Usah janji bulan dan bintang

#PRU15

Usah janji bulan dan bintang

Bahang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) semakin hangat terasa seusai proses penamaan calon sekali gus menyaksikan calon bersama jentera parti politik yang bertanding membuka langkah, mengatur gerak dan merencana strategi untuk meraih sokongan dan dukungan rakyat melalui aktiviti kempen.

Dalam konteks politik, aktiviti kempen merupakan salah satu aspek penting dalam suatu proses pilihan raya kerana ia menjadi wadah bagi calon untuk menonjolkan diri dalam menawarkan khidmat bakti kepada rakyat serta mengemukakan agenda yang diperjuangkan oleh parti politik yang diwakili.

Selain itu, ia juga medium interaksi sosial bagi memberi peluang kepada calon untuk menyampaikan visi dan misi serta aspirasi yang dibawa untuk dinilai oleh rakyat yang akan menentukan pilihan mereka di peti undi.

Namun, sudah tentu aktiviti kempen ini perlu dilaksanakan secara berhemah dengan diiringi adab dan akhlak sehingga tidak menyimpang daripada tujuan asal berkempen itu sendiri. Dalam hal ini, Islam telah menggariskan beberapa prinsip moral sewaktu berkempen yang dapat dijadikan pedoman bagi pihak bertanding.

Prinsip pertama ialah kejujuran dan bercakap benar sewaktu berkempen. Prinsip ini berpandukan kepada keterangan ayat al-Quran yang bermaksud: “Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa ada.” (Surah Qaaf: 18)

Berdasarkan keterangan ayat tersebut, calon yang melaksanakan aktiviti kempen seharusnya menyampaikan perkara yang benar dan mengandungi fakta.

Calon dan parti politik yang bertanding seharusnya tidak terlalu mudah menjanjikan tawaran ‘bulan dan bintang’ semata-mata untuk mempengaruhi rakyat mengundinya walhal mereka sedar tidak mampu melaksanakan apa yang dijanjikan. Hal ini penting untuk diberi perhatian oleh calon sewaktu berkempen kerana setiap janji pasti akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Sebagaimana firman Allah Ta’ala: “…dan penuhilah janji; sesungguhnya janji itu pasti diminta pertanggungjawapannya.” (Surah al-Isra’: 34)

Selain itu, Rasulullah ﷺ SAW telah memberikan peringatan dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Terdapat tiga ciri orang munafik; apabila bercakap dia berbohong, apabila dia berjanji dia mungkiri dan apabila diberi amanah, dia khianat.” (HR. Muslim)

Para calon seharusnya mengambil iktibar akan pengalaman lalu tentang kekecewaan rakyat terhadap pemimpin yang hanya manis berjanji sewaktu berkempen namun tidak menunaikan janjinya apabila telah diberikan mandat. Pada akhirnya, tindakan tersebut hanya mengundang kebencian dan penyesalan bagi sebahagian besar rakyat yang memilihnya.

Prinsip kedua pula ialah tidak mencabuli kehormatan pihak lawan. Perbuatan seperti membuka aib dan memberi gelaran yang buruk terhadap calon daripada parti lawan adalah suatu bentuk ‘black campaign’ yang perlu dielakkan sepertimana telah ditegaskan larangannya di dalam al-Quran. Allah Ta’ala berfirman bermaksud: “…dan janganlah sesetengah kamu menyatakan keaiban sesetengah yang lain; dan janganlah pula kamu memanggil-manggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk…” (Surah al-Hujurat: 11)

Begitu juga sepertimana telah diungkapkan melalui hadis Rasulullah ﷺ SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya darah, harta benda dan kehormatan setiap orang Islam tidak boleh dicabuli.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Seharusnya calon-calon yang bertanding memfokuskan kepada problem solving iaitu agenda untuk menyelesaikan masalah rakyat tanpa perlu menanamkan persepsi buruk dan sentimen kebencian terhadap pihak lawan. Hal ini secara tidak langsung dapat membudayakan politik matang dan berakhlak, lebih-lebih lagi calon yang bertanding merupakan bakal pemimpin yang akan menerajui tampuk kepemimpinan negara.

Berkesinambungan daripada itu, prinsip ketiga yang perlu diberi perhatian oleh para calon khasnya dan jentera parti yang bertanding amnya ialah menjaga ukhuwah (persaudaraan). Aktiviti kempen bukanlah medan untuk memuaskan selera hawa nafsu dengan tindakan seperti mencaci maki, menghina dan mencetuskan provokasi, apatah lagi sehingga membawa kepada tindakan merosakkan bendera dan bahan kempen parti lawan.

Hal ini kerana ia akan mengundang permusuhan yang menjejaskan ukhuwah Islamiyah. Allah Ta’ala berfirman: “Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) di antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.” (Surah al-Hujurat: 10)

Selain daripada tiga prinsip yang telah dikemukakan, aktiviti kempen juga seharusnya mengandungi prinsip islah (pembaikan) untuk membina masyarakat yang bertamadun baik dari aspek material mahupun spiritual.

Sebagai contoh, tulisan yang dipaparkan pada kain rentang, sepanduk, poster dan bahan kempen perlu mengandungi kata-kata yang mendidik minda rakyat. Manakala segala bentuk sogokan dalam meraih undi perlu ditinggalkan sama sekali kerana ia hanya akan melahirkan budaya politik yang tidak sihat. HM

Penulis penganalisis politik Islam dan calon Doktor Falsafah di Jabatan Siasah Syar’iyyah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya

Usah janji bulan dan bintang


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Penumpang LRT rosak jadi mangsa samun kerana jalan kaki [VIDEO]

Ismail Sabri sokong KJ diangkat sebagai PM pada masa akan datang

Mat Sabu ‘Koyak’ di Kota Raja, maki perempuan bohsia [VIDEO]

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker