Negara maju bolot vaksin punca kemunculan Omicron

PADA Oktober 2020, saintis di seluruh dunia berlumba-lumba untuk menghasilkan vaksin untuk memerangi pandemik Covid-19.

Ketika itu, Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus memaklumkan satu-satunya cara untuk mengekang wabak itu adalah dengan memastikan negara miskin mendapat akses kepada vaksin secara adil.

“Apabila kita mempunyai vaksin yang berkesan, kita juga perlu menggunakan ia secara efektif. Cara terbaik yang boleh dilakukan adalah dengan memvaksin segelintir populasi di kesemua negara berbanding kesemua populasi di sebahagian negara.

“Nasionalisme vaksin hanya akan memanjangkan wabak tersebut,” tegasnya.

Kira-kira setahun kemudian, ketidaksamaan pengagihan vaksin sememangnya berlaku.

Ia terbukti apabila negara kaya seperti Perancis dan Jepun telah memberikan sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin kepada lebih 75 peratus populasi mereka.

Ketika ini, hanya satu perempat daripada populasi di Afrika Selatan yang menjadi negara pertama yang mengesan varian Omicron sudah divaksin dan merupakan salah satu negara mencatatkan kadar inokulasi tertinggi di benua tersebut.

Tetapi, adakah ketidaksamaan pengagihan vaksin menjadi punca utama kemunculan Omicron?

Pakar di Perancis berkata, Omicron dipercayai muncul daripada seorang pesakit apabila sistem imun tubuhnya berada dalam keadaan tertekan dan hasil mutasi yang berlaku ketika jangkitan kronik.

“Kemunculan virus ketika epidemik tidak terkawal membuka ruang untuk lebih banyak varian muncul. Kebimbangan baharu yang mengejutkan dunia sememangnya untuk menunjukkan kepentingan memberikan suntikan vaksin kepada penduduk pada skala global.

“Bumi hanya akan selamat apabila kita mencapai tahap imuniti global yang dapat mengekang penularan wabak itu dan kemunculan varian baharu,” kata pakar epidemiologi di Institut Pasteur di Paris, Arnaud Fontanet.

 

Papan elektronik memaparkan beberapa jadual penerbangan yang dibatalkan di Lapangan Terbang Antarabangsa OR Tambo di Johannesburg selepas kebanyakan negara mula menutup sempadan mereka kepada beberapa negara Afrika.
Papan elektronik memaparkan beberapa jadual penerbangan yang dibatalkan di Lapangan Terbang Antarabangsa OR Tambo di Johannesburg selepas kebanyakan negara mula menutup sempadan mereka kepada beberapa negara Afrika.

 

Jutaan belum divaksin

Pada September lalu, WHO sekali lagi menyuarakan rasa khuatir terhadap nasionalisme vaksin apabila beberapa negara yang mempunyai lebihan sumber bekalan vaksin mula melancarkan kempen suntikan penggalak selain mempertimbangkan program inokulasi kanak-kanak.

Dr Tedros merayu supaya negara berkenaan tidak memberikan suntikan vaksin tambahan sehingga akhir tahun ini memandangkan jutaan lagi penduduk masih belum menerima suntikan dos pertama.

“Saya tidak akan berdiam diri apabila ada firma dan negara sewenang-wenangnya mengawal bekalan vaksin Covid-19 sementara negara miskin masih terkapai-kapai dengan program vaksinasi mereka kerana berdepan masalah memperoleh bekalan,” ujarnya.

Menerusi satu kenyataan bersama, Amanah Pemerolehan Vaksin Afrika, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Afrika dan COVAX berpendapat kualiti sumbangan perlu dipertingkatkan selepas China berjanji untuk mendermakan kira-kira satu bilion dos vaksin kepada rantau berkenaan.

“Majoriti sumbangan adalah ad hoc dengan tarikh luput yang semakin hampir. Perkara itu sememangnya satu cabaran besar kepada negara yang merancang kempen imunisasi dan meningkatkan kapasiti daya serap,” ujarnya.

 

Penduduk di Angola menunggu giliran untuk mendapatkan vaksin Covid-19 selepas pemerintah melaksanakan vaksinasi mandatori pada Oktober lalu.
Penduduk di Angola menunggu giliran untuk mendapatkan vaksin Covid-19 selepas pemerintah melaksanakan vaksinasi mandatori pada Oktober lalu.

 

Fontanet turut senada dengan keluhan tersebut

“Vaksinasi bukan hanya tentang jumlah dos yang diberikan. Kita perlu menyokong sistem kesihatan yang rapuh dan berusaha untuk memujuk orang ramai bagi mendapatkan suntikan vaksin,” katanya lagi.

Kini, Omicron pula mengundang kebimbangan komuniti antarabangsa selepas ancaman Delta mencetuskan lonjakan luar biasa sebelum ini.

Kebanyakan negara mengambil langkah terburu-buru menutup sempadan untuk menyekat penerbangan dari Afrika Selatan walaupun ia disifatkan sebagai langkah tidak wajar oleh Pretoria.

Namun, pakar epidemiologi menegaskan tindakan itu sebenarnya tidak perlu.

“Sila dapatkan suntikan vaksin jika anda khuatir dengan ancaman Omicron. Teruskan langkah berjaga-jaga dan ikuti perkembangan pandemik tersebut serta menyokong kerjasama kesihatan global,” kata pakar virologi Amerika Syarikat (AS), Angela Rasmussen.

Menurutnya, larangan perjalanan tidak akan memberi sebarang kesan kerana hanya kesaksamaan kesihatan global dan pengagihan vaksin yang sebenarnya memainkan peranan penting untuk mengekang penyebaran Omicron. – AFP

Negara maju bolot vaksin punca kemunculan Omicron


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Arab Saudi lapor kes pertama varian Omicron

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker