Bertaubatlah Sesiapa Samakan Allah Dengan Makhluk! 6 Perbuatan Syirik Manusia Kerap Lakukan

Sebaran :

Bertaubatlah Sesiapa Samakan Allah Dengan Makhluk! 6 Perbuatan Syirik Manusia Kerap Lakukan

BARU-baru ini, tular di media sosial seorang pengasas produk makanan terkenal mengeluarkan kenyataan bahawa Tuhan itu tidak dapat dilihat dan halus, maka individu tersebut menyimpulkan bahawa tuhan itu makhluk halus.

Meskipun sudah memohon maaf atas keterlanjurannya itu, namun individu tersebut berdepan dengan pelbagai kecaman dan kritikan daripada pengguna media sosial yang kecewa dengan kenyataan dikeluarkan.

Mengulas mengenai isu itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri menjelaskan kenyataan yang dinyatakan oleh individu tersebut amatlah berat.



Zulkifli berkata, perbuatan syirik merupakan dosa yang amat besar disisi Allah SWT.

Firman Allah: (Maksudnya): “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar.

Mamasab

Meskipun sudah meminta maaf, usahawan ini teruk dikecam netizen atas keterlanjuran katanya.

Malah katanya, Allah tidak akan mengampun dosa sesiapa yang bertemu denganNya dalam keadaan melakukan syirik kepadaNya.



“Walaupun begitu, Allah SWT mengampunkan dosa orang musyrik apabila dia sempat bertaubat kepada Allah SWT sebelum dia meninggal dunia dan bertemu denganNya dalam keadaan yang beriman.

“Perbuatan yang zahirnya menunjukkan bahawa seseorang itu mensyirikkan Allah SWT itu merupakan perbuatan yang berdosa.

“Walaubagaimanapun ia tidak mengeluarkan seseorang itu daripada Islam secara pasti, kerana masih terdapat keraguan padanya sama ada dia melakukannya dalam keadaan jahil, tidak sedar dan tidak beriktikad seperti yang disangka,” katanya.

Zulkifli yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkata, Imam al-Sanusi dalam kitabnya al-Muqaddimat membahagikan syirik kepada enam jenis:



1. Syirik istiqlal: Menetapkan adanya dua tuhan atau lebih yang berlainan seperti akidah Majusi seperti Hormazd dan Yazdan (Ahura Mazdan dan Aingra Mainyu)

2. Syirik tab’id: Menyatukan Tuhan daripada beberapa oknum seperti akidah Triniti agama Kristian.

3. Syirik taqrib: Beribadah kepada sesuatu selain daripada Allah SWT dengan tujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ia seperti menyembah malaikat, bulan, bintang, matahari dan lain-lain.

4. Syirik taqlid: Beribadah kepada Allah kerana mengikut orang lain sebagaimana yang disebutkan dalam Surah al-Zukhruf ayat 23.

5. Syirik asbab: Menyandarkan satu kesan terhadap sebab tertentu yang bersifat adat seperti berpegang bahawa manusia kenyang kerana makan, dan bukan Allah SWT yang mengenyangkannya. Ini seperti syiriknya ahli falsafah dan naturalis.

6. Syirik aghrad: Beramal kerana selain daripada Allah SWT untuk mendapat pujian dan sanjungan manusia iaitu riyak.

TAUBAT

Sebaik-baik pendosa, adalah mereka yang bertaubat kepada Allah SWT.

Bagi syirik istiqlal, tab’id, taqrib dan taqlid kata Zulkifli, seseorang itu dikira kufur secara ijmak. Bagi syirik aghrad, ia dikira maksiat dan tidak kufur secara ijmak.

Manakala bagi syirik asbab, ia memerlukan perincian. Jika ia disandarkan kepada sebab tertentu semata-mata, maka dia dikira kufur secara ijmak.

“Jika dia meyakini bahawa ia memberi kesan melalui daya yang dijadikan oleh Allah kepada makhluk, dia dikira fasiq dan ahli bid’ah,” jelasnya.

Allah sebagai al-Khaliq

Sementara itu, Zulkifli menjelaskan Al-Khaliq berasal dari perkataan khalaqa, yang bermaksud mengukur, mencipta, membentuk atau memperhalus.

Al-Khaliq juga merupakan kata nama fa’il kepada perkataan khalaqa yang menjadikannya kata seimbangnya khaliq yang membawa maksud “menciptakan sesuatu yang baru”, “menciptakan daripada tidak ada”, “menciptakan tanpa satu contoh terlebih dahulu” atau “menciptakan sesuatu yang baru daripada sesuatu yang telah ada.”

Menurut al-Qamus al-Muhit, “Al-Khaliq” merupakan sifat bagi Allah SWT yang bermaksud, mengadakan sesuatu, ataupun menciptakan sesuatu tanpa ada contoh daripada yang sebelum ini, serta yang menjadikan sesuatu daripada tiada”.

Menyatakan Tuhan itu makhluk yang dicipta atau adanya sesuatu yang lain yang mencipta Allah SWT adalah bercanggah dengan sifat al-Khaliq (Pencipta) yang ada pada Allah SWT. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Allah menciptakan segala sesuatu dan Dia memelihara segala sesuatu.

Firman Allah SWT lagi: (Maksudnya): “Dialah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang Membentuk rupa (makhluk-makhlukNya menurut yang dikehendakiNya); bagiNyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih kepadaNya segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dia lah Yang tiada bandingNya, lagi Maha Bijaksana.

“Sekiranya individu yang menyebut kenyataan bahawa “Tuhan itu makhluk halus” dengan niat untuk menyamakan Allah SWT dengan makhluk, hendaklah dia segera bertaubat kepada Allah SWT.

“Sesungguhnya Allah SWT merupakan (Maha Pencipta) yang menciptakan segala yang ada di alam ini. Manakala semua selain Allah adalah makhluk yang Allah sendiri menciptakannya. Maha Suci Allah dari disifatkan sebagai “makhluk halus”,” ujarnya.

Tambahnya, Allah itu wujud tanpa menyamai sesuatu pun di alam ini sama ada jisim ataupun sifat jisim.

“Jisim pula terbahagi kepada dua, iaitu jisim kathif dan jisim latif. Jisim Kathif pula adalah jisim yang dapat dilihat seperti manusia, binatang, bulan, batu dan lain-lain manakala jisim latif adalah jisim yang halus dan tidak dapat dilihat dan dirasai dengan tangan seperti cahaya, elektrik, roh, malaikat, jin dan seumpamanya.

“Sesungguhnya Allah SWT adalah Maha Pencipta yang menciptakan segala yang ada di alam ini manakala semua selain Allah adalah makhluk yang Allah sendiri menciptakannya. Maha Suci Allah dari disifatkan sebagai ‘makhluk halus’,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Zulkifli turut menasihati kepada semua yang ingin menyampaikan sebarang perkongsian yang melibatkan agama atau yang melibatkan kesucian Allah SWT, hendaklah berhati-hati dengan setiap patah kata yang disebutkan serta merujuk kepada mereka yang lebih arif dalam urusan ini.

“Namun sekiranya perkataan tersebut tidak disengajakan, sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun. Sebagai manusia, sudah pasti akan ada salah silap dalam tindak tanduk dan tutur kata.

“Inilah hakikat dan lumrah seorang manusia yang penuh dengan kekurangan, kelemahan, dan ketidaksempurnaan. Ingatlah bahawa sebaik-baik pendosa, adalah mereka yang bertaubat kepada Allah SWT,” katanya.

Bertaubatlah Sesiapa Samakan Allah Dengan Makhluk! 6 Perbuatan Syirik Manusia Kerap Lakukan

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Kamal tak kisah Uqasha peluk Michael Ang ke?

Nabil sebak mangsa banjir ketuk cermin kereta kelaparan


Sebaran :

Leave a Reply

Your email address will not be published.