Shahidan nafi tahu ‘rombakan kabinet’ menjelang tahun baru

SHAH ALAM – Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai kemungkinan berlakunya rombakan Jemaah Menteri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat.

Jelas Ahli Parlimen Arau itu, hal ini kerana bidang kuasa untuk melakukan rombakan kabinet kerajaan Keluarga Malaysia adalah di bawah hak prerogatif Perdana Menteri sendiri.

Berikutan itu, beliau tidak dapat mengesahkan sama ada spekulasi berlakunya rombakan kabinet yang dijangka melibatkan sebilangan menteri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bakal berlaku atau tidak.



“Isu rombakan kabinet adalah bidang kuasa dan hak prerogatif Perdana Menteri.

“Setakat ini, saya tidak tahu dan tiada maklumat mengenai kemungkinan rombakan kabinet akan dibuat dalam masa terdekat.

“Terpulang kepada Perdana Menteri untuk memutuskan dan kami bersedia menyokong sebarang keputusan beliau kelak,” katanya pada Jumaat.

Baru-baru ini, beberapa portal media tempatan melaporkan sekurang-kurangnya empat menteri daripada Bersatu dijangka digugurkan dalam satu rombakan kabinet yang dikatakan bakal dilaksanakan Ismail Sabri dalam masa terdekat.



Antara empat menteri yang kononnya dikaitkan dengan pengguguran daripada jawatan menteri adalah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Dr Abdul Latif Ahmad; Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin dan Menteri Kanan (Ekonomi), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sendiri.

Bagaimanapun, tiada kesahihan mengenai laporan itu dengan beberapa menteri dan timbalan menteri yang dihubungi Sinar Premium mengakui tidak tahu-menahu mengenainya.

Sekiranya benar, keputusan drastik itu dibuat Ismail Sabri pastinya terkait rapat dengan prestasi beberapa menteri yang dianggap mengecewakan dan dikatakan lambat dalam mengatur penyelarasan gerak kerja bagi membantu mangsa banjir luar biasa di Lembah Klang, Pahang, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka sejak dua minggu lalu.

Kejadian banjir juga telah mengundang ruang kritikan rakyat terhadap kerajaan Ismail Sabri dengan beberapa menteri telah ‘dihentam’ warganet susulan melakukan aksi gimik politik yang keterlaluan.



SIAP SIAGA UNTUK PANTAI TIMUR, TAPI BANJIR BESAR DI LEMBAH KLANG

Dalam pada itu, sumber pemimpin Bersatu yang dekat dengan pentadbiran kerajaan mengakui, berlaku kelewatan dan ketidakselarasan kerajaan dalam membantu mangsa banjir terjejas tempoh hari disebabkan kejadian bencana yang berlaku di Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Melaka adalah di luar jangka.

Jelas beliau, kerajaan di bawah seliaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sebenarnya sudah bersiap siaga untuk menghadapi masalah banjir di Pantai Timur dengan seluruh aset menyelamat dan membantu mangsa banjir sudah dipusatkan di negeri-negeri berkaitan.

“Namun, apa yang berlaku di Lembah Klang, Kuala Langat dan Pahang adalah perkara di luar jangka yang menyebabkan kerajaan terpaksa merombak kembali pelan penyelarasan bantuan bencana sesudah dipusatkan ke negeri-negeri Pantai Timur.



“Sama ada Perdana Menteri akan melaksanakan rombakan kabinet bagi meredakan kemarahan rakyat, itu hak prerogatif beliau. Tetapi untuk menyalahkan kerajaan semata-mata di atas kelewatan bantuan disalurkan mangsa banjir adalah tidak wajar,” katanya lagi.


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Rombakan Kabinet selepas tahun baru 2022?



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker