Kerajaan pastikan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia disalurkan secara berkesan

PUTRAJAYA – Kerajaan akan memastikan segala bantuan serta kemudahan kepada mangsa-mangsa banjir dilaksanakan secara komprehensif, berkesan dan menyeluruh di bawah Bantuan Banjir Keluarga Malaysia dengan nilai keseluruhan sebanyak RM1.4 bilion.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, di bawah inisiatif itu, kerajaan telah melaksanakan beberapa penambahbaikan berhubung Bantuan Wang Ihsan (BWI).

Pertama, kata beliau, adalah pemberian RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir, seterusnya menyalurkan kepada semua KIR yang terkesan termasuk kepada mereka yang tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Ketiga adalah pemberian RM10,000 kepada waris mangsa yang meninggal dunia, manakala keempat, mangsa-mangsa yang terjejas akibat banjir boleh menuntut BWI setiap kali bencana menimpa berbanding sebelum ini hanya sekali sahaja semasa berlakunya Monsun Timur Laut.

“Menyedari mangsa-mangsa banjir memerlukan wang tunai, kerajaan-kerajaan negeri telah membuat bayaran BWI yang telahpun bermula pada 27 Disember yang lalu dan dijangka selesai minggu ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, menurut Ismail Sabri, Selangor dan Pahang mungkin sedikit lewat berikutan melibatkan jumlah mangsa yang ramai.

“Bagi tujuan ini, saya telah mengarahkan pihak-pihak berkaitan agar mempermudahkan urusan pembayaran tanpa sebarang birokrasi atau tanpa perlu mengisi pelbagai borang seperti sebelum ini.

“Setakat data terkini, lebih 30,000 KIR telah didaftarkan untuk menerima BWI,” katanya.

Beliau berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telahpun menyalurkan peruntukan awal BWI sebanyak RM34 juta kepada 11 buah negeri.

Berhubung bayaran BWI untuk kematian pula, katanya, seramai 25 orang waris telahpun menerima bantuan RM10,000 seperti diumumkan.

“Kerajaan juga telah memperuntukkan sejumlah RM100 juta bagi menggerakkan kerja-kerja pasca banjir. Selain itu, kerajaan turut menambah RM50 juta lagi khusus untuk negeri Selangor dan Pahang bagi tujuan sama.

“Peruntukan ini akan digunakan bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan pembersihan rumah penduduk dan fasiliti awam yang rosak,” katanya.

Pada masa ini, menurut Ismail Sabri, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama-sama Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta kontraktor dilantik sedang giat menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan yang terkesan dengan bencana banjir.

“Bagi mempercepat kerja-kerja mengutip, membersih dan menghantar sisa banjir ke tapak pelupusan, KPKT telah menambah bilangan sumber tenaga dengan melantik lebih banyak kontraktor untuk turun ke lapangan termasuk kawasan-kawasan yang tidak dapat diakses sebelum ini.

“Dengan itu, kerajaan memperuntukkan RM10 juta tambahan antaranya bagi membiayai perkhidmatan kutipan sisa banjir serta kerja-kerja pembersihan jalan, fasiliti awam dan halaman rumah mangsa,” katanya.

Setakat 28 Disember 2021, katanya, sebanyak 3,000 tan sisa banjir telah dibersihkan di lima buah negeri yang terkesan iaitu Selangor, Pahang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka yang melibatkan lebih 1,700 tenaga kerja di bawah seliaan KPKT

Kerajaan pastikan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia disalurkan secara berkesan


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Kes Long Tiger: Senior Asisten Komisioner, Ketua Polis Daerah, dua anggota berdepan tindakan – Ayob Khan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker