Langgar PKPB: Adun Ketari diarah bayar kompaun

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ketari, Young Syefura Othman mengesahkan beliau diarah supaya menjelaskan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, baru-baru ini.

Young Syefura berkata, beliau akan menjelaskan bayaran kompaun itu dalam masa terdekat dan polis memaklumkan kes terhadapnya itu dianggap selesai.

“Saya meminta maaf kerana melanggar SOP PKPB yang sedikit sebanyak memberi kesan kepada Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang.

“Saya memohon maaf kepada semua rakyat Pahang atas kesilapan itu,” katanya.

Young Syefura berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan (Belanjawan 2021) pada persidangan Dun Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Berkelah: Young Syefura, lima rakan hadir ke IPD Sepang

Belanjawan 2021 itu dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, semalam.

Sebelum ini, Young Syefura dikecam selepas memuat naik di Instagram gambar beliau bersama empat rakan menyambut ulang tahun kelahirannya di pantai Bagan Lalang, Selangor, yang kemudiannya dipadamkan daripada laman sosial itu.

Selangor antara negeri dikenakan PKPB sehingga 6 Disember ini dan orang ramai dilarang merentas daerah tanpa urusan penting sepanjang tempoh itu.

Sementara itu, dalam perbahasannya, Young Syefura mempersoal sama ada data dibentangkan pada Dun Pahang berhubung keluasan hutan di negeri itu, iaitu seluas 2.05 juta hektar iaitu 57 peratus daripada 3.59 juta hektar tanah negeri adalah sahih.

“Saya membuat semakan dan mendapati jumlah hutan ini tidak berubah sejak 2017. Bolehkah keadaan ini berlaku sedangkan hasil hutan menjadi penyumbang kepada pendapatan kerajaan negeri dan jumlahnya semakin meningkat,” katanya.

Adun Bilut, Lee Chin Chen pula mencadangkan supaya cukai pintu dan cukai tanah dikecualikan tiga tahun kepada pengusaha hotel, inap desa dan restoran selain pengecualian bayaran lesen kepada penjaja yang kekurangan pelanggan akibat pandemik Covid-19.

Lee berkata, golongan petani wajar mendapat perhatian khusus kerana ada dalam kalangan mereka kerugian apabila tidak sempat mengutip hasil kebun atau menjual tanaman semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya mencadangkan supaya sesi pendaftaran dijalankan terhadap mereka dan pemberian bantuan seperti subsidi baja dan racun serangga mengikut keluasan tanah, sekali gus meringankan beban petani,” katanya.-HM

Young Syefura (Rara) mahu letak jawatan ADUN?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker