Masjid Jamek Batu Uban, masih utuh walau berusia hampir 300 tahun

Masjid Jamek Batu Uban, masih utuh walau berusia hampir 300 tahun

Usianya hampir mencecah 300 tahun, namun Masjid Jamek Batu Uban di Kampung Batu Uban, Gelugor, di sini kekal teguh hingga ke hari ini malah terus dikunjungi penduduk setempat untuk beribadat selain menjadi tarikan pelancong berikutan beberapa keunikan yang dimiliki.

Masjid yang terletak berhampiran laut itu, diasaskan Haji Mohammed Saleh atau dikenali sebagai Maharaja Nan Intan Ibnu Al-Marhum Tunku Patih Nan Sebatang dari Pagar Ruyong, Sumatera, pada 1734 iaitu 52 tahun sebelum Francis Light menjejakkan kaki ke Pulau Pinang yang pada masa itu dikenali sebagai Pulau Kesatu.

Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid, Sheikh Abdul Azizi Sheikh Mohamad, 69, berkata, antara keunikan tersebut ialah struktur dan reka bentuk asal masjid yang masih utuh dan terpelihara terutama di bahagian ruang solat utama yang mempunyai empat tiang seri daripada kayu cendana, ruang mimbar serta puncak kubah.

“Beberapa perubahan pernah dibuat seperti tambahan ruang solat bagi menampung keperluan jemaah dan meningkatkan keselesaan, selain dijadikan ruang majlis berbuka puasa ataupun kenduri-kendara, tanpa menjejaskan binaan asal masjid,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Menurutnya pada 2006, Jabatan Warisan Negeri juga telah menukar struktur bumbung dengan memasang alang yang tidak ada sebelum ini, atas tujuan keselamatan.

Sheikh Abdul Azizi berkata, satu lagi keunikan masjid ini ialah telaga berusia ratusan tahun yang airnya tidak pernah kering meskipun pada musim kemarau.

“Mengikut sejarah awal, semasa mula sampai ke sini Haji Mohammed Saleh telah menemui dua mata air tidak jauh dari pantai, lalu beliau membuka kawasan ini sebagai tempat ibadat dan penempatan. Walaupun jarak mata air itu tidak jauh dari pantai, ia tidak bercampur dengan air laut dan rasa airnya tetap tawar,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati struktur tiang dan dinding batu terutama di bahagian belakang masjid banyak mengalami hakisan atas faktor usianya yang sudah ratusan tahun.

Menurut Sheikh Abdul Azizi memang tidak dapat dinafikan proses hakisan telah menampakkan kesannya, namun beliau yakin Masjid Jamek Batu Uban masih mampu tegak berdiri dalam tempoh 10 tahun lagi.

“Bukan tidak mahu masjid dibaik pulih sepenuhnya, tapi kena ingat juga jika dilaksanakan sudah pasti masjid tidak boleh digunakan dan menyulitkan masyarakat setempat.

“Kerja-kerja pemuliharaan pula perlu dikendalikan kontraktor yang benar-benar berkelayakan, jika tidak struktur masjid akan terjejas,” katanya. Sinar

Masjid Jamek Batu Uban, masih utuh walau berusia hampir 300 tahun


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


Kamal tak kisah Uqasha peluk Michael Ang ke?

Nabil sebak mangsa banjir ketuk cermin kereta kelaparan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker