimpinan Pas yang mahu meneruskan ‘perkahwinan’ dengan PN terutama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terutama menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Khairuddin dipecat tanpa dipanggil bela diri, tiada surat rasmi


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Biar Takiyuddin perjelas kenapa saya dipecat – Khairuddin

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker