PRN Melaka: Pas cuba nasib luaskan pengaruh

Bagi PAS, menyertai pilihan raya di Melaka yang berada jauh dari penguasaannya di Pantai Timur adalah impian yang tidak mudah dicapai selama beberapa dekad ini.

Pada pilihan raya umum (PRU) 2013, PAS bekerjasama dengan PKR dan DAP di bawah Pakatan Rakyat dan berjaya menawan kerusi Bukit Baru – kini dikenali sebagai Bukit Katil.

Ia merupakan satu-satunya kerusi yang dimenanginya PAS di Melaka – dengan hanya 48 undi. Namun PAS kehilangan kerusi itu apabila parti itu memutuskan untuk bersendirian pada PRU 2018 dan beralih kepada naratif Melayu-Islam.



Di kebanyakan kerusi, PAS tidak berupaya memperoleh lebih daripada 15 peratus undi secara bersendirian kecuali di DUN Serkam.

Walaupun tidak memenangi kubu kuat BN itu pada PRU lalu,  PAS berjaya  meraih undi sebanyak 25.38 peratus – yang tertinggi bagi parti itu di seluruh Melaka.

Umno memenangi kerusi itu dengan 6,401 undi diikuti Amanah di tempat kedua dengan 3,664 undi manakala PAS yang tidak bersekutu dengan mana-mana parti, mengekori rapat di tempat ketiga dengan 3,423 undi.

Kini, PAS sekali lagi menyasarkan kerusi itu yang 90 peratus pengundinya adalah Melayu, dengan meletakkan calon yang sama iaitu guru agama, Ahmad Bilal Rahudin, 38.



“Saya lihat semua ada peluang, terutama PAS yang bertanding PRU lepas.

“Saya wakili PAS di Serkam ni (pada PRU 2018), waktu tu PAS bertanding dengan sendiri, tak ada dengan mana-mana gabungan, berbeza dengan PH dan BN waktu itu,” katanya kepada Malaysiakini.

Walaupun berkempen secara bersemuka tidak dibenarkan, Bilal masih dapat memastikan kehadirannya dirasai dengan berada di masjid dan mengunjungi warung-warung di sekitarnya.

Dengan Bersatu dan Gerakan kini berada di bawah PN, Bilal menaruh keyakinan bahawa dia masih mempunyai peluang untuk merebut Serkam daripada BN.



“Sekiranya PAS boleh meraih undi sebanyak (di Serkam) seperti yang berlaku pada pilihan raya umum 2018, pilihan raya negeri ini pastinya akan menyaksikan PAS semakin kuat apabila kita menjadi sebahagian daripada PN.

“Jika saya boleh memperoleh lebih kurang 2,000 undi lagi, saya percaya ada peluang cerah untuk kami menang kali ini,” katanya.

 



Jadi bualan di internet

Bilal berkata dia mahu membantu masyarakat di Serkam menyelesaikan isu banjir, yang merupakan masalah yang biasa berlaku semasa air pasang dan hujan lebat.

Air pasang besar di Pantai Siring baru-baru ini menyebabkan perkampungan berhampiran pantai itu menjadi bualan di internet.

Sebuah warung makanan laut terpaksa menempatkan pelanggannya di tepi warung berkenaan apabila sebahagian besar premisnya ditenggelami air laut akibat air pasang.

Bagaimanapun, sebuah klip video pendek menjadi tular di media sosial dengan mendakwa pemilik warung berkenaan enggan menerima kehadiran bekas perdana menteri Najib Razak ketika melawat kawasan itu.



Namun pemilik warung itu menafikan dakwaan berkenaan dan meluahkan rasa kecewanya terhadap video yang disunting itu.

Bilal berkata, dia juga berharap dapat menjadikan Pantai Siring sebagai daya tarikan kepada pelancong dan menarik lebih banyak aktiviti ekonomi ke kawasan itu.

Selain Najib, Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, yang merupakan menteri hal ehwal agama, turut membuat lawatan mengejut ke kawasan itu baru-baru inin.

Calon Umno, Zaid Attan bertanding di kerusi itu bagi penggal ketiga, setelah memenangi dua penggal sebelumnya.



BN menggugurkan kebanyakan penyandang kerusi DUN dalam PRN kali ini, tetapi Zaid antara lima penyandang yang dikekalkan.

Pakatan Harapan (PH) pula mempertaruhkan Muhammad Khomeini Kamal dari Amanah. Seperti Bilal, Muhammad Khomeini juga merupakan seorang guru agama.

Kempen PRN Melaka bermula pada 8 Nov tetapi berlangsung di bawah sekatan yang ketat berikutan pandemik Covid-19.

Rakyat Melaka akan keluar mengundi pada 20 Nov untuk memilih seramai 28 wakil rakyat.

Gabungan parti politik yang bertanding perlu memenangi sekurang-kurangnya 15 kerusi untuk membentuk kerajaan negeri.

PRN Melaka: Pas cuba nasib luaskan pengaruh


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Manifesto BN beri keyakinan kepada rakyat Melaka – Najib

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker