Pemimpin UMNO tidak boleh terlalu yakin

SHAH ALAM – Pemimpin UMNO tidak boleh terlalu yakin kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka boleh diterjemahkan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang melibatkan seluruh negara.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, PRN Melaka adalah situasi yang terasing kerana ia tidak dianggap terlalu penting bagi sesetengah pihak kerana keputusannya tidak menjejaskan kedudukan kerajaan di peringkat Pusat.

“Komposisi pengundi di Melaka serta pegangan dan budaya politik mereka adalah berbeza dengan pengundi di negeri-negeri lain. Kemenangan besar BN dalam PRN Melaka tidaklah boleh dikatakan sebagai kemenangan mutlak. Ini kerana peratusan undi popular BN sebenarnya tidak sebesar mana, begitu juga dengan undi majoriti ramai calon BN.

“Kemenangan besar BN dibantu oleh peratusan keluar mengundi yang rendah, sedangkan dalam PRU, peratusan keluar mengundi lazimnya lebih tinggi kerana motivasi untuk keluar mengundi lebih besar,” katanya ketika diminta mengulas mengenai desakan pemimpin UMNO supaya PRU15 disegerakan susulan kemenangan besar BN pada PRN Melaka pada Sabtu lalu.

Selain itu, beliau berkata, mengadakan PRU15 dalam tempoh terdekat akan meningkatkan risiko untuk pandemik Covid-19 kembali menular.

Menurutnya, walaupun keadaan semasa pandemik sudah menurun tetapi ia boleh meningkat kembali jika terdapat kempen dan pengundian di seluruh negara.

Pemimpin PKR dan DAP ‘gaduh’ kerana Anwar

“Agak sukar untuk memastikan kawalan ketat prosedur operasi standard (SOP) boleh dilaksanakan dalam kawasan yang amat luas berbanding kawasan sempit di Melaka.

“Jika pembubaran Parlimen dilakukan dalam tempoh terdekat, pihak yang mengusulkannya berhadapan dengan persepsi mengabaikan kepentingan kesihatan dan keselamatan rakyat untuk memenuhi kepentingan politik kepartian mereka semata-mata.

“Ini boleh menjejaskan sokongan rakyat kepada mereka ketika majoriti rakyat berpandangan bahawa keperluan untuk melangsungkan PRU15 dalam tempoh terdekat tidak begitu wujud. Ini kerana negara kini agak aman dan stabil dari sudut politik melalui pemeteraian MoU kerajaan dan pembangkang,” jelas beliau.

Katanya, dalam Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik bersama Pakatan Harapan (PH) yang dibuat pada 13 September lalu, antaranya menetapkan syarat tidak akan mengusulkan pembubaran Parlimen sebelum 31 Julai 2022.

“Jika PH tidak melanggar mana- mana butiran perjanjian, maka amatlah tidak beretika untuk kerajaan melanggarnya dengan mengusulkan pembubaran Parlimen sebelum 31 Julai 2022,” katanya.

Pemimpin UMNO tidak boleh terlalu yakin


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


 

MCA gesa SPRM siasat Zeti, suami berkaitan skandal 1MDB

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker