Tahun yang silih berganti gelap dan terang, Selamat tinggal 2021

Tahun yang silih berganti gelap dan terang, Selamat tinggal 2021

KETIKA tirai tahun 2020 yang ‘hitam pekat’ dilabuhkan setahun lalu, masyarakat di negara ini berharap agar kedatangan 2021 membawa sinar baharu dan negara bebas daripada cengkaman pandemik Covid-19.

Begitupun, jangkaan itu meleset apabila kes jangkitan bukan sahaja tidak menunjukkan penurunan, bahkan mencapai lima angka. Mengejutkan apabila pernah suatu ketika Malaysia ‘menjuarai’ kes Covid-19 di Asia Tenggara.

Rakyat Malaysia menelusuri tahun 2021 ibarat melalui terowong yang sekejap terang, sekejap gelap di hujungnya sehingga segalanya samar dan seakan sukar diramal.

Menelusuri kes Covid-19 di negara ini, kes bermula dengan sekitar angka 3,000 sebelum sedikit demi sedikit menurun ke sekitar 1,000 kes pada Mac. Kes bagaimanapun naik kembali ke sekitar 3,000 pada Mei menjadikan harapan beraya di kampung punah. Biarpun tiada istilah balik kampung seperti tahun lalu, namun kes dilihat melonjak dengan 7,478 kes baharu selepas dua minggu Hari Raya Aidilfitri.

Covid-19 terus mengganas dan buat pertama kalinya negara mencatatkan jumlah jangkitan lima angka pada Julai. Pusat kuarantin dan hospital mula padat sehingga sebahagian petugas barisan hadapan mengakui burn-out.

Pada 5 Ogos, Malaysia mencatatkan kes jangkitan baharu melepasi paras 20,000 apabila sebanyak 20,596 kes dicatatkan dalam tempoh 24 jam. Jumlah jangkitan tiba ke kemuncak apabila 24,599 kes harian direkodkan pada 26 Ogos dan merupakan jumlah tertinggi, manakala kes kematian pula 362 orang.

Ketika itu, ‘awan gelap’ menyelubungi Malaysia apabila jumlah kematian yang tinggi menyebabkan jentolak terpaksa digunakan di Lembah Klang bagi menguruskan jenazah.

Pun begitu, sedikit sinar terlihat apabila kes kembali menurun ke empat angka pada Oktober. Ia menunjukkan keberkesanan program vaksinasi yang telah dimulakan sejak Februari lalu dan digempur sejak Jun.


VAKSIN dilihat sebagai antara ikhtiar yang membawa kepada penurunan kes Covid-19 di negara ini pada suku akhir tahun ini.

Sejarah vaksinasi tanah air tercipta pada 24 Februari lalu selepas bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai rakyat menerima vaksin sekali gus bermulanya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
11 Oktober menjadi antara tarikh bahagia bagi rakyat Malaysia apabila rentas negeri seluruh negara mula dibenarkan selepas kadar vaksinasi lengkap dua dos bagi populasi dewasa mencapai 90 peratus.

Ismail Sabri PM ke-9

WALAUPUN rakyat sedang bertarung dengan pandemik Covid-19, suhu politik di negara ini tetap panas. Kemelut politik menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin terpaksa melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri ke-8 yang disandang sejak 30 Februari tahun lalu.


ISMAIL SABRI mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri di Istana Negara pada 21 Ogos lalu.

Ia bermula dengan beberapa orang ahli parlimen daripada UMNO menarik sokongan kepadanya selaku Perdana Menteri (PM).

Muhyiddin kemudian menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan PN dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan. Namun begitu, Pakatan Harapan (PH) mengambil pendirian menolak keras segala tawaran itu dan menyaksikan Muhyiddin hilang sokongan secukupnya untuk terus bertahan sebagai PM.

Pada 16 Ogos lalu, beliau menyembah warkah surat peletakan jawatan PM kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Peletakan jawatan itu diperkenan dan beliau dilantik sebagai caretaker PM. Selepas Istana Negara menerima pencalonan nama-nama bakal PM daripada 220 ahli-ahli Dewan Rakyat, Al-Sultan Abdullah mendapati Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memiliki jumlah majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan sebagai PM ke-9. Ismail Sabri mengangkat sumpah menjadi PM di Istana Negara pada 21 Ogos lalu.

Bah Semenanjung ragut 48 nyawa

Tanggal 18 Disember menjadi momen cemas di banyak kawasan di negara ini apabila banjir besar berlaku di banyak negeri di Semenanjung Malaysia termasuk Lembah Klang.

Sejarah 50 tahun lalu dianggap berulang apabila Lembah Klang dilanda banjir kilat berikutan hujan turun tidak berhenti lebih 24 jam. Jumlah hujan yang diterima itu dikatakan menyamai purata taburan hujan selama sebulan di Lembah Klang.


BANJIR buruk melanda sebuah perumahan di Sri Muda, Shah Alam.

Berbanding hanya tertumpu kepada negeri-negeri tertentu di musim tengkujuh, banjir kali ini luar biasa apabila melibatkan lapan negeri iaitu Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Melaka.

Puluhan ribu dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan amat memilukan apabila sehingga kelmarin bah dilaporkan telah meragut 48 nyawa dengan 25 kematian dicatatkan di Selangor, Pahang (20) dan Kelantan (tiga) dengan lima masih hilang.

Antara kawasan yang terkesan dahsyat dengan banjir ialah Mentakab di Pahang serta Shah Alam dan Hulu Langat di Selangor.

Ramai yang tidak bersedia dan terperangkap sama ada di kediaman mereka atau di dalam kenderaan di jalan-jalan utama yang dinaiki air sehingga ratusan terpaksa bermalam di dalam kenderaan masing-masing apabila laluan pulang ke rumah ditutup.

Beberapa lebuh raya termasuk Lebuh Raya Persekutuan di Batu 3, Shah Alam turut dinaiki air sehingga tidak boleh dilalui kenderaan.

Lebuh Raya KL-Karak turut terputus apabila berlaku tanah runtuh dan pokok tumbang di Kilometer 62.9 menghala ke Bentong.

Hujan berterusan juga menyebabkan banjir lumpur dan kepala air di Telemong, Pahang sehingga lima orang ditemui mati dan seorang masih hilang. Kejadian pada pukul 6.40 petang itu melibatkan 16 individu yang terperangkap di atas jambatan sebelum dihanyutkan air sungai Telemong yang melimpah. Sepuluh daripada mereka berjaya menyelamatkan diri.

Fenomena luar biasa bunuh diri Malaysia

Seiring keperitan hidup yang dibawa pandemik Covid-19, kes berkaitan kesihatan mental dan bunuh diri turut menjadi berita utama di negara ini. Ramai yang hidup terasing dan tidak boleh keluar mencari rezeki, lantas tekanan mental memuncak dan mendorong gejala bunuh diri. Sejak Januari hingga 18 Jun, Kementerian Kesihatan Malaysia menerima 122,328 panggilan meminta bantuan sokongan psikologi.


INISIATIF bendera putih diwujudkan bagi membantu mengesan mereka yang memerlukan bantuan.

Polis Diraja Malaysia mendedahkan sebanyak 638 kes bunuh diri dilaporkan di negara ini dari Januari hingga Julai tahun ini iaitu peningkatan 143 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Jumlah kes dalam tempoh kira-kira setengah tahun itu ternyata begitu tinggi jika hendak dibandingkan 631 kes bagi keseluruhan tahun 2020 dan 609 kes bagi keseluruhan tahun 2019.

Sensasi hidangan ikan siakap kayangan

IKAN siakap menjadi perkataan paling popular tahun ini di Malaysia. Sebaik gelembung pelancongan pertama negara bermula di Langkawi, Kedah pada 16 September lalu, aktiviti pelancongan kembali rancak di pulau itu.

Pun begitu, Malaysia telah digemparkan dengan peristiwa siakap harga kayangan apabila seorang individu memuat naik resit bayaran ikan siakap tidak masuk akal yang dikenakan ke atasnya ketika mengunjungi sebuah restoran di Langkawi Oktober lalu.


SEORANG individu mendakwa dikenakan bayaran RM1,196.80 untuk seekor siakap.

Individu tersebut terpaksa membayar sebanyak RM1,196.80 bagi ikan siakap seberat 7.48 kilogram dengan keseluruhan hidangan makanan dan minuman lain pula adalah RM1,759.50 untuk tujuh orang makan.

Isu itu tular dan netizen tidak henti-henti ‘berdebat’ sehingga turut mendapat perhatian pihak berkuasa.
Pemilik kedai tersebut turut tampil mempertahankan diri.

Tahun yang silih berganti gelap dan terang, Selamat tinggal 2021


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


Tahun yang silih berganti gelap dan terang, Selamat tinggal 2021

Puteri Balqis rayu dana untuk selamatkan Ariq Rizqy

Aliff Syukri mohon maaf bimbang umur tidak panjang

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker