Kegagalan sistem teknikal, muatan tak stabil mungkin antara punca nahas Elmina

Kegagalan sistem teknikal, muatan tak stabil mungkin antara punca nahas Elmina

Hilang kawalan, muatan tidak stabil, kerosakan satu enjin atau kegagalan sistem teknikal antara punca menyebabkan pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Elmina, Shah Alam, semalam.

Hal itu juga mungkin menyebabkan juruterbang tidak menghantar seb0arang isyarat kecemasan sebelum pesawat terhempas, sekali gus memberi gambaran nahas berlaku secara mendadak.

Bekas ketua juruterbang Serantau MAS (Malaysia Airlines), Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain, berkata faktor ‘windshear’ atau perubahan mendadak arah angin yang menyebabkan pertambahan beban struktur dinamik pada pesawat juga sangat tipis berlaku.

“Namun kemungkinan kejadian aneh (freak occurance) tidak boleh ditolak, walaupun cuaca ketika kejadian dilaporkan terang, udara stabil dan jarak penglihatan lebih 10 kilometer.

“Isu pesawat kehabisan minyak juga tidak timbul dan ini boleh disahkan dari log di Langkawi. Ini kerana letupan dan kebakaran selepas pesawat terhempas, bermakna ia masih mempunyai bahan bakar mencukupi untuk mendarat,” katanya kepada BH, hari ini.

Polis mengesahkan 10 individu maut dalam insiden pesawat terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam, kira-kira jam 2.40 petang semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata semua mangsa dipercayai berusia antara 40-an hingga 50-an yang mana lapan daripadanya adalah penumpang dan krew pesawat. Dua lagi mangsa adalah pemandu e-hailing dan penunggang motosikal p-hailing yang kebetulan lalu di lokasi kejadian.

Nik Ahmad Huzlan berkata, keadaan menjadi sangat berbahaya sekiranya juruterbang hilang kawalan penerbangan tanpa sebarang sebab ketika pesawat terbang rendah.

“Difahamkan, pesawat terhempas dua minit selepas dapat kebenaran mendarat dan secara lumrahnya kebenaran itu diberi dalam tujuh hingga 10 kilometer dari landasan.

“Ini bermakna pesawat dalam ketinggian antara 1,500 hingga 3,000 kaki ketika kejadian hilang kawalan atau dalam tiga hingga lima minit sebelum mendarat.

“Jika ia hilang kawalan ketika berada pada aras 20,000 kaki, juruterbang masih mempunyai masa membetulkan keadaan dan berhubung dengan Pusat Kawalan Trafik Udara.

“Namun dalam kejadian ini, ketinggian pesawat pada altitud rendah dan laungan kecemasan, ‘Mayday’ juga tiada. Rakaman video menunjukkan haluan junam maut, tidak terkawal, terus impak ke bumi dan terbakar,” katanya.

Impak ‘vertical’ atau menegak juga jelas berikutan pesawat berkecai dalam kawasan sekitar 0.4 atau 0.8 hektar.

“Namun banyak isu teknikal lain juga boleh menyebabkan nahas berlaku, antaranya imbangan kerosakan satu enjin, kegagalan kawalan permukaan (alat kemudi kepak), ‘reverser unstowed’ dan lain lain. Malah masih belum jelas jika bahagian tayar pendaratan (undercarriage) sudah atau belum dikeluarkan. Penjelasan akan dapat dibuat apabila kotak hitam berwarna oren ditemui dan diterjemahkan,” katanya.

Keadaan sebenar dapat diperhalusi tanpa teragak-agak mengenai situasi kawalan pesawat dan juga percakapan juruterbang dan pemandu juruterbang ketika kejadian.

“Dalam pada itu, isu ‘berat dan keseimbangan’ sebelum terbang, pasti sudah dibuat dan perkara ini perlu diperhalusi dalam siasatan kerana pesawat terbabit membawa muatan maksimum, enam penumpang dan dua kru penerbangan,” katanya.

Pesawat malang didaftarkan di Amerika Syarikat

Dalam perkembangan lain, Nik Ahmad Huzlan berkata, jet itu didaftarkan di Amerika dan sudah menjadi lumrah pendaftaran jet luar yang beroperasi di negara ini.

“Banyak jet persendirian bertapak di sini menggunakan nombor plet negara luar. Selalunya ia diberi kelonggaran enam bulan atau lebih sebelum proses pendaftaran semula (re-registration) dibuat.

“Namun jika pesawat itu berdaftar di Amerika, juruterbang harus mempunyai lesen Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA),” katanya sambil menambah jangka masa siasatan mungkin tidak lama kerana kawasan nahas tidak membabitkan kawasan luas, mudah diases dan kerangka pesawat dijumpai di satu tempat.

Pesawat tiada Perakam Data Penerbangan

“Pegawai Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) semua berpengetahuan, berpengalaman dan bertauliah. Tetapi difahamkan pesawat tidak dipasang Perakam Data Penerbangan (FDR), hanya alat perakam suara kokpit (CVR).

“Ini akan merumitkan siasatan dan hanya CVR yang merakamkan suara dan bunyi dalaman semasa penerbangan yang dapat memberi gambaran.

“Data pesawat seperti rajah penerbangan, haluan, kelajuan, altitud dan lain-lain semua tiadanya tanpa FDR. Ini akan merumitkan penyiasat mengenal pasti punca kejadian dari sudut teknikal dengan tepat,” katanya sambil memaklumkan FDR dan CVR diwajibkan untuk pesawat penumpang, namun tidak dapat dipastikan untuk pesawat persendirian.

Sementara itu, Ketua Penyelidik Penerbangan Mencari Dan Menyelamat Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT), Prof Madya Mejar Bersekutu (PA) Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian berkata data penerbangan daripada kotak hitam serta log penyelenggaraan pesawat akan dapat merungkai punca nahas termasuk kemungkinan masalah mekanikal yang dialami sebelum terhempas.

Ketika ditanya berhubung juruterbang pesawat berkenaan tidak membuat panggilan ‘Mayday’ kepada menara kawalan, Mohd Harridon berkata, terdapat langkah-langkah khusus oleh juruterbang jika berdepan dengan situasi kecemasan atau kerosakan mekanikal pesawat. BH

Kegagalan sistem teknikal, muatan tak stabil mungkin antara punca nahas Elmina

Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET

Norreen Iman bakal disaman resort terkemuka Johor

Farid Kamil balas foto pegang tangan Diana Danielle

Pesawat terhempas: Saya sudah mati jika pecut – Pemilik dashcam (Video)

Tak sanggup tengok arwah merangkak sebut nama Allah – Saksi pesawat terhempas (Video)

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker