WHO beri amaran Varian Omicron bakal cetus Tsunami Covid-19

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran ‘tsunami’ kes COVID-19 varian Omicron dan Delta bakal meningkatkan tekanan ke atas sistem kesihatan yang sudah diperluaskan hadnya.

Menurut WHO, varian Delta dan Omicron adalah ancaman berkembar yang melonjakkan kes baharu ke rekod tertinggi, sekali gus meningkatkan kadar kemasukan ke hospital dan kematian.

WHO berkata kes global baharu meningkat sebanyak 11 peratus minggu lalu, manakala Amerika Syarikat (AS) dan Perancis masing-masing mencatatkan rekod bagi jumlah kes harian pada Rabu.

“Saya amat bimbang Omicron yang lebih mudah menular, bergerak pada masa sama dengan Delta, membawa kepada tsunami kes,” kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus pada sidang media.

“Keadaan ini akan terus memberi tekanan besar kepada pekerja kesihatan yang sudah keletihan, sekali gus meletakkan sistem kesihatan di ambang kehancuran.”

Beliau berkata tekanan terhadap sistem kesihatan bukan sahaja disebabkan oleh pesakit baharu coronavirus, malah sejumlah besar pekerja kesihatan yang jatuh sakit akibat COVID-19.

WHO berharap tahun depan akan menamatkan tahap akut pandemik dan pada masa sama memberi amaran bahawa ia akan bergantung pada ekuiti vaksin lebih besar.

WHO mahu 40 peratus penduduk di setiap negara diberi vaksin sepenuhnya menjelang akhir tahun dan mempunyai sasaran liputan 70 peratus menjelang pertengahan 2022.

Tedros menegaskan 92 daripada 194 negara anggota WHO akan terlepas sasaran 40 peratus.

“Ini disebabkan bekalan terhad ke negara berpendapatan rendah sepanjang tahun selain vaksin hampir tamat tempoh dan tanpa bahagian penting seperti picagari,” katanya.

“Ia bukan sahaja memalukan, malah mengorbankan nyawa dan memberikan virus itu peluang untuk menular tanpa kawalan dan bermutasi. Pada tahun hadapan, saya menyeru pemimpin kerajaan dan industri untuk menunaikan janji mengenai ekuiti vaksin.

“Walaupun 2021 adalah sukar, saya meminta semua orang membuat azam Tahun Baharu untuk menjayakan kempen memvaksin 70 peratus menjelang pertengahan 2022.”

Tedros sekali lagi mengecam sikap negara kaya yang didakwa memonopoli senjata memerangi COVID-19 dan membiarkan ‘pintu belakang’ terbuka untuk virus.

Sementara itu, maklumat salah menjadi gangguan yang berterusan pada 2021, menghalang usaha untuk mengatasi wabak itu.

Tedros berkata 1.8 juta kematian direkodkan pada 2020, manakala terdapat 3.5 juta kematian pada 2021 dengan jumlah sebenar lebih tinggi. – AFP

WHO beri amaran Varian Omicron bakal cetus Tsunami Covid-19


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Kamal tak kisah Uqasha peluk Michael Ang ke?

Nabil sebak mangsa banjir ketuk cermin kereta kelaparan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker